"Upin, Ipin dan Ultraman Ribut" (tiga bahagian) merupakan episod ke-25, ke-26 dan ke-27 dalam musim ke-8 daripada siri Upin & Ipin. Episod ini menampilkan khas watak-watak Ultraman dari Jepun dan merupakan terbitan usahasama Les' Copaque Production dengan Tsuburaya Productions iaitu penerbit siri Ultraman.
Plot[]
Bahagian 1[]
Sementara Upin dan Ipin , dua orang anggota DRF sedang memandu pesawat Aman 1 di udara untuk memantau keadaan jerebu luar biasa di sekitar Kuala Lumpur. Dalam penerbangan mereka dihubungi oleh Aman 2 yang dipandu oleh Mei Mei dan Mail, lantas menjawab dengan "Selamat pagi, Aman 2. Apa khabar?" dalam bahasa Jepun. Balas Mei Mei dalam bahasa Malaysia, "Selamat pagi, Aman 1. Kami baik-baik saja." Pasangan Aman 2 turut melaporkan pencemaran udara yang teruk di sekitar luar kota. Maka Upin dan Ipin bercadang supaya mereka berempat sama-sama mencari punca pencemaran.
Sementara itu di Ibu Pejabat Pasukan Pertahanan (DRF), Kapten Ehsan menyuruh orang-orang bawahannya iaitu Fizi dan Jarjit untuk cuba menghubungi pesawat Aman 1 dan Aman 2. Mereka dapat mengesan isyarat pesawat-pesawat itu sebentar, kemudian terputus hubungan tiba-tiba. Jarjit berusaha menghubungi mereka semula dengan komputer, tetapi gagal dan terjadi keruntuhan sistem. Keluhnya, "Dua tiga budak tengok kartun, Aman 1 Aman 2 tak jawab pun." Maka Ehsan meminta Terasawa untuk membetulkan sistem sementara dia dengan Fizi dan Jarjit pergi makan.
Pesawat Aman 2 bergerak ke kawasan luar bandar, di mana Mei Mei dan Mail menemui dan berkeluh akan pembakaran terbuka di sebidang sawah. Daripada itu mereka cuba menghubungi Upin dan Ipin di Aman 1 tetapi gagal (disebabkan kerosakan sistem komunikasi). Pada masa yang sama Upin dan Ipin di Aman 1 cuba menghubungi Aman 2 dengan Ibu Pejabat, tetapi kesulitan juga. Apapun mereka juga menemui dan mengeluhi kegiatan pembalakan haram yang menyebabkan pembasmian hutan tidak terkawal di daratan, ditambah pula dengan sungai yang tercemar.
Sebaik sahaja Terasawa siap membaiki sistem, tiba-tiba munculnya isyarat ancaman dikesan oleh Aman 2. Maka dia membuka visual lalu mendapati "Makhluk Asing Kilat" sedang menyebabkan kemusnahan dalam hutan. Oleh itu Mei Mei dan Mail bertindak dengan cuba menewaskan raksasa itu dengan menembak bertubi-tubi dan peluru berpandu. Namun usaha mereka tidak berkesan, malah dibalas dengan pancaran api raksasa yang lebih hebat dan berjaya mengena Aman 2. Terasawa tidak dapat duduk diam melihat babak rakan-rakan seperjuangannya di lapangan dalam bahaya lalu bergegas keluar dari ibu pejabat.
Upin dan Ipin sempat menghubungi Aman 2 di saat kejadian itu lalu bergegas ke tempat berkenaan. Setibanya di sana mereka juga bertemu dengan Makhluk Asing Kilat lalu terkena pancaran apinya di sayap kiri. Maka Aman 1 pun dijatuhkan sambil dilihat oleh Mei Mei dan Mail (yang entah bagaimana masih terbang lagi) yang gusar sekali. Mujur pada saat itu Terasawa sudah sampai dan melakukan suatu penukaran. Tidak sempat terhempas, Aman 1 terselamat oleh suatu makhluk gergasi...
Bahagian 2[]
Terasawa telah bertukar menjadi Ultraman Ribut dan sempat menyelamatkan Aman 1 dari terhempas, lalu meletakkan pesawat yang membawa Upin dan Ipin itu dengan kemas di atas jalan raya di sebelah tapak kejadian raksasa. Kemudian Makhluk Asing Kilat menahan Aman 2 dengan cakera apinya. Maka Ultraman bergegas ke arah raksasa itu, meredah tembakan api bertubi-tubi untuk menyelamatkan Mei Mei dan Mail, tetapi raksasa itu mencampak pesawat itu ke arah lain, iaitu ke arah jalan raya di mana Upin dan Ipin berada. Maka Ultraman melompat jauh untuk menyelamatkan Aman 2 daripada menghempas.
