Upin & Ipin Wiki
Advertisement

"Tujuh petala langit menyeru namanya
Tujuh petala Bumi gerun akannya
Keris sakti merungkai rahsia
Hilang di dunia, tiada jejaknya
Kurun demi kurun, silih berganti
Sehingga ia ditemui, kini!
"
— Perihal Keris Siamang Tunggal pada permulaan tayangan filem



Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal ialah filem ketiga yang dihasilkan oleh Les' Copaque Production. Ia ditayangkan di Malaysia, Singapura, dan Brunei mulai 21 Mac 2019, di Indonesia mulai 9 Mei 2019, dan di Amerika Syarikat pada 8 November 2019. Filem ini merupakan filem ketiga terbitan Les' Copaque selepas Geng: Pengembaraan Bermula dan Upin & Ipin: Jeng Jeng Jeng! dan yang kedua dalam bentuk animasi penuh.

Ringkasan[]

Upin, Ipin dan rakan-rakan mereka menemui sebilah keris misteri yang membuka portal dan membawa mereka terus ke sebuah kerajaan.

Sinopsis[]

Filem pengembaraan baru ini mengisahkan kembar comel Upin dan Ipin bersama-sama kawan-kawan mereka Ehsan, Fizi, Mail, Jarjit, Mei Mei, dan Susanti dalam usaha mereka menyelamatkan kerajaan fantasi Inderaloka dari kekejaman Raja Bersiong. Semuanya bermula apabila Upin, Ipin dan kawan-kawan terjumpa sebilah keris misteri yang membawa mereka memasuki kerajaan tersebut. Ketika mencari jalan pulang, mereka dibebani dengan tanggungjawab untuk mengembalikan kegemilangan kerajaan itu seperti sediakala. Dengan bantuan Mat Jenin dan Belalang, Upin, Ipin, dan kawan-kawan perlu melalui pelbagai dugaan dan cabaran dalam filem pengembaraan aksi penuh magis dan lucu yang dihasilkan oleh Les’ Copaque Production Sdn. Bhd.

Plot[]

"Dua sinar sebagai petanda
Hilang gelap datang cahaya
Dua jiwa menjadi pembela
Keris lama bertaut semula
Sinar bahagia kembali akhirnya!
"
— Mantera keris Siamang Tunggal yang membolehkan penyeru bertukar menjadi Siamang Tunggal


Istana Inderaloka dikejutkan dengan kehadiran seorang yang tiada siapa pun yang mengenalinya. Raja Bersiong tiba-tiba datang ke istana dan menyerang pengawal yang berada di situ. Dia kemudiannya masuk ke balai tempa, di mana Raja Inderaloka sedang berada di sana untuk menempa keris Siamang Tunggal. Kemasukan Raja Bersiong menyebabkan keris itu gagal ditempa sepenuhnya kerana selepas itu, berlaku pertempuran di antara Raja Inderaloka dan Raja Bersiong. Walau bagaimanapun, oleh kerana kekuatan Raja Bersiong, ditambah pula dengan ketidaksempurnaan keris Siamang Tunggal, Raja Inderaloka tewas dan mengakibatkan Raja Bersiong berjaya merampas takhta kerajaan Inderaloka. Namun, sebelum tewas di tangan Raja Bersiong, Raja Inderaloka sempat menyeru Siamang Tunggal untuk menghalang Raja Bersiong. Ini mengakibatkan dia gagal mendapatkan keris tersebut. Dia juga tewas di tangan keris Siamang Tunggal, mengakibatkan dia mengarahkan Reriang untuk mendapatkan keris itu. Namun, belum sempat Reriang mendapatkan keris itu, keris Siamang Tunggal sudahpun hilang dari Inderaloka dan berteleportasi ke dunia nyata. Kini, Raja Bersiong memerintah kerajaan Inderaloka.

Di dunia nyata dalam Kampung Durian Runtuh, Upin dan Ipin, dua budak kembar yang ceria sedang cuba untuk melarikan diri daripada sekawan angsa yang diganggu oleh mereka dalam sebuah reban. Sebenarnya, mereka sedang mencari Rembo yang mencuri sebelah pasang selipar Upin. Setelah penat mencari Rembo, akhirnya mereka berjaya menemui ayam jantan itu yang sedang bersembunyi dalam sebuah bakul yang terletak di basikal. Maka, berlakulah kejar-mengejar antara Upin dan Ipin dengan Rembo. Setelah beberapa waktu mereka mengejar, mereka berjaya menangkap Rembo di hadapan stor rumah Tok Dalang. Upin memarahi Rembo dan mengambil seliparnya, namun berjaya ditenangkan oleh Ipin. Setelah itu, mereka pun masuk ke dalam stor dan memanggil Tok Dalang. Namun, tiada sebarang respons, menyebabkan mereka mengambil keputusan untuk pulang. Namun, ketika mereka ingin pulang, mereka dikejutkan dengan Tok Dalang. Mereka pun terkejut dan memarahi Tok Dalang, namun dia membalas kembali dengan sindiran. Ketika itu, stor Tok Dalang tidak kemas dan berselerak. Maka Tok Dalang mengajak mereka untuk mengemaskan stor bersama-sama.

Ketika sedang mengemas, Ipin terlihat sebuah glob dan bermain dengannya sehingga pening sebelum tumpuannya teralih kepada koleksi keris. Dia kemudiannya bermain sehingga diambil semula oleh Tok Dalang. Upin kemudiannya datang sambil memakai busana Melayu. Tok Dalang pun menjelaskan tentang barangan tersebut yang diwarisinya termasuk sebilah keris daripada Ah Tong. Namun, dia turut menceritakan tentang sebilah keris yang agak pelik yang diperoleh daripada seorang tua yang mendakwa bahawa keris itu ialah keris Siamang Tunggal. Ketika nama keris itu disebut, sebuah peti bergetar, mengakibatkan Rembo terkejut dan meluru ke arah Tok Dalang. Ceritanya kemudiannya tergantung apabila Rembo terbuang air besar, meninggalkan najis di baju Tok Dalang. Dia kemudiannya mengarahkan agar mereka berdua menyambung tugasan sementara dia pergi. Setelah itu, ketika mereka sedar yang tugasan mereka masih belum selesai, kawan-kawan telahpun tiba. Upin dan Ipin pun mengajak untuk mengemas bersama.

