"Cip Cip Cip" (tiga bahagian) merupakan episod pertama, ke-2 dan ke-3 dalam musim ke-9 daripada siri Upin & Ipin.
Plot[]
Bahagian 1[]
Tok Dalang menaburkan dedak kepada ayam-ayam peliharaannya sambil menyanyikan lagu "Anak Ayam". Ketika ternyanyi rangkap "Mati seekor..." seekor ibu ayam tersinggung lalu mematuk kakinya. Maka Tok Dalang terjatuh sampai dedaknya jatuh ke atas badannya, menyebabkan semua ayam mengacau di atas badannya. Sebaik bangun, Tok Dalang memarahi ayam-ayamnya supaya pergi mencari makanan sendiri.
Pada masa yang sama, Upin dan Ipin datang berjumpa dengan Tok Dalang yang baru geram dengan gelagat ayam tadi. Kembar itu tertarik oleh anak-anak ayam comel yang sedang makan di tanah halaman rumahnya, kemudian mengaum-ngaum sambil mengejar, membuat semua anak ayam lintang-pukang di merata, hinggalah mereka dimarahi seekor ibu ayam. Gelagat ini membuat Tok Dalang tercuit hati.
Ibu ayam menghimpunkan anak-anaknya untuk berarak pergi. Upin dan Ipin membilang sepuluh ekor anak ayam. Ada seekor anak ayam itu yang sungguh lembab hingga Ipin menangkapnya dengan senang. Kemudian Ipin memicit anak ayam itu, tetapi disuruh melepaskannya oleh Tok Dalang. Akhirnya anak ayam itu mematuk tangan Ipin dan meluru kembali ke kawanan.
Belum sempat Tok Dalang mula menegur tindakan Ipin, tiba-tiba perhatian mereka teralih oleh kokokan seekor lagi ibu ayam berbulu putih yang bertelur sebiji di atas tong. Sebaik ayamnya pergi, telur itu mula bergolek ke tepi tong lalu jatuh. Mujur Upin menyelamatkannya daripada pecah.
Ipin menegur kecuaian ibu ayam putih tadi, tetapi Tok Dalang berpesan bahawa "bertelur sebiji, riuh sekampung" memanglah sifat ayam. Kemudian Tok Dalang dan kembar berdua meletakkan telurnya ke dalam reban. Pada masa yang sama Mail berbasikal pantas sampai di perkarangan Tok Dalang. Dia menyampaikan dedak seguni kepada Tok Dalang lalu mengajak Upin dan Ipin bermain nanti.
Lewat-lewat petang setelah selesai bermain, Upin dan Ipin menjenguk Tok Dalang semula dan bertanya adakah ayam tadi bertelur lagi. Pada masa yang sama reban ayam menjadi riuh lalu pergi menjenguk reban. Mereka mengambil dua biji telur dari reban itu, tetapi Ipin cuai terjatuhkan telur yang dibawanya. Maka telur itu pecah dan Tok Dalang menegur mereka supaya jangan mengacau reban itu. Upin dan Ipin saling menyigung hingga Upin pun terjatuhkan telur yang ditatangnya.
Bahagian 2[]
Ketika hendak beredar dari rumah Tok Dalang, Upin dan Ipin bertembung dan membilang semula anak-anak ayam merah itu. Mereka dapati seekor anak ayam sudah hilang lalu mengadu kepada Tok Dalang. Ibu ayam itu naik cemas mendengarnya, gelabah hingga pengsan. Tok Dalang dengan pilu memesan supaya merelakan kehilangan itu.
Dalam perjalanan pulang ke rumah di bawah langit yang sudah mendung dan berkilat guruh, Upin dan Ipin terdengar suara cicipan dalam kesusahan. Rupa-rupanya si anak ayam yang hilang itu tersungkur dalam parit! Mula-mula kembar itu bertengkar akan siapa harus turun untuk menyelamatkan anak ayam itu, tetapi terpatah oleh bunyi gemuruh ribut yang menjatuhkan kedua-dua mereka sekali ke dalam parit! Maka selamatlah anak ayam itu.
Upin dan Ipin cepat membawa anak ayam itu pulang ke rumah mereka. Dalam keadaan yang serba kuyup dan comot mereka disambut oleh Kak Ros yang marah hingga membara seluruh badannya! Mujurlah sekali melihat anak ayam yang comel itu, Kak Ros reda dan mencium-cium anak ayam itu sambil bertanya di mana mereka temuinya.
