"Beli, Pakai, Suka" (tiga bahagian) ialah episod ke-37, ke-38 dan ke-39 (episod ke-13 mengikut kiraan episod 30 minit) dalam musim ke-7 daripada siri Upin & Ipin.
Plot[]
Bahagian 1[]
Pada hari Rabu, Upin, Ipin dan kawan kawannya sedang melihat Ehsan minum air dengan memakai botol air barunya. Ehsan dengan lagaknya menceritakan bahawa dia menyimpan bermacam-macam botol untuk kegunaan hari masing-masing, contohnya botol bercorak gambar robot yang dibawanya hari ini untuk kegunaan hari Rabu. Selepas mereka berbual, Mail pergi melihat di luar pintu lalu menyuruh seluruh kelas bersedia untuk menyambut Cikgu Besar. Seluruh kelas gerun menunggu hinggalah yang datang rupa-rupanya Cikgu Melati. Setelah mencemuh usikan Mail itu, Ehsan sebagai ketua kelas seperti biasa memimpin kelas untuk memberi ucapan selamat pagi kepada Cikgu Melati.
Tiba-tiba murid-murid menyedari sesuatu pada cikgu Melati. Cikgu Melati berasa pelik dengan tindakan mereka. Rupa-rupanya mereka melihat kasut berwarna merah yang dipakai oleh Cikgu Melati. Rata-rata pelajar, khususnya Mei Mei tertarik dengan kasut Cikgu Melati. Cikgu Melati memberitahu tahu jika hendak membeli kasut cantik seperti kasut yang dipakainya, mereka boleh mengajak ibu bapa pergi ke gedung yang baru dibuka. Tambahnya lagi, botol Ehsan juga dibeli di situ, disangka buatan luar negara tetapi rupanya bertanda Buatan Malaysia. Pesan Cikgu, jangan disangka semua yang canggih itu buatan luar negara.
Kemudian, seluruh kelas memeriksa bekas makanan mereka dan baru mereka perasan yang itu semua adalah buatan Malaysia. Tambah Cikgu Melati lagi, semua murid-muridnya "buatan Malaysia" (kecuali Susanti). Seperti biasa Jarjit berpantun tentang barangan buatan Malaysia ("Dua tiga riang ria, saya pun ada barang buatan Malaysia") sambil menunjuk bungkusan nasi lemaknya juga ada cap buatan Malaysia, tetapi itu hanya lukisannya sendiri. Seluruh kelas bergelak ketawa.
Ketika Upin dan Ipin pulang dari bermain badminton, mereka terbau sesuatu yang hangit. Mereka dan Opah segera ke dapur untuk melihat apa yang berlaku. Rupa-rupanya Kak Ros sedang mecuba untuk membuat pizza tetapi gagal. Pesan Opah, itu kerana ketuharnya sudah lama. Upin dan Ipin memerli bahawa Opah lebih lama tetapi masih elok, lalu mereka diherdik oleh Opah. Opah berpesan kepada Kak Ros akan ada gedung yang baru dibuka. Opah mengajak Kak Ros ke sana. Upin dan Ipin tetiba muncul dibelakang Opah dan menceritakan apa yang mereka tahu tentang gedung baru itu, lalu meminta Opah untuk mengajak mereka sekali. Pesan Opah lagi, barangan buatan tempatan boleh memenuhi keperluan pengguna tempatan seperti Opah.Mereka ingin ke sana kerana semua barang disitu adalah barang buatan Malaysia.
Bahagian 2[]
Tidak lama kemudian, mereka sampai ke Gedung Barangan Malaysia. Upin dan Ipin terbaca cogan kata gedung di pintu besarnya, "Masuk je, pasti beli." Ros memesan mereka supaya jangan berharap untuk membeli apa-apa. Sekali masuk, Upin dan Upin kagum dan terpesona melihat gedung yang begitu besar dengan pelbagai barangan pilihan. Sedang mereka berjalan, Upin dan Ipin tertarik ke arah bahagian Kraf dan Permainan lalu terus meluru ke arahnya. Opah memesan Ros supaya menemankan mereka.
Kekaguman Upin dan Ipin terhadap alat-alat mainan buatan tempatan berkemuncak dengan Upin menemui gasing yang serba comel dan serupa dengan yang mereka miliki di rumah. Tetapi Ipin menemui gasing yang jauh lebih besar, membuat mereka rasa mahu bermain. Namun mereka sempat dihalang oleh Kak Ros dengan pesan "Jika rosak, ganti balik". Apapun, kembar berdua itu berjaya merayu kepada kakak mereka untuk membelikan mereka gasing yang baru mereka jumpa itu.
Upin dan Ipin dengan bangga mengangkat gasing belian mereka, mengikuti Kak Ros ke kedai kain di mana Opah sedang menemui songket buatan Malaysia yang dirasakannya cantik, tetapi sayangnya tidak mampu dibelinya. Upin berjanji untuk membelikan songket itu apabila dewasa kelak; sudah tentu Opah menganggapnya sebagai seloroh semata-mata. Ros meminta pendapat Opah tentang batik berwarna merah jambu yang ditemuinya, tetapi Ipin pergi ke arah rak batik untuk memilih kain corak harimau yang dirasakan lebih sesuai untuk kakaknya.
