Upin & Ipin Wiki
Advertisement

"Hari Misteri" (tiga bahagian) ialah episod yang ke-25, ke-26 dan ke-27 (episod ke-9 mengikut kiraan episod 30 minit) dalam musim ke-6 daripada siri Upin & Ipin.

Plot[]

Bahagian 1[]

Pada awal-awal pagi yang indah, Rembo, anak jantan peliharaan Tok Dalang, hinggap di tingkap bilik Upin dan Ipin untuk berkokok sambil mengusik. Hanya Upin yang mudah terjaga. Setelah terjaga, dia teringat akan sesuatu, lalu mengambil kalendar lalu bersusah-payah membangunkan Ipin. Setelah berjaya, dia menunjukkan kepada Ipin hari istimewa 16 haribulan yang dibulatkan pada kalendar. Reaksi Ipin, menyorak dalam kegembiraan!

Dengan terujanya mereka berlari ke dapur untuk bersarapan. Mereka meminta Kak Ros dan Opah meneka, "hari ini hari apa?" Ros dengan sinisnya menjawab, hari ini "hari akak sibuk", sementara Opah tiba-tiba teringat mesti berjumpa dengan Ah Tong. Ini membuat Upin dan Ipin tergamam dan menyangka bahawa Opah dan Kak Ros melupai hari ini yang istimewa, lalu keluar bersiar-siar untuk berjumpa dengan kawan-kawan, dengan harapan agar mereka semua mengingati hari ini hari apa.

Detu i meimei

Detektif Upin dan Ipin kembali beraksi.

Tiba-tiba, mereka bertembung dengan Mei Mei yang cemas kerana kehilangan kotak yang hendak dihantar kepada Muthu atas suruhan ibunya, setelah terlanggar orang. Dengan itu, Upin dan Ipin bertukar kepada ragam detektif, lantas menerima keterangan dari Mei Mei yang tidak tahu sendiri apa isi kandungan kotak yang berwarna kuning dengan penutup biru itu. Selepas itu, Upin dan Ipin ke tanah lapang untuk memulakan penyiasatan, lalu terjumpa klip rambut bunga dan jejak kaki di atas tanah lapang.

Bahagian 2[]

Muthu upin ipin

Muthu membelanja Upin dan Ipin makan minum.

Dengan bahan-bahan bukti yang ada, Upin dan Ipin bergegas ke rumah Susanti, di mana Susanti, Devi dan Mail sibuk meniup belon. Salah sebiji belon itu terletup kuat-kuat sampai kedengaran di luar. Setelah terdengar panggilan dari adik-beradik kembar itu, Susanti menyelinap keluar tanpa membuka pintu luas-luas, membuat Upin dan Ipin hairan dan bertanya bunyi apa yang mereka dengar tadi. Susanti mengaku tidak terdengar apa-apa.

Detektif Upin dan Ipin menunjukkan klip rambut yang mereka jumpai tadi (rupanya milik Susanti), lalu menanya Susanti apa yang dia buat di tanah lapang. Jelas Susanti, dia hanya menghantar barang ke Muthu. Detektif Upin dan Ipin pun menerangkan bahawa Mei Mei kehilangan kotak makanan. Dengan rasa gementar, Susanti masuk balik ke dalam rumah. Ipin berpendapat bahawa Susanti tidak bersalah kerana pesalah sudah terpijak makanan, tetapi tiada apa-apa kesan pada selipar Susanti.

Kemudian, Upin dan Ipin berjalan ke gerai Muthu. Muthu yang sedang menelefon tiba-tiba menamatkan perbualan setelah terlihat Upin dan Ipin, lalu membelanja mereka makan dan minum. Menariknya, ketika menanya Upin dan Ipin, Muthu asyik menyelang-nyelikan perkataan "laici" dengan perisa-perisa lain, tetapi Upin dan Ipin memesan air kosong sahaja. Untuk makanan pula, Ipin memesan goreng, tetapi ayam goreng sudah habis! Upin memesan nasi goreng pula, itu pun sudah habis! Jelas Muthu, semua makanan itu habis dihantar ke rumah Upin dan Ipin ... dengan tidak sengaja, Muthu memecah rahsia! Maka Upin dan Ipin bergegas pergi ke rumah mereka.

Upin iin ehsan fizi hadiah

Ehsan membawa kotak yang mencurigakan.

