FANDOM


Mengandungi kandungan CC-BY-SA dari rencana Geng: Pengembaraan Bermula di Wikipedia (pengarang)



Geng: Pengembaraan Bermula merupakan sebuah filem yang diterbitkan oleh Les' Copaque Production Sdn. Bhd. Filem ini merupakan filem pertama yang diterbitkan oleh Les' Copaque selepas ditubuhkan pada tahun 2005. Juga, filem ini merupakan filem animasi CGI dan 3D pertama di Malaysia. Geng: Pengembaraan Bermula mula menemui penonton di pawagam pada 12 Februari 2009 di Malaysia, 9 September 2009 di Indonesia, dan 27 Ogos 2010 di India.

Sinopsis

Badrol dan Lim kembali ke Kampung Durian Runtuh untuk menziarahi Tok Dalang. Namun, mereka bersama Upin, Ipin, dan lain-lain secara tidak sengaja menemukan sejenis makhluk dari alam lain dan tersesat di tengah hutan. Bersama makhluk tersebut, mereka nekad untuk pulang sebelum berjaya menyelesaikan masalah secara tidak sengaja apabila bertemu dengan kumpulan pemburu haram.

Plot

Stesen televisyen LCTV bersiaran langsung dari Kampung Durian Runtuh untuk meliputi kejadian kecurian durian yang ganjil. Tok Dalang muncul di kaca TV untuk menceritakan fasal "Menembak Hantu Durian" yang menggerunkan penduduk kampung. Di Kuala Lumpur, Badrol, cucu Tok Dalang, bersama kawannya Lim menonton telatah datuknya, kebetulan mereka bersiap sedia untuk menziarahinya pada hari keesokannya.

Pada pagi keesokan, Badrol dan Lim bertolak ke Kampung Durian Runtuh dengan menaiki bas, tetapi bas rosak di tengah jalan, walaupun cuma 5 km dari kampung. Mereka berdua terpaksa berjalan kaki (Lim pula dibebani beg yang berat diisi barang-barang yang tidak penting) sehingga tibanya lori Pak Mail dan Singh si player penembak hantu. Dalam lori, Pak Mail menceritakan misteri Hantu Durian kepada kedua-dua pemuda ini.

Setibanya di kampung, mereka bertemu dengan Muthu untuk bertanya jalan. Muthu menyuruh si kembar Upin dan Ipin yang asyik mengacaunya, agar menemani Badrul dan Lim ke sana, diikuti sekali oleh Ros, kakak kepada Upin dan Ipin.

Setibanya di rumah Tok Dalang, selepas berehat sejenak, mereka mencuba motosikal yang diletak di kawasan rumah Tok Dalang. Lagak mereka meriuhkan suasana sepanjang jalan-jalan kampung, sehingga mereka bertembung dengan Rajoo dan Sapy, menyebabkan alat radio Rajoo tercicir ke dalam air. Rajoo mengugut mereka untuk menggantikan radionya yang rosak itu, jadi Lim terpaksa berjanji untuk menyerahkan pemain CD-nya kepada Rajoo pada keesokan hari.

Pada waktu malam, Tok Dalang menceritakan lagi misteri Hantu Durian kepada Badrol dan Lim. Ketika waktu tidur, Lim tercari-cari tandas tetapi tidur balik gara-gara perasaan ngeri, memandangkan bilik tandas tidak sebumbung dengan rumah.

Bermulanya hari yang baru, Tok Dalang memesan Rajoo agar membawa Badrol dan Lim ke dusunnya dengan menaiki kereta lembu yang ditarik oleh Sapy. Dalam perjalanan, Rajoo menunjuk-nunjukkan bakat bercakap dengan haiwan, Upin dan Ipin menaiki kereta sambil diawasi Ros, dan seluruh kampung menyanyi dan menari untuk meraikan kedamaian masyarakat desa. Setibanya di dusun, Badrol dan Lim menunggu buah durian gugur. Sayangnya apabila kedengaran durian gugur, buah-buah itu dicuri makan dengan begitu pantas.

