Upin & Ipin Wiki
Advertisement

"Kuih Untuk Opah" (tiga bahagian) ialah episod ke-13, ke-14 dan ke-15 dalam musim ke-5 daripada siri Upin & Ipin dan Kawan-Kawan.

Plot[]

Bahagian 1[]

Pada suatu malam berbuka puasa, Upin dan Ipin mengucapkan terima kasih kepada Opah atas kesedapan hidangan yang dimasaknya. Setelah dipesan oleh Kak Ros, Upin dan Ipin tidak lupa membacakan doa niat selepas makan.

Keesokan hari, ketika tengah menonton TV, Kak Ros menjanjikan kuih raya yang banyak-banyak kepada Upin dan Ipin sempena Hari Raya, asalkan mereka menolong sekali. Perbualan mereka disampuk oleh panggilan salam dari Mail yang datang untuk menjemput Upin dan Ipin bermain. Sebelum itu, Kak Ros menyerahkan senarai barang-barang untuk dibeli kepada Upin.

Ketika leka bermain askar mainan dengan Mail, Upin dan Ipin diusik oleh Jarjit dengan patung-patung Indian berwarna merah (tetapi disuruh ke tepi kerana tidak sama barang mainan), kemudian oleh Ehsan dengan kereta kebal mainan kawalan jauhnya. Jarjit tertawa sambil melihat askar-askar mainan Upin dan Ipin habis digilis oleh kereta kebal Ehsan, sehingga kereta itu memijak patung-patung Indiannya lalu membuatnya marah. Oleh itu, Upin, Ipin, Mail dan Jarjit berpakat untuk mengejar Ehsan.

Sekembalinya di rumah, Upin dan Ipin baring atas lantai bilik tidur mereka kerana kepanasan. Ipin memasang kipas meja dengan pengayunnya terpasang untuk merasai udara nyaman, tetapi diusik oleh Upin yang menarik aci pengayun dan mendapat udara nyaman kipas untuk diri sendiri. Dengan rasa kecil hati, Ipin keluar dari bilik, tetapi diekori oleh Upin. Upin mengekori Ipin ke dapur, di mana Ipin kelihatan berada di pintu peti sejuk. Upin memerli Ipin kerana "tak puasa", tetapi Ipin sempat menjelaskan bahawa dia berdiri di hadapan peti ais demi kesejukan kerana Upin merampas kipas tadi.

Dengan peti ais yang lebih besar, Upin dan Ipin berkongsi kesejukan, sehingga mereka ditangkap oleh Kak Ros. Kak Ros menanya Upin sama ada dia sudah membeli barang untuknya; jawab Upin, Kak Ros terlupa memberinya duit. Oleh itu, Kak Ros mengeluarkan wang dari sakunya dan menyuruh adiknya pergi menyiapkan tugasnya.

Ketika melangkah keluar dari rumah, Upin dan Ipin terserempak dengan Jarjit yang berlari tergesa-gesa. Setelah ditanya, Jarjit meneriakkan nama Abang Salleh dengan terujanya!

Bahagian 2[]

Rupa-rupanya, budak-budak kampung tertarik oleh kereta MPV Proton Exora merah yang baru milik Abang Salleh. Teruja dengan sebuah barang mewah yang jarang ditemui di kampung, Upin, Ipin, Ehsan, Mail, Jarjit dan Mei Mei ingin mendekati dan memasukinya walaupun ditegah oleh Abang Salleh. Sungguhpun cuba dihalang, namun mereka semua dapat mencuri masuk ke dalam kereta (kerana satu tingkap terbiar buka) dan mendesak Abang Salleh untuk membawa mereka berjalan-jalan di atas kereta, apalagi ada di kalangan mereka yang tidak pernah naik kereta dalam hidup, termasuk Upin dan Ipin sendiri.

Setelah Abang Salleh menghidupkan enjin, Ipin merasai nikmat udara nyaman dengan penyaman udara dalam kereta. Abang Salleh meminta kanak-kanak semua agar memakai tali pinggang keledar sebelum dia boleh memandu. Tetapi Ipin memakai tali pinggang dengan salah sehingga ditertawakan oleh Abang Salleh. Ehsan yang duduk di sebelahnya tolong membetulkan cara Ipin memakai tali.

