"Siapa Yang Ambil?" (tiga bahagian) merupakan episod ke-34, ke-35 dan ke-36 dalam musim ke-9 daripada siri Upin & Ipin.
Sinopsis[]
Kampung Durian Runtuh dilanda kes kecurian kasut baru-baru ini. Antara mangsanya termasuklah Upin dan Ipin dan kawan-kawan mereka! Mula-mula Rembo si ayam jantan kesayangan Tok Dalang menjadi suspek utama kecurian besar-besar itu kerana tabiatnya selalu mengheret kasut orang. Namun pesalah sebenar tidak seperti yang disangka...
Plot[]
Bahagian 1[]
Upin, Ipin dan kawan-kawan sedang leka bermain laga pemadam di bilik kelas apabila Ehsan masuk dengan wajah yang sugul dan memakai selipar. Apabila ditanya, Ehsan merintih kehilangan kasut sekolahnya. Oleh itu Detektif Upin dan Ipin mula beraksi untuk menolong Ehsan mencari semula kasutnya.
Mula-mula mereka mengesyaki Rembo si ayam jantan kesayangan Tok Dalang mencuri kasut tersebut kerana adalah tabiatnya sering mengusik dan menyeret kasut orang ke sana-sini di kampung. Bahkan mereka menyoal siasat Tok Dalang sendiri berkenaan salah laku Rembo, tetapi Tok Dalang menyangkal.
Rembo menawarkan diri untuk menolong mereka mencari kasut-kasut yang hilang itu, lalu ia terkesan sesuatu di sebalik semak-samun di sebelah rumah Tok Dalang. Penemuannya mengejutkan Upin dan Ipin lalu membuat mereka lebih marah kepada Rembo.
Bahagian 2[]
Setelah puas mengejar-ngejar Rembo, Upin dan Ipin berjumpa dengan kawan-kawan yang serba sedih kerana masing-masing pun kehilangan kasut! Pada masa yang sama, Ehsan muncul kembali ceria dengan kasut yang baru dibelikan. Upin dan Ipin membawa semua kawan-kawan ke tempat timbunan kasut-kasut yang hilang itu, maka semua pun ceria kembali.
Namun demikian, Ehsan kembali muram kerana tidak terjumpa kasut yang hilang pagi tadi, sehingga Rembo keluar merayau-rayau dengan sebelah kasut Ehsan, menyebabkan semua mengejar-ngejarnya.
Senja hari, Upin dan Ipin menceritakan peristiwa kasut hilang kepada Opah dan Ros yang nampak mereka memakai plaster di badan dan menegur supaya menjaga keselamatan diri walaupun ketika menolong orang.
Pada tengah malam, munculnya suatu lembaga gelap bermata kilau menyerbu kasut-kasut di depan rumah. Keesokan harinya, Upin dan Ipin mengejar Rembo sekali lagi, kali ini kerana selipar Upin hilang sebelah.
Bahagian 3[]
Tok Dalang meredakan keadaan dan menjelaskan bahawa dia mengurungkan Rembo di rebannya semalam, malah berpesan supaya tidak menuduh tanpa soal periksa. Maka Detektif Upin dan Ipin kembali bertugas dengan rajin mengambil gambar petunjuk jenayah, iaitu tapak kaki binatang yang aneh, untuk ditunjukkan kepada Tok Dalang.
Setelah meneliti gambar tersebut, Tok Dalang bercadang untuk memasang perangkap jebak dengan bantuan Upin dan Ipin. Pada malam berikutnya, makhluk curi kasut semalam akhirnya berjaya terkena jebak.
Keesokan harinya, Upin dan Ipin dan kawan-kawan berkumpul di depan perangkap untuk melihat sendiri seekor musang yang bengis mencengkam sebelah selipar Upin. Jelas Tok Dalang, sudah dua tiga malam dia menyaksikan makhluk tersebut mengusik kasut jiran sebelah tetapi tidak dapat bertindak atau mengkhabarkan apa-apa kerana tidak pasti. Pada masa yang sama, Ah Tong datang ke rumah Tok Dalang untuk menuntut musang yang ditangkapnya untuk dijual.
Video[]