Upin & Ipin Wiki
Advertisement



Rindu Opah ialah episod ke-16, ke-17 dan ke-18 dalam musim kelima Upin & Ipin dan Kawan-kawan. Ia merupakan episod istimewa Aidilfitri dan sempena perayaan ini, episod ini disiarkan pada 8.30 malam, 30 Ogos 2011 iaitu hari raya pertama.

Plot

Bahagian 1

Sambungan dari episod lalu, Upin dan Ipin bangun pada keesokan pagi dan kecewa kerana Kak Ros sudah menyiapkan semua kuih. Oleh itu, Kak Ros menyuruh adik-adiknya untuk menolongnya menyusun kuih-kuih yang dibuatnya dalam balang untuk dijual, sementara Ros juga menyimpan kuih dalam satu bekas untuk diberikan kepada Opah. Untuk seketika, Upin memegang sebiji kuih itu dan terasa godaan untuk memakannya, tetapi mujurlah disentak oleh Kak Ros kerana bulan puasa belum berakhir. Akan tetapi, ketika Upin dan Ipin hampir siap menyusun kuih, Upin terlihat kakanya mencuri makan sebiji kuih lalu menegur perbuatannya. Apapun, Kak Ros dengan tegasnya melarang Upin dan Ipin daripada memakan sebiji kuih pun.

Sewaktu di tadika, Upin dan Ipin menggamatkan satu bilik darjah dengan kuih-kuih yang bakal dijual oleh mereka. Dalam keghairahan melihat kuih-kuih itu, Jarjit mengganggu dengan pantun "Dua tiga kuih raya, semua ini untuk saya!" Apapun, Upin dan Ipin berbesar hati kerana ada di antara kawan-kawan mereka yang sudi membelinya. Mail memesan mereka supaya memberi mereka cuba dulu sebelum menjual. Jarjit mengambil kesempatan atas ini, tetapi ditegur oleh Mei Mei kerana masih bulan puasa. Apapun, Jarjit mengalih perhatian mereka yang lain untuk mencuri makan juga. Mei Mei menegur Jarjit lagi supaya jangan makan di hadapan mereka yang berpuasa, kemudian berjalan ke belakang Upin dan Ipin lalu memesan penonton supaya "jangan tengok". Selepas itu, Ehsan menjeling ke arah mulut balang kuih yang terbiar dibuka lalu tergoda untuk makan, tetapi balang sempat ditutup oleh Upin, menyebabkan Ehsan meronta-ronta. Akhirnya, Cikgu Jasmin pun datang, maka semua murid-murid mengaturkan diri untuk menyambut kedatangan pengajar mereka.

Sekembali mereka dari tadika, Upin dan Ipin menyerahkan hasil kutipan mereka kepada Kak Ros. Apabila Kak Ros bertanya mengapa tidak cukup, jawab mereka, "tiga beli dua, satu lagi dah makan." Kak Ros terus menyangka bahawa mereka bersungkai, tetapi Upin dan Ipin sempat menjelaskan bahawa yang makan itu kawan. Upin meminta upah pula, maka Kak Ros memberikan upah 10 sen kepada mereka, membuat Upin berasa muram, tetapi Kak Ros dan Ipin memujuk Upin bahawa 10 sen itu "berkat".

Petang nanti, Upin dan Ipin menjenguk bilik Opah lalu tertarik dengan betapa banyaknya baju yang disimpan oleh nenek mereka dalam bagasi. Apabila ditanya oleh Upin dan Ipin, Opah menjelaskan bahawa dia akan pergi jauh dengan menaiki kapal terbang. Terdengar ungkapan "kapal terbang" membuat adik-beradik kembar itu teruja, tetapi Opah menegah mereka kerana dia akan pergi lama dan akan balik selepas Hari Raya. Kenyataan itu menggemparkan Upin dan Ipin sehingga mereka menitis air mata kerana ini akan menjadi kali pertama Upin dan Ipin beraya tanpa Opah, tetapi yang pasti, mereka masih boleh beraya dengan kakak, Tok Dalang dan kawan-kawan. Upin dan Ipin risau akan keselamatan Opah, tetapi Opah memujuk mereka lagi bahawa dia boleh menjaga dirinya baik-baik. Sambil Opah memujuk cucu-cucu mudanya, Kak Ros menitis air mata sambil menyediakan baju kurung Opah.

