"Belajar Lagi..?" (tiga bahagian) ialah episod pertama hingga ke-3 dalam musim ke-5 daripada siri Upin & Ipin dan Kawan-Kawan, dan juga episod pertama yang ditayangkan perdana dalam bentuk setengah jam penuh.
Plot[]
Bahagian 1[]
Upin dan Ipin sedang bermain pahlawan dengan kertas surat khabar lama dalam ruang tamu apabila mereka dikejutkan oleh iklan Gedung Hebat di kaca TV yang mengingatkan para penonton cilik supaya membuat persiapan untuk kembali bersekolah. Mereka bergegas ke dapur untuk menanya Kak Ros sama ada dia sudah mengemas barang-barang mereka, tetapi Kak Ros menyuruh adik-adiknya untuk mengemas sendiri.
Ketika mengemas, mereka mendapat bahawa kasut mereka sudah kusam, dan seluar Ipin sudah koyak. Opah menawarkan pertolongannya untuk menjahit seluar itu. Kak Ros juga meminta mereka untuk mengapur kasut mereka dengan cecair pemutih supaya kasut mereka tampak baru lagi. Akan tetapi, mereka leka buat kerja dan bermain-main dengan cecair itu sehingga membuat Kak Ros marah.
Pada waktu malam, sebelum masuk tidur, Kak Ros menanya Upin dan Ipin sama ada semua kelengkapan sedia, jawabnya cuma pemadam yang terpaksa dikongsi.
Bahagian 2[]
Hari pertama kembali ke Tadika Mesra, Upin, Ipin dan kawan-kawannya dikejutkan dengan bilik darjah yang tampak serba baru dan lebih berhias berkat pengubahsuaian yang dilakukan ketika musim cuti. Belum lagi kelas bermula, murid-murid merebut tempat duduk mengikut suka hati. Ehsan sanggup memanjangkan permainan "osom" Jarjit semata-mata untuk tempat duduk pilihannya, tetapi Jarjit tetap menang. Mail pula lebih lambat daripada murid-murid lain, terdengkot-dengkot melangkah masuk ke dalam kelas; apabila ditanya, Mail mengejutkan semua dengan jawapan bahawa dia sudah bersunat.
Belum sempat Mei Mei mendapat jawapan apa itu bersunat, Cikgu Jasmin pun datang ke kelas. Selepas mengucapkan selamat pagi kepada guru mereka, murid-murid masih berebut-rebut tempat duduk, sehingga Cikgu Jasmin terpaksa memekik untuk menarik perhatian mereka dan menguntukkan tempat duduk buat mereka. Bukan semua murid suka tempat duduk yang ditetapkan oleh guru mereka. Selepas mereka bertenang, Cikgu Jasmin bertanya khabar murid-murid, dan mengusik mereka sedikit dengan bertanya sama ada kerja rumah mereka sudah siap (padahal ini selepas cuti akhir tahun) sebelum mengedarkan buku baru. Cikgu Jasmin berpesan supaya buku-buku baru itu dijaga elok-elok dan jangan dijual (khusus buat Mail).
Jarjit memuji Cikgu Jasmin dengan serangkap pantun "Dua tiga ayam dikejar, kami tak sabar mau belajar". Ipin membalas dengan "Betul betul betul". Cikgu Jasmin berpesan lagi supaya terus bersemangat untuk belajar hingga akhir tahun, diakhiri dengan "betul tak". Belum sempat Ipin bersuara untuk membalas, satu kelas bersama-sama melaungkan "Betul betul betul" lalu tertawa.
Bahagian 3[]
Apabila ditanya oleh Ipin tentang pelajaran hari ini, Cikgu Jasmin mengajak murid-murid untuk bermain "cuba teka siapa saya" yang mana murid-murid dibahagikan kepada tiga kumpulan, iaitu Pisang (Upin, Ipin, Mail, Mei Mei), Manggis (Dzul, Ijat, Devi, seorang lagi murid perempuan), Jambu (Ehsan, Fizi, Jarjit, Susanti). Cara bermain: seorang ahli dari satu kumpulan tampil ke hadapan untuk mengajuk seekor binatang untuk diteka oleh kumpulan-kumpulan lain, setiap jawapan betul memberikan sebutir bintang.
Selepas Cikgu Jasmin memberikan contoh dengan mengajuk seekor burung, Upin diberi giliran pertama untuk mengajuk dengan meloncat sambil berbongkok dan menguak. Ajukannya berjaya dijawab oleh Jarjit, dengan jawapan "Dua tiga budak botak, jawapannya katak". Permainan diteruskan dengan setiap murid membuat ajukan yang menarik. Giliran Jarjit pula, tetapi dia membuat ajukan yang sukar diteka, berjalan kaku sambil berdiri tegak dengan kepala dialih ke hadapan sedikit, dan bersuara lembut. Satu kelas dan Cikgu Jasmin pun gagal menjawabnya, jadi terpaksalah Jarjit mendedahkan jawapannya iaitu zirafah.
Pada malam hari selepas habis sekolah, Upin dan Ipin mulai membuat kerja rumah di rumah, apabila Kak Ros meminta supaya buku-buku mereka dibalut supaya tidak mudah rosak. Selepas siap membalut satu buku sahaja, Upin dan Ipin mengulangi permainan "cuba teka siapa saya" yang diajar di sekolah dengan melekat pita perekat atas muka mereka, sementara Kak Ros menyiapkan kerja membalut sambil mengambil bahagian dalam permainan mereka. Selepas semua buku dibalut, Opah menyuruh Upin dan Ipin pergi tidur.
Video[]