Sebaik sahaja itu, Ultraman Ribut ditembak dari belakang oleh Makhluk Asing Kilat. Upin dan Ipin cepat bertindak dengan menembak ke arah mata raksasa untuk membendung kemaraannya, tetapi tembakan kecil-kecilan mereka dibalas dengan pancaran api raksasa ke arah jalan raya, tetapi Upin dan Ipin sempat mengelak. Ini memberi Ultraman cukup masa untuk kembali membendung Makhluk Asing Kilat.
Upin, Ipin, Mei Mei dan Mail berempat berazam untuk menolong Ultraman mengalahkan raksasa. Maka mereka berempat menaiki satu pesawat (iaitu Aman 1) lalu menjatuhkan Makhluk Asing Kilat dengan tembakan peluru berpandu kepada belakangnya. Tetapi raksasa itu segera bangun lalu menghentak sebelah kaki dengan kuat untuk membakar kawasan rimbun di keliling medan pertempurannya dengan Ultraman Ribut.
Sambil bertarung, Makhluk Asing Kilat menyedut lagi asap dari kebakaran hutan melalui "tanduknya". Hal itu diperhatikan oleh anak-anak pesawat Aman 1 maka mereka bertindak balas dengan memadamkan api hutan. Mula-mula mereka menyirami api dengan air, tetapi asap semakin berkepul. Oleh itu Upin melepaskan segugus "penyedut asap" ke langit. Cara ini nyata berkesan dalam memberikan kelebihan kepada Ultraman Ribut.
Akan tetapi, Makhluk Asing Kilat tidak sedikit pun gentar, apalagi bertambah geram lalu melepaskan pancaran kilat yang teramat hebat ke arah Ultraman. Ultraman mengelak dengan kemas, tetapi pancaran itu terkena tiang elektrik di belakangnya. Daripada tiang yang musnah terbakar lahirnya seekor lagi raksasa bernama Raksasa Halilintar yang memayahkan lagi usaha membendung raksasa dan pencemaran oleh DRF dengan Ultraman Ribut.
Raksasa baru itu mula-mula tidak melibatkan diri dalam pertarungan Ultraman Ribut dengan Makhluk Asing Kilat, sebaliknya berjalan ke arah jalan raya dan kawasan bandar. Anak-anak kapal Aman 1 mendapati orang ramai dalam bahaya, maka mereka bertindak untuk cuba membendung Raksasa Kilat sementara Ultraman Ribut sibuk dengan Makhluk Asing Kilat. Pertarungan berkesudahan dengan Ultraman Ribut memotong kedua-dua tangan lawannya dengan "lingkaran gergaji" lalu melakukan Ultra Beam ke arah Makhluk Asing Kilat untuk menamatkan riwayatnya. Selepas itu, Ultraman Ribut pun berlepas ke ibu kota untuk menolong DRF tentang Raksasa Halilintar.
Bahagian 3[]
Raksasa Halilintar sudah pun melanda Kuala Lumpur, menyebabkan warga kota melarikan diri dalam ketakutan. Upin, Ipin, Mail dan Mei Mei dalam Aman 1 tiba di tempat kejadian dan melancarkan peluru berpandu untuk cuba mengawal raksasa itu. Nyata sekali raksasa ini jauh lebih kebal daripada Makhluk Asing Kilat, apalagi membalas dengan pancaran kilat hijau.
Dalam bermaharajalela di kota, perhatian Raksasa Halilintar beralih kepada seorang kanak-kanak perempuan (iaitu Ara dari Pada Zaman Dahulu) yang tercegat di tengah jalan raya. Anak-anak pesawat Aman 1 pun menyedari adik dalam bahaya itu, maka Upin dan Ipin menyuruh Mail mengambil alih pesawat sementara mereka berpayung terjun ke daratan. Sebaik sahaja pengambilalihan, Aman 1 terkena pancaran Raksasa Halilintar, dan Mei Mei dan Mail sempat melentingkan diri sebelum terhempas.
Upin dan Ipin sempat sampai untuk membawa Ara pergi dari ancaman raksasa, tetapi pada masa yang sama Raksasa Halilintar melepaskan panahan kilat hijaunya! Mujur Ultraman Ribut sempat datang untuk menangkis serangan raksasa dengan perisai. Maka Ara selamat pulang ke pangkuan ibunya sementara Upin dan Ipin menyeru Ultraman Ribut supaya berhati-hati.