Bahagian 2

Pada keesokan hari, Upin dan Ipin termenung sambil menunggu panggilan telefon daripada Opah yang pergi menjalankan umrah. Akhirnya telefon berdering, dan Upin cepat mengangkat gagang; rupa-rupanya seorang pemanggil berpelat Cina yang tersalah dail nombor telefon. Setelah gagang diletakkan, Ipin meluahkan kegelisahan bahawa Opah telah melupai mereka. Kak Ros terjumpa mereka di depan meja telefon lalu mengingatkan mereka bahawa Opah hanya baru pergi lima minit, dan menyuruh mereka untuk mengaji.

Ketika Upin dan Ipin baru hendak beredar dari meja telefon, mereka dikejutkan oleh satu lagi deringan telefon. Ipin tergesa-gesa menyambut telefon lalu memanggil nama Opah, tetapi rupanya Ehsan yang memanggil. Tujuan Ehsan menelefon adalah untuk mengajak mereka untuk berbuka puasa di surau kerana di situ ada pelbagai makanan sedap, termasuk ayam goreng yang dibekalkan oleh bapanya, membuat Ipin teruja. Dengan terujanya, Upin dan Ipin mengajak Kak Ros pergi bersama mereka untuk berbuka di surau, dan Kak Ros dengan sukacitanya merestui mereka.

Upin dan Ipin mengunjungi perkarangan surau pada waktu petang, di mana mereka berjumpa dengan Tok Dalang yang sibuk memasak dengan kawah. Setelah menjelaskan kepada ketua kampung mereka bahawa mereka tahu akan jamuan buka puasa di surau ini, Tok Dalang berbesar hati dan meminta mereka untuk membantu menyusun semua persiapan, baik menyiapkan hidangan mahupun membuka gulungan tikar surau yang besar lagi berat. Kemudian, Ehsan dan Fizi pun datang ke perkarangan surau, lalu menanya mereka kenapa bersiap juga. Jawab Tok Dalang, ini akan mendatangkan pahala ketika berbuka puasa nanti. Fizi menyangka bahawa dia dan Ehsan tidak sempat menolong Tok Dalang, Upin dan Ipin tadi kerana tidak sempat mendapat pahala. Dengan itu, Tok Dalang meminta mereka untuk mencuci pinggan selepas jamuan habis; ini membuat Ehsan dan Fizi tidak puas hati lagi.

Waktu maghrib pun tiba, dan para penduduk kampung pun berdoa lalu berbuka puasa dengan kurma di anjung surau. Upin, Ipin, Ehsan, Fizi dan Mail duduk setikar. Ipin paling tidak sabar hendak makan, tetapi sempat ditegur oleh abangnya supaya makan kurma dulu. Selepas memakan sebiji sahaja, Ipin pun menggondol seketul peha ayam goreng, tetapi dihalang lagi kerana hadirin diminta untuk bersolat dulu...walaupun Ipin dan yang lain-lain pun habis makan ayam goreng masing-masing.

Di tengah-tengah bersolat, perut Upin berkeroncong kuat sehingga mengganggu kawan-kawannya yang tengah bersembahyang sebaris dengannya. Belum lagi imam mengakhiri solat, mereka berlima pun bergegas keluar untuk menghabiskan jamuan mereka. Selepas makan habis, mereka berlima berpakat untuk bermain, tetapi tiba-tiba Kak Ros muncul dengan wajah yang marah. Upin menipu kakaknya yang dia hendak mengambil wuduk, maka Kak Ros memesan mereka lagi untuk berterawih, membuat mereka berlima sedikit muram. Fizi bercadang supaya mereka bermain selepas terawih, tetapi diingatkan oleh Ehsan supaya mencuci pinggan.

Pada kesudahan jamuan berbuka puasa, Kak Ros menjemput adik-adiknya pulang dari surau. Apabila ditanya tentang pengalaman mereka di jamuan tadi, Upin dan Ipin menjawab bahawa mereka berseronok bukan kerana bermain, tetapi membantu Tok Dalang membuat persiapan.