Ketika Badrol dan Lim menyiasat fenomena ini, Upin, Ipin dan Rajoo merayau-rayau pula. Di dalam hutan mereka bertemu dengan sesuatu makhluk kecil berbulu merah putih yang aneh dan seolah-olah boleh bertutur dalam bahasa seakan manusia. Mereka mengejar-ngejar mahkluk itu jauh ke dalam hutan yang tidak biasa mereka alami, sambil membahayakan diri mereka. Rajoo menterjemahkan kata-kata makhluk itu dan daripada itulah diketahui namanya "Oopet". Badrol, Lim dan Ros sempat mencari mereka, tetapi akibatnya mereka berenam sesat di hutan.

Hari sudah senja, dan orang-orang tua di kampung mula risau dengan anak cucu masing-masing. Maka Tok Dalang, Mak Uda dan Muthu melancarkan operasi pencarian. Sementara itu enam sekawan kelihatan terpaksa bermalam di tengah hutan. Lim sakit perut lagi, dan terpaksa berpisah dari budak-budak kampung untuk berkumuh sambil ditemani Badrul. Tiba-tiba muncul dua ekor raksasa berkepala tengkorak kerbau mengejar mereka berenam, menyebabkan budak bandar terpisah dari budak kampung.

Oopet membawa Ros, Rajoo, Upin dan Ipin ke dalam kawasan kelam untuk berteduh, tetapi diancam pula oleh seekor ular tedung raksasa dan sekawan lintah gergasi. Apabila mereka selamat lagi, Oopet mendapat ruang untuk menceritakan asal-usulnya. Dalam sedutan imbas kembali, Oopet dan ibunya tinggal di sebuah dunia berlainan yang penuh warna-warni. Ketika mengejar serangga yang serupa kupu-kupu, Oopet melalui gerbang ke dunia kita lalu bertembung dengan raksasa tengkorak dalam suasana yang kelam dan ngeri. Ibunya datang untuk melindunginya tetapi diculik oleh raksasa tersebut.

Tak lama kemudian, mereka berempat menyedari selama ini Badrol dan Lim diculik oleh raksasa tengkorak tersebut, yang rupa-rupanya adalah Singh yang menyamar! Singh membantu Pak Mail menyimpan rahsia iaitu makhluk besar luar biasa, iaitu ibu Oopet, untuk dijual. Oleh itu, anak-anak kampung bertungkus-lumus untuk menyelamatkan Badrol dan Lim dan juga ibu Oopet. Apabila Pak Mail menyedari perkara ini, maka timbullah huru-hara apabila dia dan konco-konconya Singh dan Sally bertarung dengan Oopet dan keenam-enam budak itu.

Di tengah perbalahan, ibu Oopet menyaksikan anaknya pengsan lalu bertukar menjadi gergasi dan garang dan menyerang sesiapa sahaja di perkarangan rumah Pak Mail. Di samping mengerjakan Pak Mail dan konco-konconya, ibu Oopet juga bertembung dengan ular tedung raksasa. Dalam saat-saat genting, Oopet kembali sedar lalu bergegas untuk memberi dorongan kepada ibunya dan meredakan keadaan. Ular tedung itu berjaya ditewaskan.

Sudah tiba masanya Oopet bepisah dengan rakan-rakan manusianya kerana ibunya menegah manusia untuk datang ke dunia asal dua makhluk beranak ini. Akhirnya keenam-enam budak ditemui orang tua mereka, dan mulai saat itu, enam sekawan menggelar diri mereka satu "geng".

Pak Mail dan Singh pula termasuk ke dalam alam Oopet. Awalnya mereka menyangka diri mereka bernasib baik kerana banyaknya hasil buruan, tetapi mereka tidak diundang oleh penduduk alam tersebut.

Di pertengahan kredit akhir, Upin dan Ipin tertanya-tanya bagaimana Tok Dalang, Opah dan Muthu boleh sampai ke tempat yang berbahaya itu. Maka mereka membayangkan yang Tok Dalang, Opah dan Muthu turut melakukan perkara yang sama seperti mereka berdua dan Rajoo di mana mereka membahayakan diri sehingga boleh sampai ke tempat ganjil itu.

