"Ekosistem" (tiga bahagian) merupakan episod ke-19, ke-20 dan ke-21 (episod ke-7 mengikut kiraan episod 30 minit) dalam musim ke-10 daripada siri Upin & Ipin.
Plot[]
Bahagian 1[]
Di tadika, Cikgu Melati membawa murid-murid ke taman halaman untuk mempelajari alam sekitar dan ekosistem. Cikgu mengajarkan bahawa ekosistem merupakan hubung kait antara hidupan-hidupan dan benda-benda bukan hidup di alam sekitar. Upin dan Ipin mempamerkan kefahaman mereka dengan mengambil contoh pokok bunga menerima air dan cahaya matahari untuk hidup. Sambil itu, Mail curi-curi menangkap belalang di pokok bunga, tetapi ditegur pula oleh Cikgu agar melepaskannya kerana tindakan Mail mengganggu ekosistem.
Kemudian, Susanti menemui sebatang pokok yang layu dek dihalang pokok besar, dan bersama Jarjit membawa pergi pokok itu. Keadaan bertambah rumit apabila Ehsan dan Fizi cuba memijak semut-semut yang mengusik kaki mereka, lalu Cikgu Melati datang menegah.
Selepas balik rumah, Upin dan Ipin meminta bantuan daripada Kak Ros untuk mengusahakan kerja rumah ekosistem mereka. Kak Ros meminta mereka siapkan haiwan dahulu. Mereka sudah membawa seekor ulat gonggok, membuat Kak Ros geli apabila dilepaskan. Jadi Kak Ros membuang gonggok itu ke luar dan menyuruh adik-adiknya mencari cacing pula.
Di halaman depan rumah, Upin dan Ipin terus menggali tanah untuk cacing, bahkan juga mengganggu Rembo semata-mata untuk senang jumpa cacing. Ini menimbulkan pergaduhan berkokok antara Ipin dan Rembo.
Bahagian 2[]
Kak Ros turun ke halaman untuk menunjukkan adik-adiknya cara yang senang untuk mengeluarkan cacing dengan menuangkan air garam kasar ke dalam lubang tanah. Jelas Kak Ros, cacing bernafas melalui tubuh yang lembab, jadi jika terkena air garam, kulit cacing menjadi kering, sukar bernafas dan terpaksa keluar.
Selepas kerja cacing, Upin dan Ipin keluar bertanya khabar kawan-kawan tentang kerja ekologi mereka. Ehsan membawa ikan emas dalam bungkusan berair, diejek pula oleh Ipin kerana wajahnya sama-sama berisi. Fizi pula menangkap katak. Mail pula telah menangkap belalang, malah cuba menjualnya kepada Jarjit. Sekali lagi Fizi meracau diganggu semut, meluru ke dalam pondok sehingga tersepak balang belalang Mail. Mujurlah Upin dan Ipin sedia menolong Mail menangkap semula belalang-belalangnya, dan sebagai ganjaran Mail memberi mereka belalang percuma.
Bahagian 3[]
Hari untuk menyiapkan projek ekologi sudah tiba. Namun Jarjit tiba di tadika dalam keadaan menggaru-garu hingga kulit tangannya beruam, sambil membawa ulat bulu. Mail mengujar ulat bulu itulah punca garu-garu Jarjit. Cikgu Melati turut menjenguk keadaan Jarjit lalu menerangkan kepada kelas bahawa sesetengah haiwan dan tumbuhan tidak selamat untuk dipegang.
Cikgu Melati memuji bunga matahari Mei Mei; Mei Mei menerangkan bunganya ditanam, disirami dan dipeliharanya sendiri. Kemudian beralih kepada "ekosistem tertutup" di meja Upin dan Ipin: terdirinya daripada pokok, tanah, belalang dan cacing. Semua murid berkumpul di meja itu untuk melihat sendiri. Sayangnya Upin dan Ipin tidak berapa tahu lanjut tentang hasil kerja mereka kerana sebenarnya Kak Ros yang buatkan. Cikgu Melati tolong menerangkan ekologi mini mereka di mana cacing menggali tanah supaya tumbuhan subur, ditambah lagi udara (oksigen) dan wap-wap air sebagai bekalan hidup.
Tiba-tiba Jarjit dan Mail meraung akan serangga mereka nyaris mati dalam bekas. Cikgu Melati menguji kelas mengapa terjadi begitu. Jawab Ehsan, tiada makanan. Upin dan Ipin mempersenda Jarjit kerana menyeksa ulatnya. Maka Jarjit cepat mencabut daun pokok Mei Mei untuk menyuap ulatnya. Bekas Mail pula serba berbekal, tapi serangganya nyawa-nyawa ikan juga. Rupa-rupanya tiada lubang udara, jadi tiada oksigen untuk bernafas. Maka ditebuknya lubang udara pada penutup bekas.
Episod berakhir dengan olahan baru lagu "Damai" (dari Geng: Pengembaraan Bermula) sempena tema episod.
Video[]