Upin & Ipin Wiki
Advertisement

"Boria Suka-Suka" (tiga bahagian) ialah episod ke-40, ke-41 dan ke-42 (episod ke-14 dan terakhir mengikut kiraan episod 30 minit) dalam musim ke-7 daripada siri Upin & Ipin.

Plot

Bahagian 1

Muthubetulkanradio

Muthu membetulkan radio untuk mendengar iklan penting.

Di warungnya, Muthu menangis sambil mendengar sebuah lagu sayu yang lama di radio lamanya, apabila dia diganggu oleh Rembo yang terlanggar gerai hingga membuat radio terusik sambil dikejar oleh Upin dan Ipin. Apabila Upin dan Ipin menyapa Muthu, dari radio keluarnya iklan yang mengumumkan sambutan Hari Kanak-Kanak di Kampung Durian Runtuh anjuran UNICEF, maka Muthu meminta adik-beradik kembar itu supaya senyap dan mendengar iklan itu dengan jelas. Akan tetapi, siarannya tidak begitu jelas hingga tarikhnya tidak kedengaran.

Pada waktu makan malam di rumah, Upin dan Ipin mendapat tahu bahawa Kak Ros dan Opah bahawa mereka juga tahu akan menjelangnya acara sambutan Hari Kanak-Kanak di kampung mereka, tetapi mereka juga tidak ingat bila harinya.

Keesokan hari di tadika, Cikgu Melati mengumumkan kepada Upin, Ipin dan rakan-rakan sekelas bahawa tadika mereka dipilih untuk mengadakan persembahan pentas di acara Hari Kanak-Kanak anjuran UNICEF yang bakal diadakan di Balai Raya. Seluruh kelas tergamam mendengar nama UNICEF yang asing bagi mereka, maka Cikgu Melati menjelaskan bahawa UNICEF adalah pertubuhan yang menyelesaikan masalah dan membela nasib kanak-kanak di seluruh dunia. Namun suasana sepi tidak berubah.

Ehsandemoboria

Ehsan menunjuk cara boria sekali dengan cikgu.

Apapun, Cikgu Melati menggesa murid-murid supaya melakukan persembahan yang hebat. Kemudian, dia bertanya kepada mereka persembahan jenis apa yang diingini. Bermacam-macam jawapan yang diberikan oleh murid-murid. Mei Mei hendak berlakon seperti puteri (dengan komen pujian berbaur sindiran daripada Mail), Ijat hendak cerita, Fizi hendak nyanyian, Susanti hendak tarian, dan Jarjit seperti dijangka hendak pantun. Ehsan pula hendak pertunjukan memasak. Apabila Upin dan Ipin ditanya, jawab mereka "semua pun boleh." Itu membuat Cikgu Melati berfikir sejenak lalu mencari jalan iaitu mengadakan persembahan boria.

Rata-rata murid Kelas Aman kebingungan mendengar perkataan "boria" yang agak asing bagi mereka, kecuali Ehsan si ketua kelas yang girang menyambut cadangan gurunya, malah tampil ke hadapan untuk menujuk cara tarian dan nyanyian boria. Persembahan sejenak Ehsan menerima tepukan gemuruh daripada seluruh kelas. Jelas Cikgu Melati, boria merupakan sejenis seni pementasan yang berasal dari Pulau Pinang yang terdiri daripada lakonan, nyanyian dan tarian. Hal ini disambut oleh Fizi dan Ijat dengan gemuruh kerana mereka tidak pandai menari, apalagi Ijat pengsan terdengar "menari" tetapi Ehsan sudi mengajar mereka.

Jarjit pula mendekati Cikgu Melati untuk bertanya: "Dua tiga kuntum bunga, itu nyanyi ada pantunkah?", jawabnya "Dua tiga mandi perigi, ada โ€“ pantun empat kerat lagi". Jarjit menyambutnya dengan penuh kegirangan. Tetapi setelah ditanya bila akan diadakannya, Cikgu Melati pun mengaku terlupa.

Bahagian 2

Menarisyoksendiri

Semua menari suka-suka saja.

Ehsan geram menunggu kawan-kawan datang di pondok; sebaik sahaja mereka sampai, dia menegur mereka kerana datang lambat, apalagi masih ada antara mereka yang belum datang seperti yang diharapkan. Apapun, Ehsan segera memasang kaset ke dalam peti suara lalu terus mengajak semua kawan berlatih menari. Tindakan Ehsan itu begitu tergesa-gesa hingga kawan-kawannya agak liat untuk memberikan perhatian, maka mereka semua menari sesuka hati tanpa mengikut rentak lagu.

