Upin & Ipin Wiki
Advertisement


"Kapal gah berlayar laju
Gambus merdu mengiringi lagu
Suara nyanyian memikat sukma
Akulah....
Akulah Nakhoda Ragam!
"
— Penerangan ringkas Nakhoda Ragam oleh dirinya sendiri


Nakhoda Ragam merupakan sebuah watak yang tampil dalam filem Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal. Dia berperanan sebagai orang yang bertanggungjawab melindungi Mat Jenin daripada ancaman Raja Bersiong.

Sejarah[]

Sewaktu Inderaloka jatuh ke tangan Raja Bersiong, Nakhoda Ragam antara yang melihat sendiri kejadian tersebut. Raja Inderaloka mengarahkan dia untuk melarikan Mat Jenin daripada menjadi buruan Raja Bersiong. Sehingga itu, khabarnya hilang, melainkan dia kini tinggal di Pelabuhan Megah.

Beberapa tahun kemudian, dia masih di situ, Pelabuhan Megah. Suatu malam, dia mengadakan persembahan yang turut dihadiri Upin, Ipin, dan kawan-kawan mereka. Setelah dia mengakhiri persembahannya, segalanya terganggu apabila Re, Ri, dan Ang datang untuk memburu Upin dan Ipin. Melihat keadaan itu, dia segera membantu kembar itu dengan menghalang manusia-reriang itu daripada mengejar mereka. Dia juga bertarung melawan mereka bertiga, namun gagal. Melihat situasi semakin sukar, dia memutuskan untuk membawa Upin, Ipin, Mat Jenin, dan Belalang dengan berlayar menggunakan kapalnya, kapal Layar Lara.

Rupa[]

Nakhoda Ragam mempunyai rupa paras yang agak tampan, berkulit sawo matang. Rambutnya pula panjang dengan rambutnya di bahagian kanan terkeluar dari semutarnya.

Nakhoda Ragam memakai baju di bahagian dalam berwarna putih Teluk Belanga. Pakaian putihnya pula dilapis dengan ves berwarna biru, dengan warna merah di bahagian tengah, bergaris zig-zag, dan sedikit koyak di bahagian bahu. Vesnya itu labuh sehingga hampir menutupi sampingnya, juga berwarna biru dengan corak bercanting berwarna putih. Seluarnya pula berwarna biru gelap dan menutupi bahagian lutut. Dia memakai but yang menutupi bahagian seluar di betisnya. Nakhoda Ragam juga memakai semutar berwarna biru.

Baju berwarna putihnya itu dipakai secara berbeza mengikut waktu. Ketika dia berkhidmat sebagai Panglima Inderaloka, bajunya itu tidak berlengan. Manakala apabila dia tidak berkhidmat lagi, dia memakai baju putih berlengan panjang, dengan dia melipatnya sehingga paras siku.

Perwatakan[]

Nakhoda Ragam mempunyai suara yang merdu. Oleh itu, dia kebiasaannya suka menyanyi di mana sahaja. Dia juga seorang yang sangat ceria. Walau bagaimanapun, apabila waktu dia serius, dia akan menunjukkan sifatnya. Dia juga cuba untuk mengelak daripada mengimbas kembali masa silamnya.

Selaku orang yang bertanggungjawab melindungi Mat Jenin, dia sangat menyayangi Mat Jenin. Bahkan apabila Mat Jenin berasa sedih, dialah yang akan menaikkan semangatnya.

Trivia[]

  • Mengikut lagenda sejarah, Nakhoda Ragam mempunyai dua kisah versi yang berlainan dan ditafsir berbeza mengikut tempat.
    • Lagenda pertama menyatakan bahawa dia sebenarnya merupakan Sultan Brunei kelima, atau nama sebenarnya Sultan Bolkiah. Lagenda ini dipercayai secara meluas di negara Brunei Darussalam.
    • Lagenda kedua pula menyatakan bahawa dia sebenarnya merupakan suami kepada Puteri Gunung Ledang.
  • Oleh kerana terdapat percanggahan mengenai sumber sebenar asal Nakhoda Ragam, pihak produksi memutuskan bahawa cerita Nakhoda Ragam di dalam filem itu ialah versi kedua.
    • Bagi menghormati versi pertama, pihak produksi menjemput Fakhrul Razi untuk menjadi pelakon suara Nakhoda Ragam memandangkan beliau berasal daripada Brunei Darussalam.
  • Sepanjang filem itu, Nakhoda Ragam akan membawa gambusnya ke mana-mana sahaja. Bahkan, dia menjadikan alat muzik itu sebagai senjata. Ini merujuk kepada kisah hikayat asal yang diperoleh dari kedua-dua versi yang mana dia akan membawa gambus ke mana-mana.
Advertisement