Bahagian 3

Hari Raya sudah tiba, siap dengan kumandangan takbir, dan Upin dan Ipin bersiap dengan songkok dan baju Melayu. Mereka menjenguk bilik tidur Opah dan teringat masa mereka mengucapkan selamat jalan kepada orang tua yang dikasihi, membuat mereka berasa muram, sehingga Kak Ros memanggil mereka untuk pergi ke surau.

Selepas bersembahyang di surau, Upin dan Ipin tetap bermuram ketika Kak Ros menyuruh mereka untuk makan tengah hari dalam cubaan menceriakan adik-adiknya. Upin dan Ipin menjelaskan bahawa mereka tiada selera. Tiba-tiba, sesuatu terlintas pada fikiran Kak Ros, maka dia sempat mengingatkan mereka bahawa Ehsan pernah menjemput mereka beraya di rumahnya.

Kak Ros pun membawa adik-adiknya ke rumah Ehsan untuk beraya. Rumah Ehsan dipenuhi tetamu dari kampung dan bandar, termasuk sekali kawan-kawan Upin dan Ipin, Badrol, Tok Dalang, Ah Tong, Muthu dan Abang Salleh, dan mereka ketiga pun disambut oleh Ehsan dan Fizi yang tidak sabar menunggu kehadiran mereka. Semua tetamu sempat dirakam oleh bapa Ehsan dengan kamera videonya. Upin dan Ipin menjemput kawan-kawan mereka untuk beraya di rumah mereka malam nanti supaya boleh bermain bunga api. Abang Salleh pun sudi membelanjakan mereka bunga api, menyebabkan kanak-kanak itu teruja lagi, apalagi Mail yang mata duitan.

Pada waktu malam, Upin, Ipin dan kawan-kawan seronok bermain bunga api yang dinyalakan oleh Kak Ros. Kak Ros beredar ke dalam rumah sekejap dan meminta tolong Abang Salleh untuk mengawasi kanak-kanak di perkarangan rumah. Sesaat sahaja selepas itu, Abang Salleh dikejutkan oleh Jarjit yang bermain bunga api terlalu dekat dengannya. Selepas menegur Jarjit, Abang Salleh senyap-senyap mengeluarkan sebatang roket mercun sambil tersengih.

Tiba-tiba, Kak Ros menyuruh Upin, Ipin dan kawan-kawan mereka untuk memasuki rumah. Rupa-rupanya, Opah muncul dalam kaca TV secara langsung dari Mekah dalam rancangan istimewa Salam Perantauan. Opah mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya kepada Ros, Upin dan Ipin, di samping memakan kuih raya yang dibuat oleh mereka. Detik ini sungguh menyayat hati sehingga Upin dan Ipin tersentuh skrin TV dengan tapak tangan. Temu bual dengan Opah itu singkat sahaja, selepas habis, kanak-kanak semua keluar bermain lagi, tetapi Upin dan Ipin tercegat di depan TV kerana lebih mengharapkan panggilan telefon dari Opah.

Untuk mengubati kekecewaan adik-adiknya itu, Ros menyuruh mereka untuk mendekati telefon untuk melihat Ros membuat panggilan telefon dengan perkhidmatan panggilan diskaun iTalk. Kemudian, Ros menghulurkan gagang kepada Upin dan Ipin supaya mereka boleh mendengar suara Opah yang tengah berumrah sempena Lebaran di Mekah. Dengan itu,

Episod ini diakhiri dengan Upin, Ipin, Ros, Dzul, Mei Mei, Ijat, Mail, Jarjit, Ehsan, Fizi dan Tok Dalang yang duduk di atas tangga anjung, mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada penonton. Selepas itu, mereka dikejutkan oleh Abang Salleh yang berlari dalam ketakutan kerana dikejar roket mercun yang dinyalakannya sendiri sampai terkena. Setelah dibakar, Abang Salleh bertempang-tempang ke arah skrin untuk mengingatkan penonton supaya jangan bermain mercun.

Advertisement