"Cuai, Cuai, Cuai" (tiga bahagian) ialah episod ke-10, ke-11 dan ke-12 dalam musim ke-8 daripada siri Upin & Ipin.
Plot[]
Bahagian 1[]
Upin dan Ipin pergi kepada Kak Ros yang sedang berdiri sambil melukis gambar pada papan lukis di ruang tamu untuk bertanya sama ada dia terjumpa guli mereka. Jawabnya tiada, jadi mereka berdua beredar. Sementara itu, Kak Ros melangkah undur untuk melihat hasil lukisannya dari jauh, tetapi tanpa sedar dia terinjak guli lalu terjatuh! Maka Upin dan Ipin keluar untuk melihat apa yang terjadi lantas mendapatkan guli mereka.
Kak Ros bangun dari jatuh, bajunya habis kotor ditimpa cat, lalu mengherdik dan mengukum adik-adiknya supaya mengurut badannya. Dalam pada itu, Upin dan Ipin menegur Kak Ros kerana cuai tidak mengawasi langkah. Ini membuat Kak Ros kembali marah dan menengking mereka kerana meletakkan guli di merata tempat. Jadi Upin dan Ipin pun mengaku bersalah. Kemudian, mereka bercadang untuk keluar bermain. Mujurlah Ros berkata badannya lega setelah diurut, tetapi juga meminta mereka sebelum main untuk membelikannya sebiji aiskrim Metropop dengan duit simpanan mereka sendiri. Ini membuat Upin dan Ipin melenguh kerana duit mereka cukup untuk membelikan seorang sahaja, tetapi mereka tetap menuruti permintaan kakak mereka.
Di padang bermain, Mail, Fizi, Ehsan dan Jarjit sedang bermain guli di atas pasir. Sedang mereka beradu untuk menyingkirkan sebiji guli dari bulatan dengan guli masing-masing, tiba-tiba Mei Mei mencelah untuk mengutip guli dari bulatan itu untuk melengkapi permainan congkak bersama Susanti. Pada masa yang sama, Upin dan Ipin yang sudah membeli aiskrim datang untuk menjenguk. Mail pun mengajak mereka untuk bermain guli, tetapi Upin teragak-agak kerana perlu membawa pulang aiskrim itu. Setelah diperli tidak berani oleh Fizi, Ehsan dan Jarjit, akhirnya kembar dua itu akur dan menyahut cabaran.
Cabaran kali ini adalah cuba menyingkirkan segugus guli dari bulatan; siapa habiskan dulu, dia menang. Upin membaling dahulu, tetapi hambar. Giliran seterusnya Ipin, jauh lebih kemas dan mengeluarkan sebilangan guli. Ehsan pula melancarkan guli "sepenuh kuasa" dengan mainan pelenting guli Metropop, tetapi terkeluar bulatan. Selepas cukup lama meneliti setiap segi bulatan guli untuk berstrategi, Jarjit pula melakukan balingan guli yang berjaya menyingkirkan semua guli lain, maka dialah pemenangnya.
Tamat sudah permainan, Upin dan Ipin menyesal kerana aiskrim yang mereka beli untuk Kak Ros (dalam simpanan Mei Mei ketika mereka beradu guli) sudah cair. Maka mereka berdua pun dilanda keresahan dalam perjalanan pulang kerana sudah kehabisan duit untuk membeli aiskrim ganti. Tiba-tiba, mereka terjumpa sehelai wang kertas RM100 yang mungkin dapat menawar duka.
Bahagian 2[]
Setelah kedua-dua kembar itu berfikir sebentar, Ipin bercadang untuk menggunakan wang RM100 ini untuk membeli aiskrim sebagai ganti untuk aiskrim yang sudah cair, tetapi Upin menegah dengan pesan Opah, "jangan kita ambil barang yang bukan milik kita; tak berkat". Akan tetapi, aiskrim itu sudah cair sepenuhnya, menyebabkan kembar dua itu cemas akan Kak Ros.
Di petang hari, Upin dan Ipin akhirnya kembali ke rumah, disambut oleh Kak Ros dan Opah yang risau tertunggu-tunggu. Mereka datang dengan kejutan, iaitu empat batang aiskrim yang cukup untuk seisi keluarga, termasuklah aiskrim Metropop yang dijanjikan untuk Kak Ros. Kak Ros terkilan kerana duit yang ada pada Upin dan Ipin keluar nyata cukup untuk membelikan seorang sahaja.
Apabila ditanya, Upin dan Ipin jujur bercerita tentang wang RM100 yang dijumpai di atas jalan sebelum pulang. Kebetulan pula Ah Tong berada dekat situ, tercari-cari wangnya yang tercicir. Setelah usul periksa, Upin dan Ipin memulangkan duit itu kepada Ah Tong, kemudian beredar. Tiba-tiba sahaja, Ah Tong memanggil mereka kembali untuk memberi mereka RM10 sebagai ganjaran, maka terubatlah keresahan kembar dua itu. Dalam habis bercerita, Upin terlanjur kata menyebut tentang aiskrim asal yang cair itu, hingga menimbulkan kemarahan Kak Ros. Mujur Opah mengawal keadaan dengan memesan Kak Ros supaya tidak mengacau Opah makan aiskrim.
