Upin & Ipin Wiki
Advertisement

"Gelapnya..." (tiga bahagian) ialah episod yang ke-28, 29 dan 30 dalam musim ke-5 daripada siri Upin & Ipin dan Kawan-Kawan.

Ringkasan[]

Rumahtangga Upin dan Ipin digemparkan dengan bil elektrik yang lebih mahal daripada biasa, sampai membuat Opah rebah. Kak Ros menyalahkan Upin & Ipin kerana jadinya begini. Di tengah-tengah masa Upin dan Ipin membuat kerja rumah, tiba-tiba bekalan elektrik terputus sampai semua rumah kampung gelap-gelita. Mujurlah Kak Ros membuka lilin supaya mereka boleh menyiapkan kerja rumah. Walaupun televisyen tidak dapat dibuka ketika elektrik tiada, namun mereka tetap mencari hiburan dalam bentuk main bayang. Keesokan hari, Upin, Ipin dan kawan-kawan berbincang tentang waktu elektrik terputus, ada yang menjadikannya alasan untuk tidak menyiapkan kerja rumah!

Plot[]

Bahagian 1[]

Cikgu Jasmin mengakhiri kelas dengan menyuruh murid-muridnya untuk membuat kerja sekolah. Murid-murid semua berpakat untuk bermain petang nanti, tetapi Mei Mei mengingatkan mereka untuk membuat kerja sekolah terlebih dahulu. Balik nanti, Upin dan Ipin melihat dan memerli Kak Ros yang memegang sehelai "surat", rupa-rupanya surat itu bil elektrik yang mahal kerana rumah terlalu banyak menggunakan tenaga elektrik. Oleh itu, Kak Ros menyuruh adik-adiknya supaya berjimat kerana bil ini mampu membuat Opah pengsan. Opah pun datang menjenguk cucu-cucunya bertiga dan melihat bil itu sendiri, dan dia pun terkejut dan rebah setelah melihat jumlah bil dibayar mencecah RM200. Setelah didudukkan, Opah merintih bagaimana untuk memanggung bil elektrik yang sebegitu mahal itu. Ros, Upin dan Ipin menyalahkan satu sama lain atas kejadian itu.

Waktu keluar bermain, mereka bermain cina buta. Fizi menutup matanya dengan kain dan memburu yang mana akan "jadi" dengan meneka dengan betul kawan yang disentuhnya. Akan tetapi, Ijat mengundurkan diri daripada permainan kerana hendak menghabiskan kerja rumah. Oleh itu, yang lain terpaksa terus bermain tanpanya. Balik rumah nanti, Upin dan Ipin memasang kipas bilik kuat-kuat untuk berjemur ketika mereka disuruh oleh kakanya untuk mandi dan buat kerja sekolah. Sewaktu hendak mandi, adik-beradik kembar itu teringat ada cerita menarik di TV, maka mereka pergi memasang TV. Lama-kelamaan, mereka tertidur di depan TV yang terbiar terbuka lalu dikejutkan dengan marah oleh Kak Ros kerana sikap adik-adiknya yang membazir elektrik.

Bahagian 2[]

Pada waktu malam yang hujan dengan petir sekali, Upin dan Ipin bergegas ke meja untuk menyiapkan kerja rumah. Belum sempat menjawab satu soalan dalam buku kerja, tiba-tiba lampu terpadam serempak dengan tempikan guruh. Upin dan Ipin menyeru Kak Ros untuk membuka lampu, tetapi tidak terbalas, maka mereka cuma memasang suis sendiri, itu pun tidak berkesan. Mereka juga cuba membuka televisyen, tetapi ia tidak buka juga. Apatah lagi, angin kencang dan hujan lebat dari luar membuat tingkap dan langsir menghantuk-hantuk, membuat suasana dalam rumah menjadi ngeri.

