"Bulan Hantu" (tiga bahagian) ialah episod ke-22, ke-23 dan ke-24 (episod ke-8 mengikut kiraan episod 30 minit) dalam musim ke-6 daripada siri Upin & Ipin.
Plot[]
Bahagian 1[]
Upin, Ipin dan kawan-kawan sedang bermain bola sepak di tempat main, tetapi Ijat menyepak bola terlalu tinggi dan jauh sehingga terjatuh ke dalam sebuah lori, maka mereka semua terpaksa mengejar lori itu jauh-jauh sehingga lori itu berhenti di suatu tempat yang rancak dengan pekerja, di mana Mail meminta Upin dan Ipin menyusupkannya naik ke dalam lori itu untuk mencari bola itu sampai dapat. Baru sahaja menaiki treler lori itu, kedengaran pula pekikan "Oi!" oleh Ah Tong menyebabkan Mail jatuh dan bertemu dengan bola itu serta-merta, kemudian Ah Tong menolong Mail turun dengan membuka treler.
Upin dan Ipin menanya Ah Tong tentang suasana rancak di tapak itu, maka Ah Tong menjawab bahawa kerja persiapan untuk opera Cina sedang dijalankan, lantas menunjukkan sedikit aksi yang bakal dipentaskan. Dia turut mengajak mereka semua datang menonton malam kelak dan menyuruh mereka balik rumah dahulu. Setelah mereka beredar, Ehsan dan Fizi pun berjalan lalu dan menanya Ah Tong pula ke mana Upin dan Ipin pergi.
Dalam perjalanan pulang, Upin dan Ipin bertemu dengan Mei Mei yang menyeret dua bungkus besar epal ke arah bertentangan mereka. Mei Mei terpaksa menolak pelawaan Upin dan Ipin untuk bermain bersama-sama kerana memikul tugas untuk membawa buah-buahan itu pulang segera. Tiba-tiba, bungkusan-bungkusan itu pecah dan epal-epal itu pun terkeluar, jadi Upin dan Ipin menolong Mei Mei membawa epal ke rumahnya.
Setibanya di rumah Mei Mei, Mei Mei meminta Upin dan Ipin menunggu di hadapan rumah. Dalam menunggu, mereka mengambil beberapa buah limau yang terletak di depan colok yang terpacak. Mei Mei sempat keluar untuk melarang mereka, dengan menjelaskan bahawa limau-limau itu adalah sembahan kepada hantu sempena bulan hantu, iaitu bulan yang tidak sesuai untuk bermain air, lewat pulang ke rumah atau berjalan sendirian. Upin mengata Mei Mei berjalan sendirian tadi; jelas Mei Mei, sebab itulah dia tergesa-gesa. Tambahan pula, Mei Mei memesan adik-beradik kembar itu supaya tidak berpaling ke belakang apabila terdengar nama mereka dipanggil ataupun mengumpat hantu.
Bahagian 2[]
Hari sudah senja. Upin dan Ipin berlari pulang ke rumah mereka lalu meminta Kak Ros meneka bulan ini bulan apa; setelah tidak terjawab, kata Ipin, bulan ini bulan hantu. Kak Ros memerli mereka dengan ugutan hantu yang hendak menculik kanak-kanak yang tidak awal pulang ke rumah, apalagi yang botak. Opah mencelah perbualan mereka, jadi kembar itu bertanya tentang bulan hantu padanya. Jelas Opah, menurut kepercayaan Cina, pintu syurga dan neraka dibuka pada bulan ini supaya roh-roh mereka yang sudah meninggal kembali ke bumi. Kak Ros menambah pesan kepada Upin dan Ipin supaya menghormati kepercayaan Cina dan jangan mencuri buah-buahan yang ditinggalkan dekat tempat sembahyang di tepi jalan sesuka hati.
Upin dan Ipin tidak lupa menjemput Kak Ros dan Opah pergi menonton opera Cina yang diadakan oleh Ah Tong kelak. Opah menceritakan bahawa masa dirinya masih muda, dia tidak ketinggalan menonton opera Cina di kampung. Kak Ros menyuruh mereka menyiapkan kerja rumah sebelum boleh pergi ke opera.