Abang Salleh membawa Upin dan Ipin dan kawan-kawan untuk bersiar-siar di jalan raya dalam kereta. Di tengah perjalanan, Ipin yang duduk di hujung kiri tempat duduk tengah kereta (bersama Ehsan di tengah, Mei Mei di kanan) menjumpai sebiji suis di atas pemegang pintu dekatnya yang boleh membuka atau menutup tingkap, lalu bermain-main dengannya sehingga ia dikunci oleh Abang Salleh dengan suis utama di papan pemukanya, membuat Ipin cemas kerana takut suis itu dah rosak. Dengan itu, Ipin cuba duduk diam, tetapi perhatiannya cepat dialih oleh peti putih bergilap yang tergantung di siling kereta.

Tidak habis dengan Ipin bermain tingkap, Abang Salleh diganggu oleh Upin yang duduk di tepinya di tempat duduk hadapan kereta, mengusik radionya dan juga membuka laci di hadapannya yang berisi beruang teddy. Kemudian, Mail menyentuh sampul hitam di tempat duduk belakang bersama Jarjit lalu menanya Abang Salleh, dan tiba-tiba jatuhnya peralatan membaiki kereta yang jatuh dari sampul itu, menyebabkan Abang Salleh geram melihatnya pada cermin pandang belakang. Budak-budak di tempat duduk tengah tergelak menonton kartun pada skrin yang keluar dari peti putih itu. Upin ingin tengok juga di belakang, tetapi dilarang oleh Abang Salleh.

Disebabkan terpaksa melayan kerenah enam orang budak dalam kereta, Abang Salleh hampir terlanggar dua ekor angsa yang cuba melintas jalan ketika dihampiri oleh keretanya, dan menggelincir ke lorong tengah. Nasib baik tiada sesiapa yang cedera, dan Abang Salleh sempat memarahi mereka supaya duduk diam-diam demi keselamatan mereka.

Akhirnya mereka tiba di bandar di mana budak-budak kampung melihat segalanya yang baru kepada mereka: orangnya ramai, kedainya berderet-deret. Ketika melalui sebuah kedai Proton, Jarjit terlihat kereta yang sama dengan kereta Abang Salleh lalu menyebut "kereta kita". Ini mengejutkan Abang Salleh yang menggertak budak-budak itu dengan bertanya "Kereta siapa?"; maka mereka menjawab "Abang Salleh" dengan nada keluhan.

Sebentar kemudian, Abang Salleh menghentikan kereta dan membuat budak-budak terkejut dan tertanya-tanya. Abang Salleh menunjukkan lampu isyarat yang bernyala merah pada simpang jalan di hadapan kereta. Barulah mereka sedar dia diberi isyarat untuk berhenti, seperti yang mereka belajar di tadika. Mei Mei memandai dengan "merah berhenti, kuning bersedia...", membuat Mail jemu. Akhirnya lampu menjadi hijau, dan kereta membelok ke kanan simpang untuk meneruskan persiaran.

Perjalanan pulang ke kampung lebih tenteram kerana budak-budak tidak membuat kacau, sebaliknya terlelap dalam kereta. Sesampai mereka di kampung, Abang Salleh terkejut melihat petunjuk minyak makin kehabisan. Dengan sedikit rasa geram, Abang Salleh cuba menghidupkan semula enjin, dan hingarnya membuat enam budak itu terjaga. Dengan itu, Abang Salleh dapat meminta mereka semua turun dan tolongnya menolak kereta ke tempatnya. Tetapi, setelah dapat tolak sedikit sahaja, mereka berenam pun cabut. (Sila lihat "Trivia" jika anda melihat Abang Salleh pulang ke rumah dan bukannya kehabisan minyak).

