Upin & Ipin Wiki
Advertisement

"Tangkap Dia" (tiga bahagian) ialah episod ke-4, ke-5 dan ke-6 (episod ke-2 mengikut kiraan episod 30 minit) dalam musim ke-6 daripada siri Upin & Ipin.

Plot[]

Bahagian 1[]

Kelekatu

Upin dan Ipin memerhatikan kelekatu.

Ketika Upin dan Ipin sibuk menyiapkan kerja rumah kira-kira, mereka bertembung dengan satu kemusykilan antara buku kerja mereka, yang mana soalan yang sama terlebih satu "ulat" pada buku Upin. Rupanya ulat yang terlebih itu hidup dan terus terbang, dan tiba-tiba muncul pula ulat yang sama jenis dalam sekerumun. Dalam ketakutan, Upin dan Ipin meminta tolong Opah untuk menghalau kerumun ulat yang mengacau mereka. Sambil meminta Kak Ros untuk membawa sebesen air ke ruang tamu, Opah menjelaskan bahawa serangga itu dipanggil kelekatu (anai-anai berkepak) dan ia berkerumun dalam rumah tandanya ribut akan datang. Setelah Ros membawa besen air, Opah menyuruhnya untuk meletakkan besen itu di bawah sebiji lampu dan menutup semua lampu lain di rumah. Upin dan Ipin mengambil kesempatan untuk mengusik-usik kakak mereka; walaupun geram, Ros tetap menyempurnakan tugasnya.

Setelah suasana rumah dimalapkan, kelekatu berduyun-duyun terarik ke dalam besen lalu lemas dalam airnya. Ipin terasa kasihan melihat kelekatu-kelekatu itu lemas begitu sahaja, tetapi Upin mencemuh pula, mengapa kelekatu harus dikasihani setelah mengacau mereka. Apabila ditanya mengapa kelekatu masuk air, Ros menjelaskan bahawa kelekatu tertarik kepada cahaya. Upin dan Ipin menanya pula adakah rumah-rumah lain turut diserang oleh kelekatu, Ros hanya mampu menjawab, "mana akak tahu". Sebenarnya, rumah-rumah kawan Upin dan Ipin turut terjejas oleh kelekatu. Jarjit yang hanya dikacau oleh seekor membuat dirinya penat menangkap-nangkapnya dengan cara tersendirinya yang langsang; sementara Mail diberkati dengan raket perenjat serangga untuk pantas membunuh semua kelekatu dalam rumahnya. Ehsan pula selesa bermain permainan video bimbit di atas katilnya yang dikelilingi oleh kelambu.

Berbalik ke rumah Upin dan Ipin, masih ada banyak kelekatu yang berterbangan di ruang tamu. Upin dan Ipin menanya Opah mengapa pintu dan tingkap harus ditutup kerana menyangka kelekatu boleh keluar jika dibuka, tetapi Opah tertidur. Mereka mengajukan soalan itu kepada Ros pula, lalu dibalas dengan nada yang geram bahawa nanti ada banyak lagi kelekatu yang masuk. Ini diikuti dengan soalan bagaimana kelekatu boleh masuk walaupun semua pintu dan tingkap tertidur, maka Ros menunjukkan bolong-bolong yang terpasang di bawah bumbung. Tiba-tiba, mereka dikejutkan dengan panahan kilat dan guruh. Ros mengambil kesempatan untuk menyuruh adik-adiknya yang tersentap supaya balik menyiapkan kerja rumah, sambil memasang semula lampu-lampu yang dipadamkan tadi.

Keesokan pagi, Upin dan Ipin terjaga untuk melihat sekitar dalam dan luar rumah mereka yang bersepah dengan bangkai kelekatu. Tiba-tiba, mereka terdengar jeritan Ros dari dapur lalu meluru ke situ untuk mendapati kakak mereka dalam rasa geram, cuba menghalau seekor katak dengan penyapu. Upin dan Ipin teruja melihat katak itu lalu hendak cuba menangkapnya. Sambil dikejar dan dikepung oleh kembar itu, katak itu melompat pula ke atas pakaian Ros, membuatnya berasa geli dan naik angin. Akhirnya, katak itu pun turun dan menuju ke luar rumah, maka Upin dan Ipin terus mengajarnya tanpa menghiraukan pekikan Kak Ros supaya balik.

Bahagian 2[]

Sangkatak

Sang katak cuba melarikan diri dari ditangkap oleh Upin dan Ipin.

Upin dan Ipin mengejar katak itu sehingga ke titi yang menyeberangi sebatang anak sungai, tempat yang cukup sesuai untuk si katak melarikan diri dari ditangkap. Tanpa bersabar, si katak menerjun ke dalam anak sungai, tetapi belum sempat ia mencecah air, ia ditahan jua oleh Ipin. Sebaik sahaja menangkap katak itu, Upin dan Ipin terdengar laungan girang Jarjit yang berjaya menangkap sesuatu dalam balang. Maka mereka mendekati Jarjit untuk bertanya apa yang ditangkapnya. Dengan terujanya Jarjit mengumumkan penemuan "ikan berkaki". Upin membetulkan Jarjit bahawa makhluk-mahkluk air dalam balang Jarjit itu ialah berudu, iaitu anak katak, tetapi Jarjit tetap bertegas bahawa ia merupakan ikan sambil menuding jari ke arah anak sungai.