Lawan kedua Ultraman Ribut nyata lebih getir daripada Makhluk Asing Kilat. Raksasa Halilintar mematahkan perisai Ultraman dengan ekor, kemudian memanahkan kilat sekencang-kencangnya hingga menjatuhkan Ultraman. Ekoran penat bertarung dengan dua ekor raksasa, lampu amaran (color timer) di dada wira gergasi itu berkelip merah, menandakan bahawa keadaan Ultraman Ribut semakin genting. Menyedari hal itu, Upin dan Ipin bertekad untuk mencari jalan untuk menolong Ultraman, tetapi sebelum itu mereka mengkhabarkan ikhtiar mereka kepada Mail dan Mei Mei yang sedang menjalankan kerja memandu pelarian.
Apabila Raksasa Halilintar mendekati Ultraman Ribut yang rebah, Upin dan Ipin di atas sebuah bangunan menghujaninya dengan tembakan pistol bertubi-tubi sambil meraung supaya Ultraman bangun semula. Tetapi Ultraman menelan masa yang agak lama untuk bangun.
Apabila Raksasa Halilintar memanah bangunan itu akhirnya Ultraman Ribut bangun, memotong tanduk raksasa dengan lingkaran gergaji dan akhirnya melakukan serangan penamat yang berbeza, iaitu mengurung Raksasa Halilintar dalam sebuah cakera perisai lalu menghumbannya ke angkasa seperti sukan lontar tukul besi.
Kejayaan Ultraman Ribut disambut meriah oleh Upin, Ipin, kawan-kawan dan seluruh warga kota, tidak lupa juga Ehsan, Fizi dan Jarjit di ibu pejabat yang memuji keberanian Ultraman Ribut dengan Upin dan Ipin. Tetapi Jarjit perasan akan sesuatu dan bertanya, "Dua tiga angkasawan, mana Terasawa-san?" Sambil bersemuka dengan Ultraman Ribut buat kali terakhir selepas pertarungan, Upin dan Ipin juga meraikan redanya pencemaran udara. Sebelum berpisah, Ultraman Ribut mendermakan sebutir cahaya kepada mereka untuk... bangun dari mimpi.
Sebaik bangun dari tidur siang, Upin dan Ipin mendapati pergelangan tangan mereka dipakaikan G-Flash. Kemudian mereka terhidu bau asap dari halaman rumah lalu bergegas untuk menegur Kak Ros kerana membuat pembakaran terbuka kerana takut didatangi oleh raksasa yang menyukai udara kotor. Ros menganggap kata adik-adiknya sebagai main-main dan mentertawakan mereka. Kembar itu mengumpamakan Kak Ros seperti raksasa dan mengugut untuk memanggil Ultraman. Ros terbahak-bahak lagi. Sebaik mereka "panggil", datanglah lima kawan mereka yang memakai topeng Ultraman dengan hos air untuk menyelamatkan keadaan dan menegur Kak Ros supaya "menyayangi bumi kita".
Trivia[]
- Episod ini dihasilkan khas sempena kolaborasi antara Les' Copaque dengan Tsuburaya yang mula mengadakan hubungan sejak tahun 2011 untuk menghasilkan Ultraman Ribut.
- Episod ini telah dimuat naik ke saluran YouTube Les' Copaque dengan sarikata bahasa Inggeris dan bahasa Jepun disediakan.
- Pada permulaan episod ini, Upin & Ipin telah menyapa Mei Mei dan Mail dalam bahasa Jepun. Inilah kali pertama Upin dan Ipin bertutur dalam bahasa Jepun.
- Nama pesawat yang digunakan dalam episod ini, iaitu Aman 1 dan Aman 2 diambil sempena nama kelas Upin dan Ipin (Kelas Aman).
- Ketika Upin dan Ipin sedang menyelamatkan orang awam, kelihatan Ara, watak eponim utama dalam siri animasi Pada Zaman Dahulu (satu lagi siri animasi terbitan Les' Copaque) sedang berdiri melihat Raksasa Halilintar.
- Ini merupakan kali kedua Ara muncul dalam siri Upin & ipin selepas episod Ikhlas Dari Hati, musim kelima.
- Nama raksasa yang muncul dalam episod ini mempunyai perkaitan antara satu sama lain. Pada permulaan, Raksasa Kilat muncul terlebih dahulu sebelum Raksasa Halilintar muncul selepas Kilat dikalahkan.
- Kilat dan Halilintar tergolong dalam satu kategori yang sama.