Bahagian 3[]

Upin dan Ipin berlari balik ke rumah mereka untuk menceritakan kepada Opah pengalaman mereka menaiki kereta baru Abang Salleh untuk bersiar-siar di pekan bersama kawan-kawan, tetapi terpaksa tolong menolak keretanya pada akhirnya. Setelah ditanya oleh Kak Ros mengapa perlu tolak, mereka tidak tahu kerana mereka semua berlari. Opah menegur sikap cucu-cucunya yang tidak kasihan kepada Abang Salleh. Ditanya pula sama ada mereka berterima kasih, Ipin menjawab ada, ketika berlari.

Pada waktu berbuka puasa, Upin dan Ipin bersiap dengan baju sembahyang dan kopiah kerana mahu pergi ke surau, kononnya untuk berterawih. Setelah kedengaran azan maghrib, Opah menguji kebolehan Ipin membaca doa. Ipin bermula dengan baik, tetapi terhenti di tengah jalan kerana kurang menghafal. Terpaksalah Ipin meminta Upin menyambung untuknya.

Pada keesokan hari, Upin dan Ipin keluar membeli barang dengan duit dan senarai yang diberi semalam. Setibanya di kedai runcit, mereka berjumpa dengan Mail yang tengah berunding dengan tuan kedai. Oleh sebab tidak tahu di mana untuk mencari barang-barang dalam senarai, Upin dan Ipin meminta Mail untuk menolong mereka menunjukkan jalan. Mail menerima permintaan mereka, kerana dia tahu betapa susahnya mencari sesetengah barang bagi kanak-kanak kecil, apatah lagi yang terletak di rak tinggi (yakni minyak sapi) sampai Upin terpaksa berdiri atas Ipin yang berdiri atas Mail untuk mencapainya!

Kemudian, Ipin pergi mengambil barang sendiri, sementara Upin dan Mail bernakal sedikit dengan menghalang lorong yang diambilnya untuk mendapatkan sekarung gula halus. Ini menyebabkan Ipin terasa sesat dalam kedai yang kecil dan menjadi cemas tercari-cari abang dan kawannya. Apapun, tugas membeli barang sudah siap.

Pada waktu senja setelah berbuka puasa, Upin dan Ipin yang memakai baju tidur bergegas ke dapur untuk menanya Kak Ros bila untuk membuat kuih. Jawab Ros, sekarang, jadi terujalah adik-adiknya menyediakan ramuan-ramuan yang dibeli mereka di kedai runcit pada siang hari. Upin dan Ipin menanya Kak Ros lagi, mengapa begitu banyak bahan yang perlu. Kak Ros menjelaskan bahawa ini untuk dijadikan bekalan untuk Opah yang bakal pergi berumrah. Tanpa banyak soal lagi, mereka tiga beradik mula membuat kuih-muihnya.

Setelah dipanaskan dalam ketuhar sampai rangup, siaplah sedulang kuih untuk dibungkus, tetapi dimakan oleh Upin dan Ipin yang nakal sampai tinggal tiga biji. Setelah dimarahi Kak Ros, mereka terpaksa membuat kuih-muih lagi. Mereka meneruskan kerja sampai lewat malam, hingga Upin dan Ipin mengantuk sambil comot muka dibuat oleh bahan-bahan kuih. Oleh itu, Kak Ros memutuskan agar mereka bersambung keesokan hari.

Trivia[]

  • Dalam babak menonton TV di bahagian 1 dan skrin dalam kereta Abang Salleh, satu babak Pada Zaman Dahulu tersiar dalam kaca TV.
  • Kereta baru Abang Salleh ialah Proton Exora, dan ketika babak bersiar-siar di pekan, kelihatannya sebuah kedai Proton, sempena bermulanya penajaan Proton kepada siri Upin & Ipin pada musim ini.
  • Dalam siaran pertama di TV9, babak terakhir di bahagian 2 menunjukkan kereta Abang Salleh kehabisan minyak dan menyuruh budak-budak untuk menolak keretanya. Tetapi dalam siaran ulangan di TV9 dan menerusi YouTube, babak tersebut telah digantikan dengan Abang Salleh pulang ke rumah dan menyuruh budak-budak yang terjaga untuk mencuci kereta kerana keretanya telah berhabuk.
    • Ini merupakan satu satunya episod di mana ada dua babak yang berbeza.

Video[]

Tonton di RCTI+[]

Advertisement