Segalanya nampak lancar sehingga Ipin menyebut nama keris Siamang Tunggal, menyebabkan peti di bawah Ipin bergetar. Mereka membuka peti tersebut dan cuba untuk mengeluarkan keris itu. Pada mulanya, Mail mencuba namun gagal sebelum Upin dan Ipin berjaya. Mereka kemudiannya tergelincir menyebabkan keris itu terjatuh. Ehsan kemudiannya mengambil gambar keris itu sebelum menemui satu ayat pada keris itu. Upin kemudiannya membaca mantera itu. Namun, situasi kemudiannya menyebabkan suasana menjadi huru-hara. Tambah memburukkan keadaan, sebuah gerbang teleportal terbuka dan menarik masuk Upin, Ipin, dan kawan-kawan ke gerbang teleportal tersebut. Teleportasi terhenti dengan sendirinya selepas kesemua mereka masuk dengan Rembo hampir termasuk ke dalamnya sebelum melarikan diri sambil bertelur.

Babak kemudian berpindah ke Inderaloka. Batu Belah Batu Bertangkup bereaksi dan satu lagi gerbang teleportal terbuka yang membawa Ipin, Fizi, Mail, dan Susanti di pohon mistik. Barulah mereka sedar di sana bahawa mereka sebenarnya di tempat yang terasing. Mereka juga dikejutkan dengan seekor burung yang tidak ada di dunia nyata. Manakala di suatu tempat, seorang lelaki bernama Mat Jenin sedang berjalan sambil mengira jumlah helaian rambut untuk ditukarkan kepada emas. Dia juga berangan-angan menjadi kaya. Namun, Mat Jenin tertarik ke arah satu udara yang membawanya betul-betul di hadapan Batu Belah Batu Bertangkup. Dia juga melihat beberapa helaian rambut yang amat bernilai dan cuba untuk mendapatkannya untuk menjadi kaya. Namun, misinya gagal kerana pada waktu yang sama, Upin, Mei Mei, Jarjit, dan Ehsan berteleportasi ke situ. Hanya beberapa ketika, Batu Belah Batu Bertangkup bereaksi, menyebabkan mereka semua diterbangkan angin. Mereka kemudiannya terdampar di sebuah lokasi yang agak jauh dari batu tersebut. Mat Jenin kemudiannya menerangkan serba sedikit mengenai Batu Belah Batu Bertangkup dan Inderaloka kepada mereka berempat. Namun, mereka semua panik apabila mereka tidak menemui Inderaloka di dunia nyata. Namun, Upin lebih risau apabila Ipin terpisah dan tidak berada bersamanya sebelum menjerit memanggil adik kembarnya.

Jeritan Upin didengari Ipin yang berada jauh dari mereka. Dia cuba untuk menenangkan hatinya yang kini terpisah daripada satu sama lain. Kemudian, mereka terus berjalan sehingga ke suatu tempat lapang. Di sana, mereka menemui burung empat kepak yang menarik perhatian. Mail dan Ipin pun merancang untuk menangkap burung tersebut untuk dijual. Namun, suasana menjadi tidak terkawal apabila Mail memegang bahagian ekor tersebut. Dalam ketika itu, mereka berjaya menemui hulu keris Siamang Tunggal. Namun, Mail tiba-tiba berlari ke arah mereka dan menyuruh agar berlari kerana mereka sedang dikejar sekawan reriang. Dalam pada itu, seorang yang bernama Belalang tiba dan menyerang balas reriang tersebut. Hasilnya, mereka berjaya melepaskan diri daripada reriang. Reriang itu kemudiannya berjaya terlepas daripada perangkap tumbuhan dan bertukar menjadi manusia. Mereka marah kerana gagal mengejar Ipin dan kawan-kawannya dan mereka pun segera beredar. Selepas itu, Ipin dan kawan-kawannya mengikut Belalang dan berterima kasih. Walau bagaimanapun, dia mahukan bayaran atas misi menyelamatkan mereka dari reriang, mengakibatkan Mail terkejut atas sebab bayaran tersebut. Fizi kemudiannya mengakui bahawa mereka sebenarnya sesat dan cuaca bertukar menjadi mendung.

Di Istana Raja Bersiong, dia merasakan sesuatu yang tidak menenteramkan kerana keris Siamang Tunggal sudah kembali ke Inderaloka. Kemudian, nujum kerajaan Inderaloka, Pak Belalang dipaksa menghadap Raja Bersiong untuk menjelaskan mengenai keberadaan keris Siamang Tunggal di kerajaannya. Pak Belalang menafikan dakwaan tersebut dengan menjelaskan bahawa dia sudah mengunci pintu masuk Inderaloka. Dia kemudiannya dipaksa untuk menilik mengenai keris itu. Namun, Pak Belalang memohon untuk kembali mengambil mangkuk tiliknya.

Di rumah Belalang, mereka sedang menikmati kopi kerak kuali yang dihasilkannya. Ketika itulah, Pak Belalang kembali dan mendesak untuk lari dari rumah. Ketika itulah, dia terlanggar Ipin menyebabkan keris Siamang Tunggal terjatuh. Situasi itu mengakibatkan Pak Belalang panik dan memeriksa keadaan Ipin. Dia juga bertanya tentang keberadaan sarung keris itu, namun, Ipin membalas dengan mengatakan bahawa sarung keris itu telah hilang. Jawapan Ipin itu menambahkan lagi rasa cemas Pak Belalang. Lebih teruk lagi, reriang sudah berada berdekatan dengan rumahnya. Dia kemudiannya mengarahkan agar mereka segera meninggalkan tempat itu melalui laluan rahsia. Dia mengamanahkan anaknya untuk melindungi Ipin, mencari Nakhoda Ragam, dan berhati-hati dengan sesiapa sahaja yang mempunyai kesan bakar di telinga. Dia kemudiannya berhadapan dengan reriang secara sendirian, walaupu sedar akan risiko yang dihadapinya. Mujurlah mereka sempat melarikan diri dan terus menuju ke Pelabuhan Megah, di mana rakyat Inderaloka berkumpum untuk berdagang.