Pelakon suara

Kru produksi

  • Disokong oleh: MSC Malaysia, Multimedia Development Corporation ( MDEC), Tourism Malaysia dan FINAS
  • Diedarkan oleh: Grand Brilliance
  • Diterbitkan oleh: Les' Copaque Production Sdn. Bhd.
  • Penerbit: Hj. Burhanuddin Md Radzi dan Hjh. Ainon Ariff
  • Penerbit Eksekutif: Hj. Burhanuddin Md Radzi dan Hjh. Ainon Ariff
  • Pengarah: Nizam Razak
  • Penulis Lakon Layar: Anas Abdul Aziz dan Ehsan Azharuddin
  • Pengarah Kandungan Kreatif: Hjh. Ainon Ariff
  • Pengarah Seni: Mohd Safwan Abdul Karim
  • Pengarah Ujibakat dan Lakon Suara: Hjh. Ainon Ariff, Ezdiani Ahmad Fawzi dan Anas Abdul Aziz
  • Pengarah Animasi: Usamah Zaid Yasin
  • Pengarah Teknikal: Nazrul Hadi Nazlan
  • Pelakon Suara: Nur Fathiah Diaz, Amir Izwan Abdul Rahim, Kee Yong Pin, Balqis Fadhullah Lim, Kannan a/l Rajan, Ida Rahayu Yusoff, Hjh. Ainon Ariff, Abu Shafian Abdul Hamid, Shafiq Isa,
    • Menampilkan: Hj. Burhanuddin Md Radzi, Anas Abdul Aziz, dan Ito Mohd
  • Muzik oleh: Yuri Wong dan Azfaren Aznam
  • Konsep Asal: Nizam Razak, Anas Abdul Aziz, dan Hjh. Ainon Ariff
  • Ketua Artis Papan Cerita: Fuad Md Din
  • Ketua Pereka Model 3D: Mohd Safwan Abdul Karim
  • Ketua Pereka Set: Tan Shiek Wei
  • Ketua Pengatur Cahaya: Mohd Zarin Abdul Karim
  • Ketua Pengatur Cahaya Watak: Tang Ying Sowk
  • Penyunting: Nizam Razak: Usamah Zaid Yasin, Kee Yong Pin
  • Penyelia Animasi: Nazrul Hadi Nazlan
  • Ketua Kompositor: Mohd Faiz Hanafiah
  • Kesan Khas: Nizam Razak, Mohd Safwan Abdul Karim dan Mohd Faiz Hanafiah
  • Ketua Bahagian Audio: Anas Abdul Aziz
  • Ketua kesan Audio: Shafiq Isa
  • Pengurursan Produksi: Khairiah Hafizan Mazhar dan Ezdiani Ahmad Fawzi

Produksi

Filem Geng ini memakan masa dua tahun, belanja sebanyak RM 4.7 juta[1] dan 40 orang juruanimasi tempatan untuk disiapkan. Pengarahnya Mohd Nizam Abdul Razak membandingkan belanja filem ini dengan filem animasi Barat yang menelan "kos sekitar RM15 juta hingga RM40 juta" dan "lebih kurang 130 hingga 150 juruanimasi". Katanya, "Sekalipun kos tidak sehebat filem animasi barat, filem animasi Geng tetap mempunyai kekuatannya dari segi adunan elemen seram, thriller (suspen), dramatik dan lucu yang semuanya dapat dirasai menerusi kesan bunyi dan suara yang mantap. Sokongan padu penonton tempatan sangat diperlukan kerana filem ini dihasilkan dengan daya kreativiti karyawan muda tanah air. Menerusi filem animasi dihasilkan ini, kami berharap ia dapat menarik minat lebih ramai pelabur untuk membiayai kos penerbitan filem animasi tempatan pada masa depan."[2]