Malam nanti, Upin dan Ipin sekeluarga berjalan kaki ke tapak pementasan opera yang sudah hendak memulakan persembahan. Kak Ros menegur adik-adiknya supaya menjaga tingkah laku. Di sekitar pentas terdapat pelbagai gerai yang menjual makanan dan cenderahati, termasuklah Mail yang mengambil kesempatan dengan opera ini untuk menambah rezeki dengan menjual jagung bakar. Ipin tetap mengata, ayam lebih sedap, tetapi disampuk oleh budak yang menjaga gerai sebelah yang mengata daging itik lebih sedap.
Kehadiran Ehsan dan Mei Mei di kawasan pentas opera menarik perhatian Upin dan Ipin. Mereka pergi kepada mereka dan bertanya apa yang dimakan oleh Mei Mei. Jelas Mei Mei, daging cucuk yang dipegangnya adalah kegemaran orang Cina, tetapi tidak boleh dimakan oleh orang Melayu, seingat dia akan pesan ibunya. Fizi dan Jarjit bermain kejar-kejar di kawasan opera sehingga terlanggar Ehsan sampai kentang gorengnya jatuh ke atas tanah. Upin, Ipin dan Mei Mei menyuruh mereka berdua itu jangan berlari-lari kerana perlu hormat kepada hantu.
Tiba-tiba, Ah Tong berlari lalu dan menyuruh kanak-kanak itu ke tepi. Upin dan Ipin menyedari sebentuk gelang jed terjatuh dari kotak yang dibawa oleh Ah Tong itu, jadi mereka mengutip gelang itu dan pergi mengekori Ah Tong ke sebalik pentas, di mana mereka bertemu dengan para pelakon yang sedang bersolek sambil berlatih lagu.
Bahagian 3[]
Dalam mencari Ah Tong, Upin dan Ipin bertembung dengan suatu lembaga bermuka putih lagi berjubah merah, yang rupa-rupanya salah seorang pelakon wanita yang siap bersolek. Setelah meminta tolong, pelakon itu menjemput mereka masuk semula sambil memanggil Ah Tong keluar. Di dalam, Upin dan Ipin mengusik-ngusik sedikit barang-barang yang ada dalam bilik mengemas, sambil tercari-cari yang mana satu pelakon bersolek atau bertopeng itu adalah Ah Tong. Akhirnya, Ah Tong yang siap dengan busana dan solekan bertemu dengan Upin dan Ipin. Upin mengambil sedikit masa untuk mengecam wajahnya sambil menghulurkan gelang jed yang dicari-carinya. Sementara itu, Ipin bermain-main dengan janggut palsu, tetapi janggut itu sempat dicabut oleh Ah Tong yang kemudiannya menyuruh mereka berdua keluar.
Di depan pentas, Upin dan Ipin disuruh datang duduk oleh kawan-kawan mereka yang menunggu di tempat duduk. Upin dan Ipin pergi duduk di kerusi depan, tetapi dilarang oleh Mei Mei kerana kerusi itu ditempah khas untuk hantu, lalu dibawa untuk duduk bersama mereka.
Sejenak kemudian, tirai pentas dibuka dan opera sudah bermula dengan aksi pelakon wanita yang menolong Upin dan Ipin tadi, disusuli oleh watak Ah Tong yang mendapat sorakan Upin dan Ipin sekawan, lebih-lebih lagi Jarjit yang berpantu "Dua tiga tangkap sotong, itu Uncle Ah Tong!" Sorakan kanak-kanak itu dipatahkan oleh Ros yang menyuruh mereka senyap supaya tidak mengganggu persembahan. Di tengah persembahan, Ipin membayangkan dirinya sebagai pelakon atas pentas hingga menjadi leka menari-nari di bawah pentas dan mengganggu perhatian penonton, kemudian disuruh balik duduk oleh Ros. Fizi memuji kehebatan Ipin beraksi sebentar itu.
Selepas opera tamat, Ehsan dan Jarjit kelaparan lagi dan mudah tergoda oleh limau dan manisan di atas meja sembahan, tetapi sempat dilarang oleh Mei Mei, Upin dan Ipin. Dalam perjalanan pulang, Upin dan Ipin terdengar suara memanggil nama mereka, membuat mereka terhenti. Rupa-rupanya Ah Tong yang memanggil dan memberi tiga adik-beradik itu topeng sebagai cenderahati. Di rumah, Upin dan Ipin bermain topeng untuk mengusik Kak Ros.
Video[]