Di sebelah sana, Mat Jenin sedang leka melihat sarung keris Siamang Tunggal. Sehinggalah Jarjit memanggil Mat Jenin, dia turun dan cuba melarikan diri daripada mereka. Upin kemudiannya mengambil sarung keris itu, namun segera dirampas oleh Mat Jenin dan menyebabkan pergaduhan antara Upin dengan Mat Jenin. Dia kemudiannya menerangkan tentang sebab mengapa dia ingin menjual sarung keris itu agar memperoleh duit untuk kaya dan mengahwini puteri raja. Mei Mei kemudiannya memuji sifat Mat Jenin yang disamakannya dengan hikayat dunia nyata itu. Dia kemudiannya ingin makan dan disetujui oleh Ehsan. Setelah itu, selepas penat berjalan, akhirnya, mereka tiba di Pulau Pisang.

Di Pulau Pisang, mereka duduk sambil menunggu pisang salai untuk tiba. Ketika itu, Mak Deruma, pemilik warung ini tiba untuk mengidanngkan pisang salai. Apabila dia datang, semua yang berada di sana berebut untuk mendapatkan pisang salai, termasuklah Mat Jenin. Namun, Mak Deruma menjeling tajam ke arahnya, menuntut bayaran yang tertunggak kepadanya selama ini. Ketika itu, Mek Min, ketua lanun tiba dan mengambil pisang salai yang diminta. Mujurlah, Mat Jenin berjaya mendapat pisang salai. Namun, tumpuan Upin terarah kepada Mak Deruma yang duduk memandang ke arah bongkah batu Tanggang yang terletak di hadapan pulau. Mat Jenin kemudiannya menerangkan punca Mak Deruma bersikap emosional dan punca kewujudan Warung Pisang Salai. Upin cuba untuk menggembirakan Mak Deruma, namun, kata-kata Upin hanya menyebabkan Mak Deruma bertambah sedih dan menyebabkan dia bertindak memaafkan Tanggang. Tindakan dia memaafkan Tanggang itu menyebabkan air mata Mak Deruma menitis, yang turut memberikan bahagian bilah keris Siamang Tunggal yang pertama. Di sana, Ipin menyedari bahawa kerisnya mula bereaksi dan ke pelabuhan untuk mengikut Belalang. Namun, kembar itu tidak menyedari bahawa mereka sedang diperhatikan reriang Raja Bersiong. Mat Jenin kemudiannya cuba tawar-menawar sarung keris itu kepada lanun yang berada di situ. Namun, sekali lagi, berlaku pertelingkahan antara Upin dengan Mat Jenin dan dileraikan oleh Mak Deruma yang sedar akan keris Siamang Tunggal. Mek Min kemudiannya mencadangkan agar mereka semua pergi dari pulau itu apabila sekumpulan ikan todak daatng menyerang Pulau Pisang. Mek Min dan Mak Deruma kemudiannya mengarahkan agar benteng pertahanan dibina daripada batang pisang dan mengarahkan agar Upin dan kawan-kawan dibawa lari. Mujurlah mereka dapat meloloskan diri dari serangan ikan todak.

Di istana, Raja Bersiong berjaya meramal ramalannya yang keris Siamang Tunggal telah kembali. Dia kemudiannya mengerahkan agar Re, Ri, dan Ang agar menghapuskan Upin, Ipin, dan kawan-kawan dan membawa keris itu ke istana. Dia turut meyakini bahawa ramalannya itu tidak akan menjadi.

Malam di Pelabuhan Megah riuh dengan ramai orang berduyun-duyun untuk melihat persembahan Nakhoda Ragam yang berkaitan dengan keris Siamang Tunggal. Ketika persembahan wayang kulit, Ipin merasakan perkaitan antara kerisnya dengan persembahan itu. Ketika persembahan bermula, Upin dan kawan-kawan bersama Mat Jenin tiba ke Pelabuhan Megah. Mereka pun pergi ke persembahan itu. Ipin sedang rancak menari dan Upin pula terlihat adik kembarnya gembira di dalam persembahan itu. Dia tidak melepaskan peluang untuk bertemu semula. Hasilnya, Upin dan Ipin berjaya dipertemukan semula di tengah-tengah persembahan. Mereka bersama kawan-kawan yang pun menyertai persembahan itu dengan gembira. Selepas persembahan, mereka bertanya keadaan antara satu sama lain, termasuklah bertanya akan keadaan keris Siamang Tunggal yang dibawa mereka.

Namun, ketika itu, Re, Ri, dan Ang tiba ke pelabuhan dan berjaya menemui mereka. Re kemudiannya memaksa untuk mereka menyerahkan keris Siamang Tunggal. Namun, Upin menolak tuntutan Re, menyebabkan manusia-reriang itu bertindak mengejar mereka dan menculik kawan-kawan Upin dan Ipin, sekaligus mencetuskan kekecohan di Pelabuhan Megah. Upin dan Ipin juga hampir diculik mereka, namun, atas kebijaksanaan mereka, kembar itu berjaya melepaskan diri. Manakala di sebelah sana, Mat Jenin dan yang lain cuba bertahan daripada serangan, namun gagal. Mujurlah Nakhoda Ragam dan Belalang berjaya naik ke atas kapal milik Nakhoda Ragam, kapal Layar Lara. Sementara itu, Upin dan Ipin kembali dikejar selepas penyamaran mereka terbongkar oleh Re, Ri, dan Ang. Mereka cuba untuk melepaskan diri dan nasib mereka baik kerana kapal Layar Lara berada berdekatan dengan mereka. Mereka berjaya memasuki kapal Layar Lara, namun Re, Ri, dan Ang masih mengejar mereka. Sedar bahawa keris Siamang Tunggal masih bersama mereka dan tiga pengawal itu masih mengejar, Upin segera mengaktifkan keris itu dan menyerang balas. Reriang itu berjaya diusir dari kapal, namun kawan-kawan Upin dan Ipin berada di tangan mereka. Re kemudiannya mengarahkan agar keris itu dibawa ke Istana Raja Bersiong atau berdepan risiko kehilangan kawan-kawan.