Pengarah Urusan Les' Copaque Production, Burhanuddin Md Radzi, menceritakan bahawa perancangan untuk menerbitkan filem itu bermula ketika Mohd Nizam dan dua rakannya iaitu Muhammad Usamah Zaid and Mohd Safwan Ab Karim[1] bertemu dengannya dan menyuarakan impian mereka untuk menghasilkannya. Menyentuh strategi penjimatan kos, katanya, "Semua peralatan seperti komputer hanya dibeli di Plaza Low Yat dan mereka (karyawan muda) juga mengubahnya menjadi sistem sendiri. Selain itu, pihak kami mendapat bantuan dan sokongan MDeC, Mimos Bhd dan MOSTI".[2] Pembikinan filem ini menggunakan dua perisian penting termasuk Maya dan MentalRay selain proses animasi pertama yang menggunakan teknik perkomputeran grid dibekalkan MIMOS. Kata Nizam, “Perkakasan berjuta-juta ringgit oleh Mimos memberi peluang kepada kami melakukan teknik render yang mengurangkan masa pembikinan animasi 3D kerana kebiasaannya ia mengambil tempoh lebih setahun. Namun, melalui perkomputeran grid, tempoh masa terbabit berjaya dikurangkan ke enam hingga lapan bulan saja yang secara tidak langsung menjimatkan kos operasi.”[3]

Filem Geng asalnya disiapkan pada Ogos 2008 berukuran 108 minit panjangnya, lalu ditayangkan secara khusus kepada penonton jemputan yang terdiri daripada pihak MDeC, Finas, Mimos, RTM, Media Prima, Astro dan para wartawan, tetapi dikurangkan hingga 90 minit untuk tontonan umum atas nasihat FINAS demi kepuasan pihak pawagam. Pada masa yang sama, para kakitangan cuba menyiapkan siri baru Upin & Ipin tepat mengikut jadual yang ditetapkan, maka sedikit menjejaskan perancangan untuk filem Geng.[4] Pihak Les' Copaque menyediakan lima gelendong filem Geng yang asli, tiga daripadanya dihantar ke syarikat Kantana Group di Bangkok, Thailand untuk menjalani proses adunan bunyi. Gelendong pertama yang dipulangkan dari Kantana cuma mengalami adunan audio kasar, dan dihantar ke Lembaga Penapisan Filem untuk dikaji kandungannya.[5] Pada akhir bulan November 2008, pihak Les' Copaque memaklumkan mereka sudah menerima kelulusan dari LPF tanpa potongan dan diberi kebenaran untuk menayangkan filem ini oleh FINAS.[6]

Lagu

Untuk filem ini, kebanyakan lagu digubah oleh komposer, Yuri Wong dan Azfaren Aznam. Yuri yang juga menjadi komposer dalam siri Upin & Ipin musim pertama hingga keempat diamanahkan bersama dengan Azfaren yang menjadi komposer siri untuk musim kelima untuk menggubah skor lagu dalam filem ini. Bagi lagu tema, Ito Mohd daripada Blues Gang mencipta dua lagu yang mana satu daripadanya dijadikan lagu tema utama.

Senarai lagu tema yang terdapat dalam filem ini adalah seperti berikut:

  • Indahnya Panorama nyanyian Ito Mohd, ciptaan Ito Mohd
  • Damai nyanyian Ito Mohd, ciptaan Ito mohd

Pencapaian

Sambutan

Pihak Les' Copaque mengadakan satu lagi pratonton khas untuk wartawan pada 13 Januari 2009.[14] Mereka melaporkan sambutan memberangsangkan daripada para penonton yang disifatkan "berdiri dan bertepuk tangan sebanyak 3 kali di penghujung filem kerana (tersilap) menyangka filem telah tamat."[15]

Filem Geng mula ditayangkan pada 12 Februari 2009 di 56 buah pawagam seluruh negara.[16] Les' Copaque dilaporkan menetapkan sasaran kutipan antara RM5 juta[2] hingga RM10 juta, ataupun setinggi RM100 juta jika diambil kira perancangan pasaran ke luar negara[17].