Maka Kak Ros mengusik balas ejekan adiknya, hingga Ipin berlari pergi hingga bertembung dengan seseorang, rupa-rupanya Muthu yang datang untuk membeli kain pelikat berkualiti dengan cita rasa tingginya, dengan pujian bahawa kain di gedung ini tidak lentur warnanya apabila dicuci. Opah setuju dengan ujaran Muthu. Muthu berpaling ke arah Ros lalu memuji pilihan kain di tangannya. Opah mencabar Muthu untuk menanggung belanja kain Ros itu; Muthu sudi menanggung untuk sehelai sahaja.
Setelah mereka meninggalkan kedai kain, Ros mahu ke kedai kasut, dan terpaksa berpisah dengan Opah yang mahu ke tempat lain. Upin dan Ipin mengikut Kak Ros atas suruhan Opah. Semasa mereka melihat-lihat kasut, Upin dan Ipin bertemu dengan Mei Mei yang kebetulan sedang membeli kasut. Malah Mei Mei memperagakan kasut merah yang sedang dicubanya bagai model berjalan di atas landasan catwalk, tetapi tiba-tiba jatuh. Ujar Upin, Mei Mei tidak pandai memakai kasut itu dan membantu pilih kasut yang sesuai.
Bahagian 3[]
Upin menunjukkan Mei Mei ke arah kasut biru di bahagian atas rak. Kata Mei Mei, dia sudah memiliki kasut itu, dengan pujian bahawa kasut itu selesa dan tidak menyakitkan kaki. Upin dan Ipin terpanggil untuk membelinya. Sambil mereka mencuba kasut tersebut, Kak Ros datang untuk jemput mereka pulang. Upin dan Ipin merayu kepada Kak Ros untuk membelikan mereka kasut itu, tetapi Kak Ros enggan. Maka mereka dengan Mei Mei cuba memujuknya dengan slogan-slogan "Cintai, beli dan guna barangan Malaysia" dan "Barangan Malaysia pilihan bijak" yang terpapar pada papan gantung di siling gedung. Akhirnya Ros akur.
Sekembali di rumah, Upin dan Ipin duduk di atas anjung dan bermain dengan kancing Velcro kasut baru mereka. Ros yang terdengar bunyi "keriut-keriut" itu berpaling ke arah mereka dan mengata adik-adiknya itu menyukai kasut mereka. Balas Upin, itu sudah tentu kerana kasutnya buatan Malaysia. Sejurus kemudian kembar itu masuk ruang tamu untuk mengungkai dan bermain dengan gasing baru mereka. Puas mereka bermain hingga gasing Upin terlanggar kotak hadiah Opah di atas lantai.
Upin pergi ke arah kotak itu untuk mengutip gasingnya, sambil menanya Opah tentang kotak tersebut. Opah yang sedang terlena terjaga oleh soalan Upin lalu teringat sesuatu โ hadiah itu untuk Ros. Maka Ros dengan terujanya pergi ke arah kotak itu untuk membukanya, sambil meminta supaya tidak diganggu oleh adik-adiknya. Sedang Upin dan Ipin menjaga tepi kain sendiri, Ros mengungkai hadiahnya dan berteriak menyambut kejutan istimewa.
Teriakan Kak Ros membuat Upin dan Ipin berpaling kepala, sementara Ros mengeluarkan hadiahnya dari kotak itu. Rupanya sebuah ketuhar gelombang mikro yang lengkap dengan ciri-ciri canggih yang membolehkan pelbagai makanan dimasak! Ros pun berterima kasih pada Opah atas hadiah itu. Balas Opah, dia mendapati ketuhar itu canggih, berkualiti, dan berpatutan harganya sebagai buatan Malaysia. Dengan itu Upin dan Ipin meminta Ros supaya dimasakkan piza dengan ketuhar baru itu.
Kemudian di padang bermain, Mail bermain gasing mengungguli Ehsan, Fizi dan Jarjit, hinggalah kedatangan Upin dan Ipin dengan gasing-gasing "buatan Malaysia" baharu mereka yang mendatangkan cabaran sengit kepada Mail, dan akhirnya mengalahkan gasing Mail. Gasing-gasing baru Upin dan Ipin dipuji oleh kawan-kawan, begitu juga dengan kasut baru mereka. Apabila ditanya, Upin dan Ipin menyebut tentang gedung barangan buatan Malaysia yang mereka kunjungi itu.
Sekembali mereka di rumah, Upin dan Ipin dihidangi oleh piza dan kek yang dibuat oleh Kak Ros dengan ketuhar barunya. Bukan setakat itu, Kak Ros memasak banyak lagi kuih-muih serta ayam panggang, tetapi nampak gayanya adik-adiknya itu tidak larat.
Video[]