Di kapal Layar Lara, Upin mencadangkan agar menyerahkan sahaja keris itu, namun ditentang oleh Nakhoda Ragam dan Mat Jenin. Nakhoda Ragam pun menerangkan ancaman kepada mereka dan Inderaloka sekiranya keris Siamang Tunggal jatuh ke tangan Raja Bersiong sebelum ditenangkan oleh Mat Jenin dan Belalang yang berjanji akan membantu mereka berdua. Mereka pun segera membulatkan tekad untuk ke Istana Raja Bersiong. Walau bagaimanapun, antara mereka, hanya Nakhoda Ragam sahaja tahu jaaln pintas ke istana. Namun, jawapan Nakhoda Ragam menimbulkan persoalan Mat Jenin. Soalan Mat Jenin pula membawa kepada ingatan Nakhoda Ragam kepada satu masa lalu. Dia kemudiannya cuba untuk mengelak dengan menyanyi mengenai dirinya sendiri. Belalang kemudiannnya menemui Nakhoda Ragam dan meminta bantuan. Nakhoda Ragam kemudiannya bertanya untuk kepastian mengenai kemunculan semula keris Siamang Tunggal dan membawa mereka ke Pulau Angan Makanan.

Di Pulau Angan Makanan, mereka semua sedang berjalan sehinggalah Upin dan Ipin bertemu dengan Nian yang mencuri sebelah selipar Upin, menyebabkan mereka terpisah dari yang lain. Ketika mereka sedang meminum airlah, mereka menyedari yang sebenarnya Upin dan Ipin terpisah. Manakala Upin dan Ipin pula giat mengejar Nian untuk memperoleh semula sebelah selipar Upin sambil menerokai kawasan di Pulau Angan Makanan. Mereka berjaya memperoleh semula selipar Upin dan terjatuh di hadapan sebauh gua. Mereka juga mendengar suara orang menyanyi yang menarik mereka masuk ke dalamnya. Namun, sebaik sahaja mereka memasuki gua tersebut, suara itu hilang dan mereka bermain dengan air susu yang terdapat di dalamnya. Mereka juga menemui sebuah lukisan yang terdapat di dalam gua. Namun, setelah itu, mereka tiba-tiba dilanda kesedihan apabila teringat akan Opah dan Kak Ros yang berada di alam mereka, apalagi bilamana lukisan di dalam gua itu sama dengan keluarga mereka. Mereka kemudiannya dibayangi oleh Opah dan Kak Ros yang mengajak mereka untuk pulang. Upin dan Ipin hampir berpaut pada bayangan itu, namun gagal apabila mereka terhumban ke satu lagi bahagian gua. Mereka sekali lagi mendengar suara yang sama didengari ketika berada di pintu masuk gua. Kelihatan seorang gadis sedang duduk di buaian sambil menyanyi. Nyanyian gadis itu mnarik perhatian mereka sebelum Mat Jenin, Belalang, dan Nakhoda Ragam terumbang-ambing menaiki badak air makanan di situ. Mereka berlima akhirnya bertemu dan gadis itu bertanya akan keadaan mereka sebelum memperkenalkan diri sebagai Bawang Merah, penunggu gua tersebut. Suasana ceria sehinggalah Nakhoda Ragam bertanya akan punca mengapa dia berada di situ. Bawang Merah pun menjawab bahawa dia dikurung di sana atas sebab difitnah oleh adiknya sendiri, Bawang Putih. Dia turut menceritakan apa sebenarnya yang berlaku.

Di penjara istana, Bawang Putih menangis akibat tindakannya sewaktu memfitnah Bawang Merah. Dia turut menceritakan apa yang berlaku sehingga dia dipenjarakan. Cerita Bawang Putih itu turut mendapat perhatian Pak Belalang yang turut dipenjarakan akibat gagal menilik ramalan Raja Bersiong. Kemudiannya, kawan-kawan Upin dan Ipin diserang reriang akibat tindakan Jarjit yang cuba membuka pintu bilik penjara. Fizi kemudiannya risau akan keadaan Upin dan Ipin yang tiada siapapun yang mengetahui keadaan mereka, hidup ataupun mati. Pak Belalng pun menegah Fizi dengan mengatakan bahawa Upin dan Ipin merupakan kunci kepada pembebasan Inderaloka daripada genggaman Raja Bersiong. Bawang Putih kemudiannya menangis memanggil kakaknya.

Di gua, Nakhoda Ragam sedang mencari laluan pintas ke istana yang hilang disebabkan keringnya kolam di sana. Upin dan Ipin kemudiannya cuba menangkap Nian yang mencuri sebelah selipar Upin tadi sebelum dimarahi Bawang Merah. Mereka berdua pun menyamakan Bawang Merah dengan Kak Ros. Maka gadis itu pun bertanya siapa Kak Ros. Upin dan Ipin pun menerangkan siapa sebenarnya Kak Ros, kakak mereka. Saat mereka menerangkan tentang kakak mereka, dia terbayang akan kenangannya bersama Bawang Putih sewaktu kecil. Tambah memilukan, ketika Upin dan Ipin bercakap mengenai kemaafan, Bawang Merah menangis dan teringat akan adiknya. Dia amat merindui adiknya Bawang Putih dan memaafkannya. Kemaafan Bawang Merah menyebabkan air matanya menitis, yang memberikan bahagian bilah keris Siamang Tunggal yang kedua, mengubah warna daun pokok tempat mereka berteduh kepada warna kuning, serta kembalinya air kolam yang membuka semula laluan pintas ke istana.

Setelah berjaya mendapatkan bahagian kedua keris dan terbukanya kolam yang membawa ke istana, mereka segera terjun dan menyelam ke bahagian satu lagi kolam itu. Mereka keluar dari kolam itu dalam keadaan terbalik. Bawang Merah pun gembira apabila berjaya bebas dari gua. Bawang Merah sangat teruja sehingga terpaksa ditenangkan oleh yang lain. Ketika itu, mereka pun sampai ke perkarangan istana Raja Bersiong.