Sambutan pengunjung pawagam Malaysia terhadap filem Geng amat memberangsangkan. Pada empat hari pertama tayangannya, filem ini dilaporkan meraih RM1.75 juta[18][19], sekaligus berada di tangga teratas carta kutipan pawagam seluruh Malaysia, mengatasi dua filem pemenang Oscar iaitu Slumdog Millionaire dan The Curious Case of Benjamin Button yang juga mulai ditayangkan pada hujung minggu yang sama dengan filem Geng.[20]. Filem Geng kekal di tangga teratas kutipan pawagam negara selama dua hujung minggu berturut-turut.[21] Pada akhir tayangannya sekitar 1 April, filem Geng mengaut kutipan mencecah RM 6.2 juta[13] sepanjang tempohnya di pawagam-pawagam, yang boleh ditafsirkan sebagai sumbangan daripada 813,604 penonton.[22]

Siaran televisyen

Geng: Pengembaraan Bermula telah ditayangkan di beberapa siaran televisyen sepanjang tahun 2009 dan 2010. Antara yang menarik perhatian ialah siaran filem ini dalam dua saluran pada hari yang sama, iaitu TV9 dan Disney Channel Asia.

  • TV9 telah menyiarkan filem ini pada 10 Disember 2009
  • Disney Channel Asia telah menyiarkan filem ini pada 10 Disember 2009

Pemasaran antarabangsa

Brunei Darussalam menjadi pasaran luar pertama yang menayangkan filem Geng di pawagam sekitar bulan Jun, tetapi menurut pengarah Nizam Razak, sambutannya "kurang memberangsangkan".[23]

Setakat ini, Nizam bagi pihak Les' Copaque Production mengesahkan filem Geng dijadualkan tayangan umumnya di kira-kira 50 buah pawagam Indonesia mulai 16 September 2009, di samping mengharapkan filem ini turut dibuka di pawagam Singapura.[10] Filem ini sebenarnya diadakan tayangan perdana di Bioskop Blitzmegaplex sempena Festival Filem Untuk Kanak-Kanak Antarabangsa, Indonesia, di mana filem ini berjaya merangkul Anugerah Pilihan Penonton.[24]

Sehubungan itu, hasil usahasama dengan syarikat KEN Films dan Indiatales, filem Geng dijangka ditayangkan di India pada 27 Ogos 2010[25], setelah menjalani tayangan tertutup khusus untuk pengilang, pengedar dan wartawan di negara itu pada 26 Jun.[26][27], dalam bentuk alih suara dalam beberapa bahasa tempatan termasuk Hindi dan Tamil.[28] Inilah filem Malaysia pertama yang mendapat tayangan umum di pawagam India.[29] Versi bahasa Hindi mengalami beberapa perubahan nama watak, iaitu Badrol menjadi Badru, Lim menjadi Chetan, dan Kampung Durian RUntuh menjadi Balipur.

Tambahan pula, pihak LCP mengaku menerima tawaran dari syarikat dari Korea Selatan dan Amerika Syarikat untuk mengalih suara dan menayangkan filem ini di negara masing-masing.[9]

Anugerah dan Pengiktirafan

2009
  • Festival Filem Untuk Kanak-Kanak Antarabangsa, Indonesia[24]
    • Anugerah Pilihan Penonton
  • Festival Filem Malaysia ke-22[30]
    • 2 Anugerah Pilihan Juri (filem box office, filem animasi panjang dengan watak kreatif yang tersendiri)
  • Anugerah Industri Kre8tif! MSC Malaysia[31]
    • Penyunting Terbaik (Mohd Faiz Hanafiah)
    • Muzik/Skor Terbaik (Yuri Wong)