Tetapi setelah dijawab bahawa ia dijumpai di parit, Kak Ros bertukar jelik dan tercampak anak ayam ke udara. Mujur Opah menyambut anak ayam itu dan menegur ketiga-tiga cucunya supaya tidak bermain-main dengan anak ayam.
Selepas mandi, Upin dan Ipin menceritakan kepada Opah dan Kak Ros mengenai anak ayam yang mereka jumpa itu dengan lagu "Ayam Dimakan Musang". Opah memuji mereka kerana mengasihani anak ayam itu. Jelas Upin dan Ipin, anak ayam ini dari rumah Tok Dalang, tetapi mereka berhasrat untuk membelanya. Kak Ros melarang dan menyuruh mereka hantar balik.
Cuaca di luar pun sudah cerah, maka Upin dan Ipin segera memulangkan anak ayam itu kepada Tok Dalang. Namun Tok Dalang tidak ceria kerana tidak cam anak ayam itu, maka Upin dan Ipin membawa anak ayam itu pergi. Tiba-tiba sahaja ibu ayam perasan akan anak ayam dalam tatangan kembar itu, naik berangsang lalu menyerang mereka. Kekecohan di luar itu membuat Tok Dalang kembali riang dan ketawa.
Bahagian 3[]
Sambil berlari dengan Upin daripada dikejar ayam, Ipin tersandung ke atas batu lalu jatuh. Kebisingannya membuat Tok Dalang terjaga dari tidur siang, maka dia pun keluar untuk tolong melekatkan plaster ke atas luka Ipin sambil menegur tindakan mereka mengacau ayam. Sebaik itu sahaja, telefon berbunyi dan Tok Dalang pun masuk balik rumah.
Seketika kemudian, Tok Dalang keluar dengan girang kerana ada orang mahu membeli ayam kampung asli, bukan kacuk. Upin dan Ipin hairan kerana tidak biasa mendengar istilah itu. Ipin meminta izin untuk melihat anak ayam menetas dari telur di reban esok, tetapi Tok Dalang dengan sinis berpesan tunggu hingga tua.
Apapun, keesokan harinya Upin dan Ipin tetap ke rumah Tok Dalang untuk memohon izin untuk menjenguk reban. Sambil menaburkan dedak kepada kawanan ayamnya, Tok Dalang melafazkan izinnya. Maka kembar itu pergi membuka atap reban hanya untuk melihat telur. Perbuatan itu diulang hari demi hari tanpa sebarang kesulitan.
Pada suatu hari kemudian, Upin, Ipin dan kawan-kawan bermain lempar selipar. Selipar siapa terkena orang, dialah juaranya. Permainan tamat dengan Jarjit menggelar diri juara selepas seliparnya mengena Ipin dan Mei Mei. Sementara Jarjit meraikan kemenangan, sebelah seliparnya dicuri oleh Rembo. Maka terpaksalah Jarjit mengejar ayam jaguh itu dengan sebelah kaki ayam.
Setelah habis bermain, Upin dan Ipin bercadang untuk menjenguk reban ayam Tok Dalang semula. Mei Mei, Ehsan dan Fizi mengikut mereka sekali. Setiba di reban, mereka berlima perlahan-lahan menjenguk si ibu ayam putih yang sedang mengeram. Upin mendekatkan tangannya dengan ayam, tetapi dipatuk sakit-sakit. Maka ayam itu bangun dengan rasa geram, kemudian mendedahkan tiga ekor anaknya yang sudah menetas. Mei Mei menghulurkan tangannya pula, tetapi akhirnya bukan sahaja dipatuk, malah dikejar pergi oleh ayam yang marah.
Keluarnya Tok Dalang dari rumah, bertanya mengapa Mei Mei menangis. Jawab Upin, dia kena patuk dengan ayam. Fizi mengujar bahawa dia pun menangis jika dipatuk ayam; Ehsan mengejek Fizi kerana mudah menangis kerana apa-apa sahaja. Pesan Tok Dalang, ayam yang beranak jangan dikacau; tambah Upin, kerana ayam sayang akan anak-anaknya.
Perbualan patah dengan bunyi retak sebiji telur yang mahu menetas. Maka mereka berlima pun senyap untuk menyaksikan gelagat anak ayam terbaru yang cuba memecah keluar dari telurnya. Setelah selesai menetas, jadinya anak ayam yang kuning lagi berisi. Kelahirannya disambut dengan meriah oleh saksi-saksi berlima.
Video[]