Mereka pun memasuki penjara istana. Di sana, mereka terpaksa mengelak daripada reriang sebelum sampai ke ruang penjara. Ketika itulah, Upin dan Ipin bertemu semula dengan kawan-kawan, Bawang Merah bertemu semula dengan adiknya Bawang Putih, dan Belalang pergi ke ayahnya Pak Belalang. Manakala Mat Jenin dan Nakhoda Ragam terus menuju ke bahagian istana, meninggalkan mereka di sana. Ketika itu, Pak Belalang meminta agar mereka semua pergi dari kawasan penjara. Walau bagaimanapun, saat mereka cuba untuk melepaskan diri, mereka berhadapan dengan reriang. Upin kemudiannya cuba untuk menghalang reriang itu daripada terus menyerang menggunakan jamung, setelah diyakinkan oleh Ipin mengenai kelemahan reriang sebagai serangga. Belalang kemudiannya membantu dengan melastik peluru bergas ke arah reriang, ditambah lagi dengan Upin yang membaling jamung tersebut ke arah reriang, menyebabkan satu letupan berlaku. Mereka berjaya melepaskan diri. Namun, reriang itu berjaya mengejar semula mereka dan melakukan serang hendap ke atas mereka. Serangan mengejut itu juga menyebabkan mereka terpecah kepada dua. Perpecahan itu memaksa Upin dan Ipin berlari mengikut arah yang ada di depan mata mereka.

Di dalam istana, Mat Jenin sedang meneroka kawasan. Dia kemudiannya masuk ke dalam balairung istana di mana dia terlihat bayangan Raja Inderaloka sedang bersemayam di sana. Dia cuba pergi, namun bayangan itu hilang saat dia mendekati singgahsana. Mat Jenin kemudiannya meneruskan penerokaannya sehingga disedari Nakhoda Ragam. Mat Jenin juga ke balai tempa. Apabila dia memasuki balai tempa, ingatannya mula terarah kepada sesuatu. Ingatannya kembali melayang saat dia masih kecil apabila melihat ayahandanya tewas di tangan Raja Bersiong. Dia cuba untuk membantu, namun Nakhoda Ragam menghalangnya. Raja Inderaloka turut menitahkan agar Mat Jenin dibawa lari untuk mengelak daripada diburu Raja Bersiong. Apabila ayahandanya menyebut ayat terakhir, dia segera menjerit, namun hanyalah bayangannya sahaja. Seketika kemudian, Nakhoda Ragam tiba memujuk Mat Jenin. Di situlah Mat Jenin naik angin dan memarahi Nakhoda Ragam atas sebab tidak melindungi raja. Ketika itu jugalah, Upin dan Ipin tiba ke balai tempa. Mereka berdua terkejut apabila Nakhoda Ragam mendedahkan bahawa dialah sebenarnya anak kepada Raja Inderaloka. Dia juga menjelaskan punca sebenar mengapa Mat Jenin perlu dibawa lari selepas mendapat perintah ayahanda Mat Jenin, Raja Inderaloka. Mat Jenin mahu sahaja menumbuk Nakhoda Ragam, namun sempat dihalang oleh Upin dan Ipin. Mereka berdua cuba untuk meleraikan pergaduhan itu. Namun, Mat Jenin masih tidak dapat menerima kenyataan dan menangis sambil menyalahkan diri sendiri. Sedar akan keadaan Mat Jenin, Nakhoda Ragam cuba menenangkannnya dan memberikan kata-kata semangat berdasarkan apa yang dikatakan oleh Raja Inderaloka. Mat Jenin kemudiannya cuba bangkit dengan semangat kata-kata ayahandanya. Dia berjaya bangkit, menyebabkan air matanya menitis yang turut melengkapkan sepenuhnya bilah keris Siamang Tunggal. Lengkapnya keris itu disaksikan sendiri oleh mereka yang berada di situ.

Mat Jenin cuba membaca mantera keris, namun gagal kerana pada waktu itulah, Raja Bersiong tiba. Dia kemudiannya mendesak untuk menyerahkan keris itu dan sebagai balasan, dia akan melepaskan kawan-kawan Upin dan Ipin. Namun, Mat Jenin menolak dan terus bertempur menggunakan keris itu. Namun, Raja Bersiong berjaya menyerang balas Mat Jenin, menyebabkan keris Siamang Tunggal terlepas dari genggaman. Upin dan Ipin cuba untuk mengambilnya, namun Raja Bersiong menghalangnya dengan menolak mereka sehingga keluar dari balai tempa. Situasi itu menyebabkan pertempuran dua lawan satu yang menyaksikan kedua-dua mereka tewas. Sementara kembar yang terperangkap di luar itu cuba untuk memasuki semula balai tempa. Mat Jenin kemudiannya dicekik oleh Raja Bersiong, sebagaimana yang berlaku kepada ayahandanya. Mujur Upin dan Ipin berjaya memasuki semula balai tempa dan cuba membantu. Mereka terjumpa keris Siamang Tunggal dan cuba menyerang. Ipin pada mulanya takut sebelum diyakinkan Upin. Mereka menyerang menggunakan keris itu dan berjaya menikam Raja Bersiong. Tikaman itu mengakibatkan Raja Bersiong melepaskan cengkamannya ke atas Mat Jenin, namun mengakibatkan balai tempa dipenuhi reriang. Tongkatnya juga lebur dan jantungnya masuk ke dalam badan yang menyebabkan kekuatannya berganda.

Di sudut yang lain, kawan-kawan Upin dan Ipin terkepung di dalam lingkaran reriang sebelum Mei Mei mencadangkan untuk melawan sahaja. Belalang turut memberikan kata-kata semangat yang kemudiannya mencetuskan pertempuran antara kawan-kawan Upin dan Ipin dengan reriang. Bantuan juga sampai melalui Mak Deruma dan lanun-lanun. Kehadiran mereka menyebabkan berlaku pertempuran, yang turut dibantu oleh kawan-kawan Upin dan Ipin. Ketika pertempuran sedang terjadi, Belalang perasan yang bapanya tiada di situ. Rupanya, Pak Belalang dan Mak Deruma sedang berjalan menuju ke balai tempa.