Hal ini membuat Ehsan tidak puas hati kerana semua cara mereka menari salah pada pengamatannya. Maka dia memadamkan muzik untuk mengambil perhatian, dengan harapan agar mereka memerhatikan lenggok tariannya dengan betul. Namun demikian, keadaan tidak bertambah baik dan semua kawan-kawan tetap leka dan lalai, menyebabkan Ehsan menutup pasang peti suaranya berulang kali hinggalah kasetnya rosak. Sambil membetulkan kasetnya, Ehsan memarahi kawan-kawannya kerana langsung tidak menari dengan betul-betul. Sebaik sahaja dia mahu ulang lagu, semua kawannya mencabut lari.

Upintukangkarang

Upin dipilih sebagai 'tukang karang'.

Tidak lama kemudian apabila Hari Kanak-Kanak menjelang, murid-murid Kelas Aman berkumpul di atas pentas di dalam Balai Raya Kampung Durian Runtuh, di mana Cikgu Melati mengagih-agihkan watak kepada mereka. Mula-mula, Upin dipilih sebagai "tukang karang" dengan tongkat berjalur merah kuning. Jarjit terburu-buru meminta supaya menjadi tukang pantun, "Dua tiga kucing berlari..." "Jarjit haruslah menari!" jawab Cikgu Melati dengan tangkas, membuat Jarjit mengeluh. Mei Mei pula meminta untuk menjadi puteri, tetapi diminta bersabar.

Cikgu Melati bersambung kerja dan memberikan sepasang marakas kepada Ipin. Mei Mei dan Susanti mendapat sebatang payung setiap orang. Mei Mei berpuas hati, membalas "Saya suka". Yang lain pula ditentukan supaya menari; ini membuat ramai daripada mereka tergamam dan gemuruh (selain Ehsan yang menyambut baik), apatah lagi Ijat yang sekali lagi pengsan.

Ipinmarakas

Ipin mengganggu Kak Ros dengan marakasnya.

Pada malam hari di rumah, Upin dan Ipin berlatih peranan masing-masing di ruang tamu, hingga mengganggu Kak Ros membuat kerja rumah. Walaupun sudah ditegur, namun Ipin tetap berani sengaja mengacaunya dengan marakasnya. Akibatnya, Ipin ditampar di punggung oleh Kak Ros, kemudian diejek oleh Upin atas kenakalannya tadi.

Opah pun tiba di ruang tamu untuk mendengar aduan Ipin tentang Kak Ros. Opah memandang Kak Ros rajin belajar di meja, kemudian bertanya adakah begitu cucu-cucu kembarnya. Upin dan Ipin mengaku sedang belajar boria untuk Hari Kanak-Kanak dengan UNICEF.

Belmonte

Saudari Wivina merasmikan sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia.

Maka tiba harinya sambutan Hari Kanak-Kanak di Balai Raya Kampung Durian Runtuh. Mula-mula sekali, Guru Besar Tadika Mesra mempersilakan wakil UNICEF Malaysia, Wivina Belmonte ke pentas untuk memberikan ucaptama. Belmonte menyampaikan ucapannya dalam bahasa Inggeris (dengan sari kata bahasa kebangsaan) tentang betapa pentingnya dewasa dan kanak-kanak menjadi contoh baik kepada satu sama lain walau di mana pun, tetapi mengakhirinya dengan ungkapan bahasa "Mari kita mulakan!"

Bahagian 3

Cakapcakap

Acara pertama: cakap-cakap.

Tabir pentas dibuka, dan diperlihatkannya enam orang murid siap dengan topi tarbus dan baju busana boria yang berwarna-warni. Ehsan berdiri di depan sekali sambil memegang mikrofon, sementara Jarjit, Upin, Ipin, Mei Mei dan Mail duduk di atas kerusi sederet. Ehsan membuka acara cakap-cakap dengan membangkitkan isu berkenaan kanak-kanak untuk ditanyakan pada mereka berlima yang duduk, bermula dengan Jarjit. "Dua tiga kanak-kanak..." Belum sempat Jarjit habis membalas, Ehsan geram menegurnya kerana ini bukan tentang "dua tiga kanak-kanak, tetapi kanak-kanak seluruh dunia". Cikgu Melati yang duduk di dalam kalangan penonton meneliti semula skripnya lalu menarik perhatian Ehsan tentang kesilapannya.