Keesokan pagi di tadika, Upin dan Ipin berborak dengan kawan-kawan mengenai peristiwa jumpa duit semalam. Mail berpesan supaya mereka ambil terus RM100 untuk membeli lebih banyak aiskrim, kemudian ditegah oleh Upin, Ipin dan Mei Mei kerana "tak berkat". Yang lain turut sama bercerita jumpa duit masing-masing. Ehsan bercerita terjumpa duit 10 sen tetapi tidak mengutipnya, kemudian dipesan oleh Susanti bahawa 10 sen itu juga berharga. Semua murid lain mengangguk kepala setuju dengan pesan itu.
Datanglah Cikgu Melati untuk mengedarkan borang-borang izin ke Zoo Negara kepada murid-murid untuk diserahkan kepada ibu bapa untuk diisi. Rombongan ke Zoo Negara nyata mengujakan murid-murid. Tidak lama kemudian, datanglah perpustakaan bergerak, dan Cikgu sempat berpesan supaya borang-borang ditu diserahkan kepadanya esok. Di dalam kereta perpustakaan, ada kanak-kanak yang bising bergelak ketawa sambil membaca hingga disuruh senyap oleh Salleh si pustakawan.
Waktu murid-murid beratur untuk meminjam buku, Salleh berpesan supaya buku dipulangkan tepat pada masanya. Upin bertanya jika tidak, jawabnya denda. Ipin pula bertanya berapa denda itu, tetapi dibalas dengan rasa jengkel. Tiba-tiba Mei Mei dalam keadaan tergesa-gesa mencelah Ipin untuk dicop bukunya, gara-gara hendak pergi ke tandas cepat. "Macam-macam," keluh Salleh melihat kerenah anak-anak muda itu.
Bahagian 3[]
Sekembali dari tadika, Upin dan Ipin mengkhabarkan lawatan ke Zoo Negara kepada Opah dengan borang untuk ditandatangani. Sedar-sedar sahaja, Upin terlupa untuk membawa pulang borangnya. Maka Ipin menegur kecuaian abang kembarnya itu, dan Opah meminta Upin cuba mengingati betul-betul di mana letaknya borang itu. Upin mengenang masa di tadika pagi tadi, dia sendiri melipat borang itu menjadi kapal terbang kertas lalu melepaskannya ke luar perkarangan tadika. Pengakuan Upin itu membuat Opah menegur kecuaian cucunya dengan nada suara yang lebih tinggi. Apapun, Upin merayu bantuan untuk menyertai rombongan itu.
Keesokan hari di tadika, Upin dan Ipin menyerahkan borang Ipin yang ditandatangani oleh Opah dua kali, iaitu yang satu lagi bagi pihak Upin. Cikgu Melati menerima borang itu sambil berpesan kepada Upin, "Belum pergi, borang dah hilang; Bila pergi, jangan diri pula hilang." Pantun itu dipuji-puji oleh Jarjit.
Malam hari di rumah, Upin siap membaca buku "Anak Itik yang Hodoh" yang dipinjamnya dari perpustakaan bergerak lalu memintakan buku yang dipinjam oleh Ipin. Akan tetapi, setelah puas mencari di semua ceruk-meruk bilik mereka, dan juga di dalam begnya sendiri, kali ini Ipin yang cuai pula kerana kehilangan buku berkenaan. Maka Upin bermain detektif dan mula-mula menyoal Ipin di mana kali terakhir buku itu kelihatan. Jawabnya, di atas meja bilik; mula-mula ada banyak buku, sekarang satu pun tiada.
Atas penjelasan itu, Detektif Upin dan Ipin dengan gempar menyoal suspek pertama, iaitu Opah yang sedang mengeluarkan aiskrim Metropop di peti sejuk, sama ada dia terjumpa buku "Kancil yang Bijak". Jawabnya dengan lancang, "tidak". Dengan itu detektif muda berdua menuju ke suspek kedua iaitu Kak Ros.
Setiba mereka di bilik Kak Ros, mereka disambut dan dikejutkan oleh wajah putih yang mengerikan. Rupa-rupanya Kak Ros sedang memakai bedak sejuk, jadi Upin dan Ipin bertenang dan menyoal kakak mereka tentang buku yang hilang itu. Jawabnya pun "tidak", malah Kak Ros menegur kecuaian Ipin.
Teguran itu diulangi oleh Abang Salleh yang turut mengenakan denda RM 10 di perpustakaan keesokan hari. Dengan berat hatinya Ipin menyerahkan dompetnya yang berisi syiling-syiling 10 sen yang jumlahnya cukup-cukup RM10, tambah baki 10 sen. Sekembali di rumah, barulah Upin dan Ipin sedar bahawa buku yang hilang itu dijumpai oleh Opah di bawah katil mereka pagi tadi.