Balai tempa semakin ganas dengan kekuatan Raja Bersiong yang berganda. Mat Jenin kemudiannya berjaya sedar dari pengsan setelah cuba disedarkan oleh Upin dan Ipin. Ketika itu, kekuatannya sudah berganda dan kebal daripada keris Siamang Tunggal. Dia juga merendah-rendahkan kehebatan keris itu dan membalingnya ke hadapan mereka. Bahkan, Raja Bersiong turut mengambil Upin dan Ipin dan membawa mereka keluar untuk dihumban ke dalam laut. Mat Jenin kemudiannya menyeru Raja Bersiong untuk melepaskan mereka, namun tidak diendahkan. Ketika itulah, Pak Belalang dan Mak Deruma masuk ke dalam balai dan menuju ke arah Nakhoda Ragam. Mereka kemudiannya mengarahkan agar Mat Jenin membaca mantera keris itu dan mengambil Upin dan Ipin. Dia sempat membaca mantera keris apabila Upin dan Ipin dihumban ke laut. Mat Jenin kemudiannya terjun dari balai tempa, dan berjaya bertukar menjadi Siamang Tunggal dan menyelamatkan kembar itu.

Mereka di dalam balai tempa itu pula sedang dikepung Raja Bersiong. Mujurlah, Upin, Ipin, dan Siamang Tunggal tiba semula ke balai tempa. Hal ini mencetuskan pertempuran di antara Siamang Tunggal dengan Raja Bersiong yang melarat sehingga ke bahagian tangga istana. Upin dan Ipin pula bersama yang lain bergerak segera menuju ke tempat selamat. Namun, mereka sekali lagi terpisah apabila Upin dan Ipin hampir dihempap bongkah batu yang terjatuh. Mereka kemudiannya melihat Siamang Tunggal sedang bertarung melawan Raja Bersiong. Upin pun mencadangkan agar mereka membantu Siamang Tunggal dengan bertarung tiga lawan satu sebelum terjun ke Raja Bersiong dan menyerang mereka. Ipin melemahkan Raja Bersiong apabila menarik misainya, mengakibatkan mereka berdua dihumban ke arah panji-panji istana. Mereka hampir terjatuh apabila berjaya berpaut pada panji-panji. Mereka melihat chandelier yang tersekat di atas mereka dan memanjatnya. Siamang Tunggal kemudiannya menyerang Raja Bersiong, namun ia terhalang apabila reriang menyerangnya kembali. Mujurlah, Upin dan Ipin berjaya menyerang balas dengan menggunakan chandelier itu. Raja Bersiong kemudiannya menyerang mereka sebelum dihalang oleh Siamang Tunggal. Ia kemudiannya bertarung sehingga membawa pertempuran ke balairung. Di sana, Raja Bersiong cuba bangkit, namun digagalkan oleh Upin dan Ipin yang memukul bara api ke arah Raja Bersiong. Melihat Raja Bersiong yang leka dengan serangan mereka berdua, Siamang Tunggal berjaya mengambil kesempatan dengan menyerang Raja Bersiong dan mencabut mahkota kerajaan Inderaloka daripadanya. Raja Bersiong pun kemudiannya hilang dari pandangan, dan dia tidak lagi memerintah Inderaloka.

Misi mereka selesai. Re, Ri, dan Ang lebur seiring dengan kekalahan Raja Bersiong. Siamang Tunggal kembali menjadi Mat Jenin yang berjaya mengembalikan takhta kepada yang berhak. Dia kemudiannya dimahkotakan sebagai raja Inderaloka yang baharu oleh Upin dan Ipin. Inderaloka berjaya kembali seperti sediakala dan berjaya menemui kemakmuran. Rakyat yang berada di istana kemudiannya mengangkat Mat Jenin selaku pemerintah kerajaan Inderaloka. Upin, Ipin, dan kawan-kawan berjaya dipertemukan semula dan semua lega kerana berjaya mengakhiri misi dengan selamat. Mereka juga gembira kerana dapat pulang ke tempat asal. Namun, mereka dibimbangi kerisauan kerana Batu Belah Batu Bertangkup sudah mula bereaksi. Mat Jenin kemudiannya keluar dengan penuh hormat dan segaknya selaku raja Inderaloka. Ketika itu, mereka dilanda kesedihan kerana akan berpisah, namun diraikan oleh semua orang, termasuklah Mak Deruma.

Di Batu Belah Batu Bertangkup, mereka dikejutkan akan kehadiran tongkat Raja Bersiong. Dia kemudiannya muncul dan memerangkap mereka semua. Hal ini memaksa Mat Jenin menyerang semula Raja Bersiong. Ketika pertempuran itu, Upin dan Ipin berjaya memanfaatkan peluang dengan menangkap tongkat Raja Bersiong. Ketika itu, mereka berdepan kesukaran untuk mengawal tongkat itu dan berjaya mengawalnya kemudian. Mereka kemudiannya cuba membebaskan rakan-rakan mereka menggunakan tongkat itu sehingga tidak menyedari bahawa ia sedang retak. Apabila tongkat itu pecah, jantung Raja Bersiong terkeluar dan cuba memasuki badannya untuk terus hidup. Menyedari keadaan itu, Mat Jenin tiada pilihan lain untuk membunuhnya. Dia kemudiannya melompat ke atas Mat Jenin dan menikam jantung Raja Bersiong sehingga hancur, sebelum sempat memasuki badan tuannya. Raja Bersiong yang semakin hancur cuba untuk menyelamatkan dirinya, namun segalanya sudah terlambat. Akhirnya, Raja Bersiong mati di tangan Mat Jenin, Upin, dan Ipin.

Setelah kehancuran Raja Bersiong, Mat Jenin meleburkan semula bilah keris Siamang Tunggal yang dibentuk daripada tiga titisan air mata kemaafan, menyebabkan akar yang tumbuh liar di Batu Belah Batu Bertangkup lebur. Batu Belah kemudiannya berjaya dibuka dan Pak Belalang membimbing mereka memasuki batu tersebut. Pada mulanya, mereka berasa ragu-ragu, namun tenang apabila diyakinkan oleh Belalang. Mat Jenin kemudiannya berterima kasih kepada mereka kerana berjaya membantunya mendapatkan takhta semula, sebelum dengan berat hatinya berpisah. Upin dan Ipin berasa sedih kerana terpaksa berpisah sebelum ditenangkan dengan Mat Jenin. Mereka pun bertolak pulang ke Kampung Durian Runtuh melalui Batu Belah Batu Bertangkup. Sebelum itu, Mat Jenin memberikan semula keris Siamang Tunggal yang tidak berbilah lagi, dengan mendakwa sebagai hadiah darinya dan Inderaloka. Mereka membantah dengan mengatakan bahawa keris itu sememangnya milik Tok Dalang, sebelum meninggalkan mereka.