Upin dan Ipin pergi ke tepi anak sungai dan kagum melihat banyaknya berudu dan anak katak di dalam air. Di kalangan semua berudu itu, Ipin terlihat seekor anak katak yang berkaki empat dan berekor, lalu menjerit "ada tangan". Jarjit bergegas untuk cuba menangkapnya, tetapi tangannya terkena suatu bahan melekit yang berbintik-bintik. Upin menerangkan bahawa itu ialah telur katak, lalu meminta Jarjit menghidu baunya. Jarjit terasa mual dengan bau busuk telur katak lalu meletakkannya ke dalam air semula, dan pada masa yang sama tangannya dihinggapi oleh seekor anak katak. Tiba-tiba, si katak yang ditangkap oleh adik-beradik kembar itu terlepas, maka Upin dan Ipin pergi mengejarnya semula.

Sementara itu, Ehsan, Mei Mei dan Fizi menghendap di sebalik semak sambil memburu sesuatu, tiba-tiba dikejutkan oleh kejaran Upin dan Ipin ke atas si katak sehingga berlanggar. Dengan geramnya Ehsan bangun dari terlanggar, terdengar pula Mei Mei yang berkata sudah jumpa. Ehsan bergegas ke tempat Mei Mei untuk menangkap apa yang diburu itu, kemudian mengusik Ipin dengan menyorokkan benda itu di dalam tangannya, sebelum akhirnya menunjukkan seekor serangga hijau. Jarjit mengatakan bahawa yang dipegang oleh Ehsan itu ialah belalang kunyit. Mei Mei berkata bahawa dia suka makan belalang, membuat kawan-kawannya berasa geli mendengarnya. Mei Mei menjelaskan bahawa belalang sedap seperti ayam goreng, membuat Ipin terbayang akan ayam goreng ketika merenung belalang itu. Tambah Upin, arwah ayah mereka juga gemar makan belalang.

Ipin leka membayangkan keenakan belalang dan cuba merampas belalang itu, tetapi Ehsan sempat menghalang. Fizi mencadangkan agar belalang itu dijadikan umpan ikan, tetapi Ehsan menegah kerana hendak membawa serangga itu ke sekolah keesokan hari. Jarjit cuba menangkap belalang dalam semak lalu mengagumkan mereka dengan tangkapan yang juga hijau tetapi agak berlainan. Mei Mei menerangkan bahawa itu ialah mentadak yang menjadi asas kepada kung fu Cina, lalu menunjukkan serba sedikit langkah-langkah waja diri.

Mentadakmentadu

Si mentadak menjawab soalan "Mentadak, mentadu"

Upin pula membuat satu kepandaian dengan mentadak itu, iaitu "Mentadak, mentadu, macam mana Jarjit tidur?" Mentadak itu membalas dengan berbuat-buat mati, membuat Ehsan dan Fizi mengejek-ngejek cara Jarjit tidur. Oleh itu, Jarjit dengan geram menuduh mentadak itu menipu dan hendak menghentamnya, tetapi sempat dihalang oleh Mei Mei. Jarjit pun bertenang dan bertanya pula "Dua mentadak, tiga mentadu, macam mana Upin tidur?" Mentadak itu tidak bertindak balas pun, maka Fizi menegur Jarjit kerana tersalah lagu, maka Jarjit mencuba "Mentadak, mentadu, macam mana Upin tidur?" Kali ini, mentadak berbaring mengiring sambil menyokong kepala dengan sebelah kaki depannya, juga membuat kawan-kawan tercuit hati termasuk Ipin, namun Upin menafikan bahawa begitulah cara dia tidur.

Sementara Upin dan Ipin saling mengejek postur tidur mereka, si belalang dalam genggaman Ehsan bertentang mata dengan si mentadak di tangan Jarjit. Si mentadak menunjukkan wajah terbuka seleranya, membuat si belalang terbang pergi ke angkasa dalam ketakutan, tetapi oleh sebab tidak boleh terbang tinggi-tinggi, ia terjatuh pula ke dalam celah baju dengan tengkuk Ehsan, membuat Ehsan rasa geli.

Bahagian 3[]

Ehsan menggaru-garu badannya dalam rasa geli kerana belalang telah jatuh di atasnya, dan akhirnya belalang itu keluar dari seluarnya. Belalang itu menghinggap di atas semak semula, tetapi kebebasannya tidak kekal lama apabila ia dipungut balik oleh Fizi lalu dimasukkan dalam balang Mei Mei. Mei Mei turut menaruh dua helai daun ke dalam balang sebagai bekalan makanan si belalang. Balang itu pun ditutup dengan kertas yang dicucuk-cucuk untuk membuat lubang udara. Maka Mei Mei dengan gembiranya membawa pulang si belalang yang dituntutnya, sambil dikejar oleh Ehsan yang terang-terangan menangkap belalang itu awal-awal lagi.

