Haji Burhanuddin bin Md Radzi merupakan salah seorang pengasas Les' Copaque Production Sdn. Bhd. yang menyandang jawatan sebagai Pengarah Urusan syarikat tersebut dan penerbit siri dan filem keluaran Les' Copaque Production. Beliau turut memegang watak Tok Dalang mulai musim kelima selepas pemergian Abu Shafian Abdul Hamid dari syarikatnya.
Merupakan seorang graduan dalam Ijazah Sarjana Muda bidang Kejuruteraan (Petroleum dan Gas Asli) dari Universiti Teknologi Malaysia pada tahun 1982. Hakikatnya, beliau bukanlah seorang yang dididik dalam dunia animasi apabila berkhidmat sebagai Jurutera Petroleum di Petronas Carigali Miri sebaik sahaja menerima ijazah. Kegigihan beliau menyaksikan Hj. Burhanuddin berjaya meraih anugerah Presiden pada tahun 1990 dan dilantik sebagai Ketua Penghasilan Operasi di tempat yang sama sebelum meninggalkan Petronas, dua tahun kemudian. Beliau kemudian menyertai Dayang Enterprise pada tahun 1994 sebagai Pengarah Urusan sebelum meninggalkan syarikat itu pada tahun 2004.
Menurut beliau, beliau merancang untuk bersara sebelum usia 50 tahun. Walau bagaimanapun, isteri beliau, Hjh. Ainon Ariff mencadangkan agar mereka menceburi dunia perfileman dan akhirnya, tertubuhlah Les' Copaque Production Sdn. Bhd. pada Disember 2005.