Di stor Tok Dalang, mereka bersorak gembira kerana berjaya pulang ke tempat asal. Mereka pun dengan segera menyimpan kembali keris Siamang Tunggal ke tempat asalnya, sebelum dikejutkan Tok Dalang. Kedatangan Tok Dalang itu menggembirakan mereka kerana mereka percaya bahawa mereka benar-benar telah kembali. Tok Dalang hairan apabila mereka merinduinya ketika baru lima minit ditinggalkan. Kata-kata Tok Dalang menimbulkan kehairanan, dan Tok Dalang pun menghadiahkan mereka dengan dibelanja ABCD apabila berjaya mengemaskan stor. Ketika itu, mereka keluar dengan melihat keris Siamang Tunggal disimpan dengan baik di dalam peti. Ketika itu jugalah, Rembo cuba keluar dari stor, namun gagal. Ia kemudiannya melihat peti tersebut bereaksi, dan meninggalkan stor itu dengan sebiji lagi telur.

Di babak post-credit, Pak Belalang datang menghadap Mat Jenin dalam keadaan tergesa-gesa. Dia membawa sebuah perutusan kepada Mat Jenin. Apabila Mat Jenin membaca perutusan itu, dia terkejut bahawa rupanya kerajaan Limau menghantar perutusan yang meminta bantuan dari Inderaloka akibat diserang makhluk tidak diundang.

Pelakon suara[]

Krew produksi[]