Tiba-tiba, Ros mengejutkan Upin dan Ipin dengan menyuluhi mukanya di depan mereka! Ros melihat ke luar tingkap dan mendapati seluruh kampung menjadi gelap. Opah pun keluar dengan rasa hairan kerana bil elektrik sudah dibayar. Ros menerangkan bahawa bekalan elektrik seluruh kampung terputus disebabkan hujan. Oleh itu, Opah menyuruh Ros untuk menyalakan lilin. Upin dan Ipin tertarik dengan lilin lalu ingin cuba menyalakan lilin sendiri, tetapi dilarang oleh Ros. Kak Ros sempat menyuruh adik-adiknya untuk menyiapkan kerja rumah mereka dan menegur songehan mereka akan kegelapan. Opah sempat menceritakan zaman mudanya apabila masyarakat terpaksa berpelita kerana tiada bekalan elektrik. Tambah Ros, sebab itulah kerja harus dibuat siang-siang.

Selepas menyiapkan kerja rumah mereka jua, mereka bermain bayang-bayang di depan tirai selagi lilin masih bernyala, iaitu main teka binatang, "wayang kulit" dan sebagainya. Kak Ros pun turut berseronok bersama mereka. Setelah lilin kehabisan, Kak Ros menyuruh adik-adiknya pergi tidur. Dalam perjalanan ke bilik mereka, tiga adik-beradik ini dikejutkan dengan lembaga putih.

Bahagian 3[]

Keesokan hari di tadika, Upin dan Ipin dan kawan-kawan berkongsi pengalaman bergelap malam semalam. Upin dan Ipin mengakhiri cerita mereka dengan kejutan dari Opah yang baru habis bersembahyang dan memakai jilbab putih, sampai Ros terkena demam kerana takut. Setelah mendengar fasal main bayang-bayang, Dzul mengulas, tidak elok bermain bayang-bayang kerana takut bayang-bayang itu akan hilang. Mail pula membalas Dzul bahawa itu cuma tahyul yang direka oleh orang tuanya supaya tidak bermain api sampai terbakar. Ehsan bercerita, sewaktu bekalan elektrik terputus, dia tengah makan bersama ayahnya; dia makan dengan terlalu gelojoh sampai tercekik tulang ikan, sampai terminum air dari kendi; apatah lagi, bapanya memasukkan segumpal nasi ke dalam mulutnya supaya cekiknya reda. Mail pula nampak seronok dengan kejadian lampu terpadam itu. Ketika tengah mengira wang, lampu terpadam dan dia pergi mengeluarkan lampu-lampu suluh yang dibelinya untuk dijual untuk "dua seringgit".

Celoteh murid-murid akhirnya patah dengan kehadiran Cikgu Jasmin secara tiba-tiba, menyebabkan semua murid berpusu-pusu kembali ke tempat duduk masing-masing untuk menyambut ketibaan guru mereka. Apabila ditanya sama ada kerja rumah semalam siap, kebanyakan mereka mengerang gara-gara kejadian bergelap semalam, kecuali Upin, Ipin, Mei Mei, Susanti dan Ijat yang menyerahkan buku-buku mereka dengan bangganya. Cikgu Jasmin berpesan supaya menyiapkan kerja rumah sebelum bermain, tetapi dibalas dengan kehebohan lapan orang murid yang cuba menceritakan pengalaman bergelap mereka. Akhirnya, mereka dihukum berdiri di atas kerusi. Setelah hukuman berakhir, lapan murid yang belum menyiapkan kerja rumah itu disuruh berbuat demikian sekarang.

Petang nanti, Upin dan Ipin menyiapkan kerja rumah mereka seperti yang dipesan oleh Kak Ros dan Cikgu Jasmin, lalu bergegas keluar rumah untuk bermain tanpa lupa untuk menutup kipas dan meyakinkan kakak mereka. Akan tetapi, kali ini lebih sunyi kerana ramai-ramai tengah menyiapkan kerja sekolah siang-siang, cuma tinggal Mei Mei dan Ijat yang ada masa untuk bermain dengan adik-beradik kembar. Yang boleh main cuma masak-masak, itu pun hanya Mei Mei dan Ipin suka. Malam nanti, Upin dan Ipin seronok menonton TV sambil ketawa dan memerli Kak Ros yang tengah membuat kerja rumahnya. Serik dengan usikan adik-adiknya, Ros senyap-senyap pergi ke papan suis untuk memutuskan bekalan elektrik sampai rumah gelap sebagai satu usikan balas buat mereka.

Tonton di RCTI+[]

Advertisement