Mei Mei, Ehsan dan Fizi yang berkejaran itu melewati Mail yang membawa sebatang jaring. Dengan rasa hairan, Mail berpaling kepada Upin dan Ipin dan bertanya apa hal dengan mereka bertiga. Upin pun tidak terjawab. Mail bertanya pula sudahkah Upin dan Ipin menemui sesuatu untuk dibawa ke tadika esok, dan mereka pun mengeluh "belum". Dengan itu, Mail menjemput mereka menangkap labah-labah kerana lebih senang.

Tidak berapa lama kemudian, Upin, Ipin dan Mail masih mencari-cari dalam semak. Upin kecewa kerana mengharapkan kerja menangkap ini senang, tetapi Mail berpesan agar mencari betul-betul. Tiba-tiba, Upin terlihat seekor pepatung yang menghinggap atas sekuntum bunga merah yang menonjol, dan memanggil Ipin dan Mail ke mari. Mail cuba menangkap pepatung yang berada di depan matanya, tetapi pepatung itu terlepas dan memaksa Mail mengejarnya. Pepatung itu menghinggap pula di atas benang rambut Upin, jadi Mail memesan Upin supaya senyap dan tidak bergerak, mengira hingga dua dan mengayunkan jaringnya ke atas kepala Upin. Apapun, si pepatung terlepas lagi dan Upin geram kerana kepalanya tertangkap dalam jaring Mail pula.

Sekali lagi, mereka bertiga berlumba-lumba mengejar pepatung itu, tetapi akhirnya pepatung itu terbang tinggi ke langit hingga tidak tercapai lagi. Sekali lagi, kembar itu berduka. Tiba-tiba, Jarjit muncul di hadapan Upin, Ipin dan Mail sambil menangis kerana mentadak yang ditangkapnya sudah hilang! Cerita Jarjit, dia bertanya kepada mentadak itu bagaimana dirinya tidur, dan mentadak itu membuat lagak tidur lena beriring. Jarjit leka tertawa kerana puas hati dengan jawapan mentadak, tetapi tiba-tiba ia dibawa pergi oleh Rembo dalam paruhnya. Upin, Ipin dan Mail meluahkan rasa kasihan melihat Jarjit bernasib malang, tetapi Jarjit masih berpuas hati dengan berudu.

Jarjit pun pulang setelah puas berbual, dan Upin, Ipin dan Mail kembali mencari labah-labah dalam semak. Dengan senangnya Upin menemui sarang labah-labah dalam semak dan akhirnya, seekor labah-labah yang menyorok dalam daun gugur, lalu menyuruh Ipin dan Mail cepat ke mari. Mail bersiap sedia dengan kotak mancis untuk menyimpan labah-labah, memungut daun itu lalu menggoncang daun itu untuk menjatuhkan labah-labah ke dalam kotak mancis. Setelah begitu senang menangkap labah-labah, Mail pun bergegas balik, dan Upin dan Ipin masih tercari-cari haiwan kecil untuk dibawa ke tadika esok.

Dari sebalik semak, kedengaran pula bunyi katak, maka Upin dan Ipin pergi mencari dari mana datangnya bunyi itu. Dalam mencari katak, mereka terlihat sesuatu benda hijau seakan kelongsong berlengkung-lengkung yang tergantung pada dahan. Benda tergantung itu bergoncang-goncang dan akhirnya membuka dari bawah untuk menjelma sebagai kupu-kupu bersayap biru berkilau yang mengagumkan.

Keesokan hari di tadika, para pelajar menyerahkan haiwan-haiwan kecil tangkapan masing-masing kepada Cikgu Jasmin. Yang menghairankan, Mei Mei tidak jadi membawa belalang, sebaliknya membawa masuk kurungan yang berisi seekor ladybird. Jasmin menyatakan istilah tempatannya iaitu kumbang kura-kura. Setelah memuji Mei Mei, Cikgu Jasmin terlihat balang yang berisi benda tidak bernyawa lalu bertanya. Balang itu dibawa oleh Ipin yang memanggilnya "rama-rama", tetapi Jasmin membetulkannya bahawa itu sebenarnya ialah kepompong. Kemudian, Cikgu Jasmin membuka kotak yang bertanda nama Upin, dan dikejutkan dengan katak yang melompat keluar ke atas lengan baju kurungnya sampai membuatnya geli. Katak itu kemudiannya mendarat atas meja dan menakut-nakutkan serangga-serangga yang dibawa oleh murid-murid lain, maka timbulnya kekecohan.

Tonton di RCTI+[]

Advertisement