Upincakapcakap

Cakap-cakap Upin tentang kanak-kanak yang dipukul dan dimarahi.

Seterusnya, Ehsan menghalakan mikrofon kepada Upin sambil bertanyakan pendapat tentang kanak-kanak yang dipukul dan dimarahi. Hujah Upin, dia dengan kembarnya sering dipukul dan dimarahi dari dahulu hingga kini oleh kakak mereka. Ini membuat Ros rasa malu dalam kalangan penonton, dan Cikgu Melati resah. Tambah Upin, mereka dimarahi bukan kerana tidak disayangi, sebaliknya dengan niat untuk mendisiplinkan mereka supaya mereka menjadi orang berguna di masa hadapan. Dengan itu Ros kembali bersemangat untuk menonton.

Mei Mei bersetuju sedikit sebanyak dengan ujaran Upin, iaitu tidak setuju jika kadang-kadang dipukul tetapi tidak mengapa jika dimarahi. Cikgu Melati bertindak balas dengan meremukkan dan mencampak kertas skripnya. Ehsan mengaju kepada Mail pula. Mail berhujah tentang UNICEF yang membela nasib kanak-kanak. Ehsan kurang puas hati dengan cakap-cakap Mail yang begitu singkat. Upin dan Ipin membantu Mail dengan melanjutkan penerangan tentang UNICEF, lalu berucap terima kasih kepada UNICEF di hadapan. Maka Cikgu Melati akhirnya lega, sementara Belmonte tersenyum mendengar ucapan adik-beradik kembar itu.

Cakapcakapberakhir

Cakap-cakap berakhir.

Ehsan menutup acara cakap-cakap dengan kesimpulan bahawa kanak-kanak dan dewasa harus saling hormat-menghormati dan tolong-menolong. Tambah Upin, kanak-kanak harus disayangi, bukan disakiti. Laungan keenam-enam ahli pentas, "Kanak-kanak adalah pewaris masa depan", diakhiri oleh Ipin dengan "betul tu betul". Jarjit dengan girangnya mengumumkan acara seterusnya, "Dua tiga kuih keria, mari kita boria!"



Acara seterusnya yang ditunggu-tunggu adalah boria yang dipersembahkan oleh seluruh Kelas Aman, dipimpin oleh Upin sebagai tukang karang. Liriknya adalah seperti berikut:


Upin_&_Ipin_-_Boria_Suka-Suka_(With_Lyric)

Upin & Ipin - Boria Suka-Suka (With Lyric)

Mari semua rakan dan taulan,
Boria suka-suka kami dendangkan,
Ini hanyalah sekadar gurauan,
Untuk semua sebagai hiburan.
(Korus)
Mari semua rakan dan taulan,
Boria suka-suka kami dendangkan,
Ini hanyalah sekadar gurauan,
Untuk semua sebagai hiburan.
Satu, dua, tiga, empat dan lima,
Kita mesti hormat sesama kita,
Tua atau muda sama sahaja,
Barulah hidup aman bahagia.
 
(ulang korus)
Enam, tujuh, lapan, sembilan, sepuluh,
Bila berkawan jangan bergaduh,
Hidup tolong menolong jangan mengeluh,
Bersatu teguh bercerai roboh.
(ulang korus)
Tamatlah sudah ragam dan seloka,
Harap semua terhibur dan ceria,
Nasihat tadi jangan dilupa,
Inilah boria suka-suka.

Makin lama mereka berboria, makin terhiburlah para penonton. Setelah selesai berboria, seluruh Balai Raya bergema dengan tepukan tangan para penonton yang berdiri. Majlis berakhir dengan ucapan terima kasih dalam bahasa Inggeris, Mandarin, Tamil dan Malaysia oleh Upin, Ipin dan kawan-kawan.

Trivia

  • Episod ini dihasilkan khas sempena pelantikan Upin & Ipin selaku Duta Kebangsaan UNICEF bagi sesi 2013-2014.
  • Wivina Belmonte, wakil UNICEF di Malaysia merupakan jemputan khas pertama yang bukan berasal dari Malaysia.

Video

Upin_&_Ipin_-_Boria_Suka-Suka_Sing-Along

Upin & Ipin - Boria Suka-Suka Sing-Along

Advertisement