Galeri

Video

Lihat juga

Rujukan

  1. 1.0 1.1 Yam Phui Yee. "Daring adventures", R.AGE (the Star), 2009-02-18. Dicapai pada 2009-02-21. 
  2. 2.0 2.1 2.2 Ramlah Zainal. "Filem animasi Geng sasar RM5 juta", Harian Metro, 2009-02-02. Dicapai pada 2009-02-14. 
  3. Afiq Hanif. "Animasi 3D pertama telan RM4j", Harian Metro, 2009-01-14. Dicapai pada 2009-02-18. 
  4. Templat:Citation/core
  5. Templat:Citation/core
  6. Templat:Citation/core
  7. Zul Husni Abdul Hamid. "Sambutan Geng luar biasa", Berita Harian, 2009-02-19. Dicapai pada 2009-02-21. 
  8. Lee Zhiang Yang, Ezekiel. ""Geng" takes RM1.75mil", Cinema Online, 2009-02-18. Dicapai pada 2009-02-21. 
  9. 9.0 9.1 "Kutipan cecah RM2.3 juta", Harian Metro. 
  10. 10.0 10.1 Siti Azira Abd. Aziz. "Geng: Pengembaraan Bermula bakal kutip RM4 juta selepas dua minggu", mSTAR, 2009-02-25. Dicapai pada 2009-03-01. 
  11. "Animasi Geng cecah RM6.011 juta", Harian Metro, 2009-03-18. Dicapai pada 2009-03-21. 
  12. "Geng: RM6.28 juta dan masih lagi mengira", Tupai, 2009-03-26. Dicapai pada 2009-03-30. 
  13. 13.0 13.1 Tayangan Filem Cereka Tempatan 2009, FINAS, dicapai pada 2 Januari 2010.
  14. Templat:Citation/core
  15. Templat:Citation/core
  16. Nurulhisham Abdul Latiff. "Upin, Ipin semakin popular", Berita Harian, 2009-02-25. Dicapai pada 2009-03-03. 
  17. Nurulhisham Abdul Latiff. "Geng sasar kutipan RM100 juta", Utusan Malaysia, 2008-08-25. Dicapai pada 2009-02-18. 
  18. Zul Husni Abdul Hamid. "Sambutan Geng luar biasa", Berita Harian, 2009-02-19. Dicapai pada 2009-02-21. 
  19. Lee Zhiang Yang, Ezekiel. ""Geng" takes RM1.75mil", Cinema Online, 2009-02-18. Dicapai pada 2009-02-21. 
  20. Templat:Citation/core
  21. http://www.cinema.com.my/charts/charts.aspx?date=2/22/2009 Week of 26 February 2009-04 March 2009], Cinema Online, 22 Februari 2009. Diambil 7 Mac 2011.
  22. "GENG: JELAJAH MALAYSIA ....HABIS", Les' Copaque, 2009-04-06. Dicapai pada 2009-04-16. 
  23. Wahiduzzaman. ""GENG" teruskan kembara", 24 Julai 2009. Dicapai pada 11 Ogos 2009. 
  24. 24.0 24.1 Rozdan Mazalan. "Upin & Ipin dapat pengiktirafan lagi", Berita Harian, 11 Ogos 2009. Dicapai pada 11 Ogos 2009. 
  25. Geng – The Adventure Begins, Koimoi, 17 Ogos 2010. Dicapai pada 24 Ogos 2010.
  26. Rozdan Mazalan. "Upin & Ipin dicetak rompak", 19 Julai 2010. Dicapai pada 21 Julai 2010. 
  27. Ken Films to Host a Private Screening of Geng, World PRWire's Blog, 21 Jun 2010. Dicapai pada 25 Julai 2010.
  28. Lee Wei Lian. "Jobless four years ago, three young filmmakers shake up box office", The Malaysian Insider, 2 Mei 2009. Dicapai pada 30 Mei 2009. 
  29. "‘Geng-The Adventure Begins’ in Hindi", News Bollywood, 23 Ogos 2010. Dicapai pada 24 Ogos 2010. “After smashing box office records in Malaysia, 3D animation film “Geng” will become the first Malaysian movie to get a commercial theatrical release in India when it opens here in the last week of August.” 
  30. Festival Filem Malaysia ke-22 – Pencalonan. Dicapai pada 2 Januari 2010.
  31. "MSC Malaysia Kre-8tif! Industry Awards Winners", The Malay Mail, 28 Disember 2009. Dicapai pada 2 Januari 2010. 

Pautan luar

Community content is available under CC-BY-SA unless otherwise noted.