Upin & Ipin Wiki
Advertisement

"Hapuskan Virus!" (tiga bahagian) merupakan episod ke-16, ke-17 dan ke-18 (episod ke-6 mengikut kiraan episod 30 minit) dalam musim ke-11 daripada siri Upin & Ipin. Episod ini disiarkan pada pukul 7 malam. Episod ini bertemakan virus dan pemvaksinan.

Sinopsis[]

Program pemvaksinan akan datang di kampung, tetapi Upin dan Ipin dan kawan-kawan rasa takut akan disuntik. Orang-orang tua memujuk dan memupuk kepentingan vaksin dengan menceritakan kisah pahlawan vaksin berjuang menentang virus, antara lainnya.

Plot[]

Bahagian 1[]

Upin, Ipin, Ehsan, Fizi dan Mail bermain lumba kapal terbang kertas, begitu sengit bagaikan perlumbaan kapal angkasa, hinggalah diganggu oleh burung merpati. Selepas itu mereka diajak oleh Susanti dan Mei Mei untuk bermain doktor-doktor di pondok, di mana semua lelaki jadi pesakit. Mula-mula Upin "diperiksa", diberi ubat sapu pada luka olok-olok. Kemudian giliran Fizi (kerana batuk), hendak diberi suntikan vaksin. Sekali nampak picagari, mereka berlima cabut lari.

Di rumah, Upin dan Ipin bertemu dengan Opah dan Kak Ros di anjung. Opah membaca tentang program pemvaksinan akan datang di kampung sambil mengeluh ada yang menolak vaksin. Maka Upin dan Ipin seram teringat akan Mei Mei dan picagarinya, tetapi Opah cuba memujuk mereka akan kebaikan disuntik vaksin. Malah Ros mengingatkan bahawa adik-adiknya sering jatuh sakit kerana tidak menjaga kebersihan.

Tambah Opah, ketiga-tiga cucunya diberi suntikan vaksin sejak bayi. Legalah kembar itu, tetapi Ros mengingatkan pula mereka perlu disuntik sekali lagi kerana hilang parut dari suntikan lampau. Tidak gentar pula kembar itu.

Bahagian 2[]

Upin dan Ipin dan kawan-kawan bermain lumba lari di sepanjang lebuh kampung. Setelah jauh berlari, mereka singgah di gerai Muthu untuk makan ABCD. Pada masa yang sama di gerai juga, Opah melayan Tok Dalang dan Ah Tong yang baru habis bergotong-royong. Tok Dalang bercerita tentang pegawai Kementerian Kesihatan yang datang menerangkan tentang program pemvaksinan di kampung sebelah, apalagi ramai kanak-kanak jatuh sakit di sana kerana dijangkiti virus.

Upin dan Ipin menyampuk perbualan orang tua dengan lagak zombi. Kak Ros pun ada di gerai, menyuruh mereka ke tempatnya. Upin dan Ipin ambil kesempatan untuk memohon belanja ABCD. Dengan berat hatinya Kak Ros akur, dan sekali itu tiba-tiba kawan-kawan Upin dan Ipin datang berkumpul di meja yang sama meminta ABCD sekali. Sambil itu kanak-kanak meminta tunjuk ajar Kak Ros tentang virus dan vaksin.

Alkisah ada lima jenis virus yang bermaharajalela menyebarkan penyakit kepada orang. Akan tetapi mereka dihalang oleh sepasang doktor bernama Dr Upin dan Dr Ipin yang datang mengancam mereka dengan vaksin yang terkandung dalam bekas dalam tangan.

Bahagian 3[]

Tibanya seekor virus keenam dari langit yang bernama difteria, pernah dihapuskan tetapi kembali kerana ramai yang enggan divaksinkan. Difteria cuba menjangkiti seorang budak tetapi akhirnya hapus dilanggar oleh budak-budak lain yang divaksinkan. Dr Upin dan Dr Ipin bersalin kepada pakaian perlindungan dan mula memerangi virus-virus yang tinggal sampai semuanya hapus.

Sebaik sahaja cerita Ros berakhir, semua budak-budak bermain lawan-lawan meniru aksi hero dalam cerita sampai terpatah alat-alat makan gerai. Maka budak-budak itu dihukum cuci pinggan mangkuk sebagai ganti rugi. Sementara itu empat orang tua duduk semeja berbincang tentang pemvaksinan. Muthu bertanya mengapa ada orang enggan menerima vaksin. Jelas Ah Tong, biar seorang sahaja jatuh sakit asalkan orang lain tidak sakit. Opah menyanggah bahawa penyakit boleh berjangkit kepada orang lain. Tok Dalang setuju atas dasar keimunan berkelompok.

Sekembali di rumah, Kak Ros bertanya kepada Opah tentang khabar angin yang dibaca di Internet tentang kesan sampingan vaksin. Opah menyanggah bahawa itu kerja orang tidak bertanggungjawab, malah pihak berkuasa sudah menasihati supaya berhati-hati dengan berita palsu yang tersebar.

Trivia[]

  • Selepas hampir empat tahun, episod ini kembali tular pada minggu vaksin COVID-19 pertama tiba di Malaysia, iaitu pada 21 Februari. Episod ini digunakan semula oleh pihak Les' Copaque sebagai tanda sokongan kepada Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan. Beberapa klip episod ini dimuat naik sepanjang minggu pertama program vaksinasi itu di media sosial rasmi Upin & Ipin.

Video[]

Tonton di RCTI+[]

Advertisement