"Cari & Simpan" (tiga bahagian) ialah episod ke-31, ke-32 dan ke-33 (episod ke-11 mengikut kiraan episod 30 minit) dalam musim ke-6 daripada siri Upin & Ipin.
Plot[]
Bahagian 1[]
Upin dan Ipin pulang ke rumah dengan gembira, menunjuk-nunjukkan duit upah seringgit seorang yang diterima kerana membersihkan reban ayam Tok Dalang. Akan tetapi, Kak Ros tidak senang dengan mereka kerana pulang dengan serba kekotoran dan berbau busuk, oleh itu dia menyuruh mereka untuk menyimpan duit dan mandi. Tiba-tiba, Upin dan Ipin terdengar loceng penjaja aiskrim lalu bergegas pergi untuk menyambut penjaja itu. Sayang sekali, Aiskrim Metrobot yang mereka idamkan terlalu mahal pada harga RM1.50, maka mereka berpuas hati dengan Aiskrim Potong yang sama harganya dengan upah mereka.
Setelah pulang semula ke rumah, mereka ditengking lagi oleh Kak Ros kerana tidak menyimpan wang mereka dan lupa untuk mandi. Kecewa dengan sikap sambil lewa adik-adiknya tentang duit, Kak Ros mencabar mereka untuk menyimpan seringgit seorang selama seminggu, dengan menjanjikan ganjaran tambahan seringgit seorang. Ini membuat Upin dan Ipin berangan-angan menjadi orang kaya, dan mendorong mereka untuk meminta Opah untuk meminjamkan mereka duit, tetapi Opah sempat mengetepikan permintaan mereka dengan menyuruh mereka mandi.
Keesokan hari di tadika, Upin dan Ipin memujuk Ehsan untuk meminjamkan mereka duit seringgit seorang, dengan menjanjikan 'ABC' sebagai ganjaran. Ehsan yang kuat makan itu tergoda dengan menyangka bahawa mereka memaksudkan "air batu campur" lalu bersetuju. Upin dan Ipin membawa pulang duit pinjaman mereka kepada Kak Ros, tetapi Kak Ros tidak menyenangi perbuatan mereka yang mengharapkan pinjaman demi duit lalu menyuruh mereka untuk memulangkan duit itu.
Bahagian 2[]
Keesokan hari sebelum pelajaran bermula, Upin dan Ipin memulangkan duit yang mereka pinjam semalam kepada Ehsan, serta memberinya buku ABC. Ini membuat Ehsan berasa kecewa kerana ganjaran tidak seperti yang diharap. Tamat waktu sekolah, Upin dan Ipin menawarkan diri untuk menolong Cikgu Melati mengangkat buku-buku ke pejabat guru dengan mengharapkan upah. Harapan mereka tertunai dengan 50 sen seorang, maka mereka didorong untuk menawarkan pertolongan kepada Cikgu Melati sekali lagi, tetapi Cikgu Melati menasihati mereka supaya menolong dengan ikhlas. Nasihat itu membuat mereka malu kerana meminta upah, tetapi ujar Cikgu Melati, upah yang diberikannya itu juga ikhlas.
Dalam perjalanan balik ke rumah, Upin dan Ipin menanya Mail tentang di mana hasil pendapatan gerainya disimpan. Jelas Mail, dia menyimpan duit di dalam bank dan juga tabung di rumah. Maka Upin dan Ipin sedar bahawa mereka tidak pernah menabung, dan bertanya lagi bagaimana untuk mencari nafkah. Untuk itu, Mail menjemput mereka ke gerainya di pasar untuk menolongnya menjaga gerai dengan janji upah seringgit. Upin dan Ipin menunaikan jemputan itu, tetapi mereka bekerja sepanjang petang, makin lewat makin ramai pembeli, sehinggalah mereka berasa penat. Tamat waktu berniaga, Upin dan Ipin tertanya-tanya adakah Mail sentiasa bekerja hingga letih seperti mereka. Perbualan mereka disampuk oleh budak Cina penjual itik yang merintih bahawa menjual itik lebih memenatkan.
Setelah penat bekerja, Upin dan Ipin akhirnya diberi upah, tetapi dikecewakan kerana seringgit itu dibahagikan sesama mereka kepada 50 sen seorang, atas alasan "dua seringgit". Mujurlah ibu Mail mencelah untuk menegur anaknya supaya membetulkan sikapnya terhadap Upin dan Ipin, maka Mail akur dan mencurah-curahkan duit syiling dari tabungnya kepada tangan Upin dan Ipin.
Bahagian 3[]
Sekembalinya mereka dari pasar, Upin dan Ipin teruja mencari-cari Kak Ros untuk menunjukkan hasil pendapatan mereka sendiri. Rupa-rupanya, jelas Opah, Kak Ros menjalani Kem Bina Semangat anjuran sekolah, jadi adik-beradik kembar itu bercerita kepada Opah pula. Malam nanti, mereka menghitung hasil pendapatan mereka dari menolong Cikgu Melati dan Mail; jumlahnya lima ringgit, satu jumlah yang amat mengasyikkan. Oleh sebab tiada tabung, mereka menyimpan duit mereka di dalam bantal.
Keesokan hari, Upin dan Ipin menyambut kepulangan Kak Ros dengan menguar-uarkan kisah mereka mencari rezeki semalaman, tetapi Kak Ros terlalu letih untuk melayan keriangan adik-adiknya, membuat Upin dan Ipin hairan akan kurangnya semangat kakak mereka setelah menjalani Kem Bina Semangat. Selepas itu, Upin dan Ipin terus keluar untuk bermain badminton tetapi lupa untuk mengemas bilik sampai Kak Ros perasan!
Sekembali mereka dari bermain, Upin dan Ipin terkejut melihat bilik mereka dikemas dan cadar katil ditukar. Yang mencemaskan pula, duit yang disimpan dalam bantal telah hilang! Upin dan Ipin meronta-ronta menanya Kak Ros ke mana perginya duit mereka, tetapi Kak Ros berbuat tidak tahu. Maka adik-beradik kembar itu menangis teresak-esak hingga malam, dan Kak Ros cuba mengubati kesedihan mereka dengan memberi mereka duit seringgit seorang sebagai ganti. Upin dan Ipin tidak puas hati kerana "beli aiskrim je, habis", maka Kak Ros menasihati mereka supaya membuat aiskrim sendiri untuk dijual daripada hanya membeli. Atas nasihat itu, keesokan hari, Upin dan Ipin menjual aiskrim potong sendiri dekat gerai Mail di pasar.
Tidak lama kemudian, Upin dan Ipin ditemani Kak Ros ke bank dan pulang dengan menunjukkan buku simpanan mereka kepada Opah. Jelas Kak Ros, duit yang disimpan dalam bantal itu disimpan di dalam bank. Opah memuji sikap cucu-cucunya yang rajin menabung.
Trivia[]
- Episod kali ini menampilkan jenama Hong Leong Islamic Bank selaku penaja musim ini.
- Juga, episod ini disiarkan tidak berapa lama selepas Hong Leong Islamic Bank menjalinkan kerjasama dengan pihak Les' Copaque Production.
Video[]