Ketika sampai di rumah, Upin dan Ipin terlihat Ehsan memegang sebuah kotak kuning, menuju ke arah sambil diiringi oleh Fizi. Ehsan dan Fizi cemas melihat wajah adik-beradik kembar itu lalu berpatah balik, tetapi Upin dan Ipin mendekati mereka. Apabila Upin dan Ipin bertanya tentang kotak itu, Ehsan dan Fizi berkata bahawa hadiah ini adalah untuk diberikan kepada Tok Dalang, tetapi Tok Dalang tiada di rumah! Setelah menyedari bahawa kotak hadiah itu berwarna kuning dengan penutup biru, Detektif Upin dan Ipin mengesyaki Ehsan dan Fizi mencuri pula. Dengan cepat Fizi meniru suara Kak Ros untuk mengusir mereka.

Bahagian 3[]

Kejutan hari jadi u i

Kejutan!

Upin dan Ipin berlumba balik ke rumah mereka, lalu mengesan bau yang pelik yang datang dari rumah, tanpa menyedari adanya selipar tetamu di bawah tangga. Mereka membuka pintu utama rumah lalu melangkah ke dalam ruang tamu yang malap dan sunyi. Dalam suasana yang begitu sedikit cahaya, adik-beradik kembar juga menyedari kelainan dalam ruang tamu, seperti meja makan dan belon. Tiba-tiba, lampu menyala semula, dan Upin dan Ipin dikejutkan oleh Opah, Kak Ros, dan kawan-kawan yang menyanyikan lagu "Selamat Hari Jadi", diikuti oleh lagu "Panjang Umur" yang dipimpin oleh Susanti. Mei Mei sempat menyanyikan sedikit lagu "Selamat Hari Jadi" versi Cina, sebelum disampuk oleh Mail.

Upin dan Ipin menarik nafas lega kerana Kak Ros tidak melupai hari jadi mereka. Opah menjelaskan bahawa majlis hari jadi kejutan ini dirancang oleh Kak Ros bersama taulan-taulan sekalian. Mei Mei menjelaskan bahawa kotak besar biru kuning yang dibawa oleh Ehsan dan Fizi itu adalah khas buat Upin dan Ipin, tetapi hadiah itu harus dibuka selepas makan kek.

Mak abah ros upin ipin

Gambar keluarga Upin dan Ipin.

Selepas makan kek serta bermain sakan, Mail menjemput Upin dan Ipin untuk membuka hadiah. Dalam kotak biru kuning ada set dan pakaian detektif. Selain itu, terdapat kotak hadiah ungu yang di dalamnya ada sebuah lagi kotak, dan di dalamnya ada sebuah lagi kotak dan sebagainya, umpama anak patung Matryoshka, hinggalah kotak yang paling kecil yang berisi buku "Adik yang Baik"; rupa-rupanya hadiah daripada Kak Ros.

Giliran Opah pula menghadiahi cucu-cucu yang menyambut hari jadi mereka, yang berupa sehelai gambar lama dalam bingkai. Di belakang bingkai itu tertulis, "Mak, Abah, Ros, Upin dan Ipin"; rupa-rupanya inilah gambar Upin dan Ipin sewaktu bayi bersama Kak Ros yang masih budak dan arwah ibu bapa mereka. Dengan rasa bersyukurnya, Upin dan Ipin berterima kasih kepada Opah atas hadiah yang paling istimewa itu.

Trivia[]

  • Episod ini diterbitkan khas sempena ulang tahun kelima penyiaran siri Upin & Ipin di TV9 yang bermula pada 14 September 2007.
  • Di sini, tarikh lahir Upin dan Ipin didedahkan. Tidak seperti animasi yang lain di mana tarikh lahir watak protagonis dipilih sempena tarikh perdana suatu siri, Upin dan Ipin dilewatkan dua hari kepada 16 September. Hari jadi mereka berdua juga disambut pada hari Malaysia.
  • Dalam episod ini, Detektif Upin & Ipin bertukar daripada bersifat khalayan kepada bersifat lebih realistik dengan kit detektif sebenar, lengkap dengan pakaian.

Video[]

Promo_UI_Musim_6_-_Hari_Misteri_23_Sept,_6PM,_TV9

Promo UI Musim 6 - Hari Misteri 23 Sept, 6PM, TV9


Tonton di RCTI+[]

Advertisement