Upin & Ipin Wiki
Advertisement


"Kain Merah Ipin" (tiga bahagian) merupakan episod ke-40, ke-41 dan ke-42 (episod ke-15 mengikut kiraan tajuk cerita) dalam musim ke-14 daripada siri Upin & Ipin.

Sinopsis[]

Kain merah Ipin, yang disifatkannya sebagai istimewa, telah hilang. Oleh kerana kain tersebut merupakan pemberian ibunya yang sangat berharga, dia bertekad mencari semula kain merah itu. Dalam masa yang sama, terdapat sebuah rahsia di sebalik kain merah itu, yang tiada siapapun yang tahu melainkan Opah.

Plot[]

Bahagian 1[]

Upin, Ipin, dan kawan-kawan seronok bermain permainan 'pukul berapa datuk harimau'. Mereka semua berasa gembira, sehinggakan setibanya mereka di rumah dalam keadaan yang kotor. Ketika itu jugalah, Kak Ros ingin mencuci pakaian, melainkan kain merah Ipin yang digantung di bilik. Namun, bau dari kain itu menyebabkan Kak Ros berasa kurang selesa dan mengambilnya untuk dicuci.

Keesokan harinya, ketika ingin keluar rumah, Ipin perasan yang kain merahnya tidak dipakai. Dia segera mencari kain itu, sehinggalah Opah memberitahu yang kain itu sudah dicuci dan dijemur. Namun ketika itu, dia hairan kerana kain itu dicuci. Tiba-tiba, hujan turun dengan lebat. Mereka bertiga segera mengambil semua pakaian yang dijemur. Tetapi, mereka terlupa untuk mengambil kain merah Ipin. Lebih memburukkan keadaan, cuaca yang terlalu berangin itu menerbangkan kain itu. Mereka cuba untuk mendapatkan balik, namun gagal. Melihat kegagalan itu, Ipin menangis teresak-esak, mujurlah dapat ditenangkan oleh Opah.

Malam itu, Ipin hilang selera makannya kerana kain kesayangannya hilang. Semua cuba untuk menggembirakannya, namun gagal. Fokus utama Ipin ketika itu sepenuhnya ke arah mencari semula kain merahnya.

Keesokannya, semua kecuali Ipin berada di ruang tamu. Ipin berada di bilik, tertidur kerana terlalu sedih. Kak Ros hairan mengapa Ipin sangat menyayangi kain merahnya itu. Opah pun bercerita tentang masa lampau Upin dan Ipin sewaktu bayi dan kain itu.

Bukan sahaja Ipin, malah Upin turut mempunyai kain merahnya. Kain itu dijahit ketika makan bagi mengelakkan comot dan tersembur air liur.

Upin tidak suka memakai kain itu, setiap kali dipakai, dia akan menariknya sampai terbuka. Akhirnya, kain itu hilang kerana Upin sering membuka kain itu. Tetapi bagi Ipin berbeza. Dia sangat menyukainya sehinggakan apabila kain itu mahu dibuka, dia memusingkan kain itu ke belakang dan dipakainya di mana-mana sahaja. Ipin sangat pantang sekiranya kain itu hilang. Dia akan mencarinya sehingga dapat dan terus dipakai sekiranya berjaya ditemui.

Selepas habis bercerita, Ipin keluar untuk meneruskan misi mencari kain merahnya. Pada mulanya, dia menyangka yang dia sudah menemui kain itu, namun hanya plastik yang dijumpai. Setelah itu, Upin menawarkan diri untuk mencari kain itu.

Bahagian 2[]

Selepas mencari di seluruh kampung, kawan-kawan Upin dan Ipin berjumpa dengan mereka. Upin dan Ipin memberitahu yang mereka sedang mencari kain itu. Fizi mencadangkan agar membeli sahaja kain yang baru, namun dimarahi Ipin. Bagi menutup malunya, dia segera menawarkan diri untuk mencari kain merah Ipin. Mereka kemudiannya menemui sehelai kain merah. Tanpa membuang masa, mereka segera mendapatkan kain itu, namun coraknya tidak sama seperti kain Ipin.

Petang itu juga, kerana kasihan melihat keadaan Ipin, Kak Ros keluar untuk mencari ganti kain merah Ipin. Opah kemudiannya ke dapur, namun kemudiannya menuju ke bilik arkib keluarga kerana ada sesuatu yang terlintas di fikirannya. Ketika di bilik itu, dia menemui satu kotak yang di dalam terdapat sesuatu yang sangat disukai oleh Ipin.

Bahagian 3[]

Salleh sedang membersihkan halaman rumahnya. Dalam masa yang sama, Kak Ros tiba untuk meminta bantuan daripada Salleh bagi menghasilakan sehelai kain merah yang dapat dijadikan ganti kepada kain Ipin. Salleh bersetuju, dengan Kak Ros berharap supaya kain itu dapat menggembirakan semula Ipin.

Selepas puas mencari, Kak Ros datang berjumpa dengan Upin dan Ipin. Dia pun menyerahkan kain merah baharu buat Ipin, namun Ipin masih menolak. Keadaan itu menyebabkan Kak Ros marah dan kecewa. Ketika itu jugalah, Tok Dalang memanggil mereka, dan dia seperti tahu di mana kain merah Ipin. Walau bagaimanapun, kain itu berada di reban Rembo, dalam keadaan yang sudah koyak-rabak.

Ketika mereka kembali ke rumah, kesedihan Ipin telahpun memuncak. Dia menangis teresak-esak sambil mengadu kepada Opah. Opah pun kasihan melihat Ipin, dan memberikannya kain merah baharu dengan corak yang sama seperti kain lamanya. Ipin berasa sangat gembira. Opah kemudiannya memberitahu yang sebenarnya itulah kain merah Upin yang hilang sewaktu kecil, disimpan rapi oleh ibu mereka. Melihat keadaan itu, Upin segera merampas kain itu daripada Ipin, mengakibatkan Ipin kembali sedih. Namun tidak lama kemudian, Upin memakaikan kain merahnya ke leher Ipin, sebagai tanda yang dia menghadiahkan kainnya itu kepada Ipin. Ketika itulah, Ipin kembali gembira dan menangis bahagia kerana berjaya mendapatkan semula kain merah yang sangat disayangi. Mereka pun kemudiannya berpelukan beramai-ramai sebagai tanda sayang kepada mereka berdua sebagai adik-beradik kembar.

Epilog[]

Mengimbau kembali semasa Upin dan Ipin masih lagi bayi. Tiada siapa yang mengetahui bahawa ketika Upin dan Ipin riang bermain itulah, ibu mereka gigih menyiapkan kain merah khas untuk anak kembarnya, sambil diberi sokongan oleh ayah mereka.

Trivia[]

  • Sehari selepas episod ini disiarkan, pihak Les' Copaque telah memuat naik epilog bagi episod ini, yang mana tidak ditunjukkan sewaktu siaran di MNCTV.
    • Ini merupakan episod kedua yang mana terdapat epilog ditampilkan dalam episod selepas Syahdunya Syawal, yang disiarkan dalam musim yang sama.

Galeri[]

Video[]

Episod_Baru_Upin_&_Ipin_Musim_14_-_Kain_Merah_Ipin

Episod Baru Upin & Ipin Musim 14 - Kain Merah Ipin


Tonton di RCTI+[]

Lihat lagi[]

Advertisement