"Al-Kisah Hari Raya" (tiga bahagian) merupakan episod ke-16, ke-17 dan ke-18 dalam musim ke-9 daripada siri Upin & Ipin.
Plot[]
Bahagian 1[]
Kisahnya bersambung dari episod lepas ketika Upin dan Ipin kembali dari terawih. Ros marah kepada mereka kerana lewat pulang dan enggan membuka pintu, tetapi akhirnya dipujuk oleh Opah. Setelah Upin dan Ipin menceritakan pengalaman di surau, Opah dan Ros bertanya mengapa kain sampin mereka kotor. Setelah diberitahu fasal mereka ikut jalan pokok kepala condong yang berhantu, Opah berpesan bahawa hantu tidak mungkin ada pada bulan Ramadan kerana "semuanya sudah diikat".
Keesokan harinya, Upin dan Ipin pergi bermain dan bertemu dengan Tok Dalang yang sedang dalam perjalanan ke surau. Tok Dalang mengambil kesempatan untuk menerangkan dua jenis sembahyang yang ditunaikan oleh umat Islam, iaitu sembahyang wajib yang "lima kali sehari tu" dan berdosa jika tidak ditunaikan, dan sembahyang sunat yang tidak wajib tetapi banyak pahala jika diamalkan.
Selepas pulang dari bermain pada waktu petang, Upin dan Ipin mendakap peti sejuk sambil mengeluh mahu makan air batu. Tiba-tiba sahaja mereka terlihat Kak Ros berpura-pura makan minum pada waktu puasa, tetapi akhirnya Opah muncul menegur tindakan Ros bermain-main.
Opah memesan Upin dan Ipin untuk bersiap untuk mengaji, tetapi mereka mengeluh kepanasan dan meminta untuk ponteng. Pesan Opah, bulan Ramadan datang setahun sekali, iaitu masa untuk orang berlumba-lumba beribadah, bersembahyang sunat, mengaji dan sebagainya untuk menggandakan pahala.
Bahagian 2[]
Upin dan Ipin sedang bermain sorok-sorok di ruang tamu apabila Kak Ros keluar dengan serba bergaya dengan beg beli-belah kerana hendak ke rumah Abang Salleh. Maka Upin dan Ipin turut mengikut kakak mereka untuk melihat Abang Salleh menjahit baju raya. Setibanya di sana, mereka semua mengagumi hasil kerja Salleh yang sedia ada, tetapi keadaan indah bertukar kecoh apabila Upin dan Ipin bermain-main dengan kain di sana, membuat Abang Salleh marah.
Kak Ros menyerahkan tiga helai kain berlainan warna kepada Abang Salleh – yang hijau untuk Opah, yang kuning untuk Upin dan yang biru untuk Ipin. Pada masa yang sama sekali lagi Upin dan Ipin bernakal dengan peralatan hingga terbuat manik terjatuh, membuat Salleh geram hingga pengsan.
Pada malam harinya, Kak Ros menggunakan tablet dengan sambungan Internet untuk melayari kedai online untuk membeli baju raya sendiri. Upin dan Ipin meminta dibelikan sesuatu tetapi ditolak juga. Opah juga datang untuk menegur tindakan Ros membeli mahal-mahal.
Akhirnya malam raya sudah menjelang. Sementara Upin dan Ipin menyiram bunga, Tok Dalang muncul dengan motosikal menyuruh mereka pergi bertukar baju dan mengajak mereka pergi mengutip zakat di surau. Di surau, Tok Dalang menerima rezeki tambahan daripada seorang penduduk kampung lalu berhajat untuk memberikannya sebagai ganjaran kepada Upin dan Ipin. Pada mulanya kembar itu menolak atas alasan ikhlas tetapi akhirnya termakan goda dengan Tok Dalang hampir memasukkan duit itu ke dalam ketayapnya.
Bahagian 3[]
Pada malam harinya, Upin dan Ipin mengira duit berian Tok Dalang. Datanglah Opah ke dalam bilik mereka sambil membawa baju terlipat sambil bertanya dari mana datangnya duit itu. Setelah diceritai, Opah memuji tindakan mereka yang tidak menolak rezeki. Kemudian mereka membungkus duitnya untuk diberikan kepada kakak.
Keesokan pagi, Upin dan Ipin menemani Opan dan Ros untuk menganyam ketupat apabila mereka dikejutkan oleh bunyi hon posmen di depan rumah. Maka Ros melompat dengan teruja dan berlumba-lumba ke depan rumah untuk menerima bungkusan yang mengandungi baju raya baru yang ditempah secara online tempoh hari.
Akhirnya hari raya sudah tiba. Upin dan Ipin mengeset kamera untuk dipetik secara automatik untuk menangkap gambar satu keluarga. Kak Ros keluar dengan baju kebaya berwarna merah jambu, yang ditunjukkan oleh Opah sebagai bukan baju yang ditempah secara online itu! Setelah ditanya mengapa, Kak Ros dengan segan mengaku tidak muat.
Apapun mereka berempat pergi bergambar juga. Belum sempat kamera berpetik, tiba-tiba kedengaran panggilan kawan-kawan mereka bersama Abang Salleh dari luar, membuat Upin dan Ipin bangun dan pergi hingga membuat gambar terjejas. Ros menyambut kedatangan mereka dengan jamuan, sementara Abang Salleh menjemput semua adik-adik untuk pergi menonton wayang malam nanti.
Pada waktu senja, Upin dan Ipin bertukar dari baju raya kepada yang moden dan kasual, bersiap untuk pergi menonton wayang bersama kawan-kawan. Penampilan mereka cukup mengagumkan kawan-kawan mereka yang menanti, apalagi mencemburukan Ehsan. Namun ketika baru hendak bertolak, Ipin tersandung kerana terlupa untuk mengikat kasut, malah mengheret Upin jatuh sekali. Akibatnya kedua-dua mereka kekotoran baju dan tidak jadi pergi.
Video[]