  • Disokong oleh: Kerajaan Malaysia, Digital Malaysia, Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), Multimedia Development Corporation (MDEC), Finas, dan MSC Malaysia
  • Ditaja oleh: Citrex Gummy dan iNest
  • Diedarkan oleh: GSC Movies (Malaysia, Singapura, Filipina, Vietnam, dan Brunei Darussalam), MNC Media (Indonesia), dan Les' Copaque Production Sdn. Bhd. (Global)
  • Penghargaan Istimewa: Les' Copaque Merchandising Sdn. Bhd., Les' Copaque Games & Development, dan Robust Fox Render Farm
  • Diterbitkan oleh: Les' Copaque Production Sdn. Bhd.
  • Penerbit: Hj. Burhanuddin Md Radzi dan Hjh. Ainon Ariff
  • Penerbit Eksekutif: Hj. Burhanuddin Md Radzi
  • Pengarah: Adam Amiruddin, Syed Nurfaiz Khalid Syed Ibrahim, dan Ahmad Razuri Roseli
  • Penulis Lakon Layar: Hjh. Ainon Ariff, Nur Naquyah Burhanuddin, dan Aliya Nazlan
  • Pengarah Kandungan Kreatif: Hjh. Ainon Ariff
  • Pengarah Produksi: Tang Ying Sowk
  • Pengarah Seni: Mohd Haris Amran
  • Pengarah Ujibakat dan Lakon Suara: Hjh. Ainon Ariff dan Mohd Zaki Ishak
  • Pengarah Animasi: Nik Ahmad Rasyidi Nik Othman
  • Pengarah Teknikal Pembangunan Karakter: Akmal Hisyam Abdol Hamid
  • Pengarah Teknikal Kesan Khas & Simulasi: Syed Nurfaiz Khalid Syed Ibrahim
  • Pelakon Suara: Rujuk Pelakon Suara
  • Skor Muzik oleh: Andrew Bong
  • Konsep Asal: Hjh. Ainon Ariff dan Nur Naquyah Burhanuddin
  • Editorial
    • Penyunting Filem: Ahmad Razuri Roseli
  • Papan Cerita
    • Ketua Artis Papan Cerita: Mohd Zairee Hamzah
  • Konsep & Kesenian
    • Ketua Pembangunan Visual: Putranda Pahlevi Ruslan
    • Ketua Konsep Artis: Wong Shi Yuan
      • Konsep Artis: Mohd Haris Amran, Nor Shamil Anwar, Zulhilmi Md Rozali, dan Uzair Abdul Rashid
    • Koordinator Seni: Mohd Nazuan Hakim Masrul
  • Karakter
    • Ketua Artis Karakter: Akmal Hisyam Abdol Hamid
      • Artis Karakter Utama: Nik Sazwan Zynal Nik Othman Afifee dan Eumy Ong
      • Artis Karakter: Heidi Othman dan Tan Kee Eng
      • Artis Tatahias Karakter: Tan Shiek Wei, Soo Chie Lee, dan Shahirul Haziq Mohd Idris
  • Model & Set
    • Ketua Pereka Model dan Set: See Iu Xiuan
      • Pereka Utama Model & Set: Muhammad Hafizi Hazaha dan Mohd Azlan Mockter
      • Pereka Model & Set: Akmal Hisyam Abdol Karim, Eumy Ong, Nik Sazwan Zynal Nik Othman Afifee, Afri Shafputra Shafriil, dan Raja Intan Suraya Raja Izuddin
      • Artis Lukisan Matte: Mohd Farquar Azman, Uzair Abdul Rashid, dan Mohd Haris Amran
    • Ketua Pereka Model Persekitaran dan Tatahias Set: Mohd Farquar Azman
  • Animasi
    • Pembantu Pengarah Juruanimasi: Salsabila Sheikh Khalid
    • Ketua Juruanimasi: Musliadie Mat Nor, Jamsari Che Long, dan Mohd Imran Azman
      • Juruanimasi Utama: Loke Keng Sun, Raihan Yusoff, Abdul Wafi Mohamad Naguib, Ahmad Hibri Ahmad Tajuddin, Imaan Asri Mohd Assari, Muhammad Uwais Rosli, Wan Mohd Ghadafi Othman, Muhammad Firdaus Abd Abas, Ahmad Izzat Mohd Sharafuddin, Khairul Aimran Ibrahim, Siti Nur Ain Bahar, Abd Rashid Samawi, Mohd Amir Asyraf Mohd Noor Rashid, Mohd Alil Adam Mohd Shah Djohan, Zamirah Syahirah Zaharuddin Safri, Muhammad Hazwan Harun, Muhammad Zulkifli, Dzul Kamal Adib Ismail, Muhammad Shafiq A Rahman, dan Muhammad Shamer Nazli
      • Juruanimasi: Nik Ab Zarif Nik Ab Hadi, Tan Yi Shan, Noraini Shafiee, Rusnalizawati Radzali, Nik Hasrul Hasyimi Nik Muhammad, Mohammad Zahiruddin Abdul Rahman, Jonathan Thean, Chris Chai Mun Kin, Tan Jer Luan, Farah Nazmin Kamarudin, Tan Hui Vern, Ismail Hasan Al-Muniry, Muhd Ikqbar Kamarulzaman, dan Mohammed Haritz A'madudin
    • Ketua Juruanimasi Latar Belakang & Orang Ramai: Loke Keng Sun
    • Koordinator Animasi: Abdul Wafi Mohamad Naguib
  • Kesan Khas & Simulasi
    • Ketua Pereka Kesan dan Simulasi: Tan Shiek Wei
      • Artis Simulasi Utama: Soo Chee Li, Shahirul Haziq Mohd Idris, Yahya Khalid Asbullah, dan Sabarudin Awang
      • Artis Simulasi Tambahan: Ahmad Razuri Roseli dan Mohd Farquar Azman
  • Pencahayaan
    • Ketua Artis Pengatur Cahaya Karakter: Mohd Raffe Md Yusof
      • Artis Pengatur Cahaya Karakter: Mohd Iskandar Shah Mazalan
    • Ketua Artis Pengatur Cahaya Set: Muhammad Hazman Abd Malik
      • Artis Pengatur Cahaya Set: Tang Ying Sowk
    • Ketua Pengatur Cahaya & Rendering: Ros Hasrol Ahmad
      • Artis Utama Pengatur Cahaya & Rendering: Asyraf Abdullah, Mohamad Izuan Mohd Aris, Mohd Norhilmi Mohd Norbi, Abdul Malik Maliki, Mohd Jafni Mahmood, dan Nur Nadilah Mansor
      • Artis Pengatur Cahaya & Rendering: Bidisha Dastider
    • Penyelia Rendering: Asyraf Abdullah dan Tan Shiek Wei
  • Kompositor
    • Ketua Kompositor: Safrizan Mohd Razali
      • Pembantu Ketua Kompositor: Putranda Pahlevi Ruslan
      • Kompositor Utama: Jeihan Fuad Alkatiri, Chai Mun Hoong, dan Mohd Jafni Mahmood
      • Kompositor: Muhammad Hafiz Hassan, Mohamad Irsyad Mohd Yusof, Mohd Bukhari Amir Hamzah, Mohd Fariq Abdul Aziz, Mohd Afnan Mohd Rasdi, dan Muhammad Afiq Omar
  • Rakaman & Kesan Bunyi
    • Penyelia Penyunting Bunyi dan Dialog: Mohamad Zaki Ishak
      • Penyunting Utama Kesan Bunyi: Muhamad Arif Ismail dan Colin Poh Tze Meng
      • Penyunting Kesan Bunyi & Dialog: Rufaidah Mohamed Fadzil, Hazimin Hamdan, Mohd Zaid Mhd Subri, Siti Nor Adwin Safie, dan Nurul Nadia Iskandarshah
      • Artis Foley: Muhamad Arif Ismail dan Colin Poh Tze Meng
  • Muzik
  • Produksi Rakaman Orkestra
    • Rujuk Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal Original Motion Picture Soundtrack
  • Lagu Tema
    • Rujuk Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal Original Motion Picture Soundtrack
  • Produksi
    • Pengurus Produksi: Tang Ying Sowk
      • Pelatih Produksi: Nur Fatiha Awatif Turiman, Ahmed Ram Fauzzee Ridwan Ramdass, Nur Fatin Syafiqa Yatim, dan Mohd Zulhafiz Mohamed
      • Pereka Seni Tajuk: Mohd Haris Amran
  • Sumber Manusia
    • Pengurus Sumber Manusia: Nurulhuda Sharabuddin dan Hazamil Aliplaila
  • Media Baru
    • Ketua Media Baru: Mohd Zarin Abdul Karim dan Mohammad Hafiz Roslan
      • Penyunting Video: Mohamad Firdaus Haini dan Azhari Che Wan
      • Video Direkod oleh: Nur Hakim Mat Nor
  • Unit Permainan Digital
    • Ketua Pembangunan Permainan Digital: Mohd Alimin Hakim Mohd Ariff Sabri
      • Pembangunan Permainan Digital: Hizral Ashraq Zakaria, Muhammad Ridzuan Mohamed Ramli, Mohamed Shazmeel Shah Mohd Azeman, dan Mim Murny Mohd Azman
  • IT & Operasi
    • Pengurus IT: Ainur Shafify Ab Rojan
      • Juruteknik IT: Azarul Nizam Seri Hetro dan Muhamad Azri Affendi Khairul
  • Publisiti & Pemasaran
    • Perhubungan Awam & Pengurus Media Sosial: Mohd Zarin Abdul Karim
    • Pengurus Pemasaran Antarabangsa: Karyabudi Mohd Aris
    • Eksekutif Pemasaran: Mohammed Farried Yahya
  • Akaun dan Pentadbiran: Khairiah Hafizan Mazhar dan Siti Khairunnisa Mohamad Ruduan
  • Penjenamaan dan Strategi: Nur Naquyah Burhanuddin
  • Produk Pengguna: Suleiman Bakti Azlan, Mohamad Ezuwan Ramli, Muhammad Aidil Mat Nasir, Amirul Shafry Hamdan, Mohamad Iznizam Mohd Ali Nor Piah, dan Muhd Faisal Ismail
  • Studio Mastering & Operasi: One Cool Production Co. Ltd., Bangkok, Thailand
  • Media Rasmi: Astro Malaysia
  • Media Digital Rasmi: FunNow Malaysia

Penerbitan[]

Dengan kos pembikinan sebanyak RM 20 juta, Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal memecahkan rekod apabila menjadi filem termahal pernah dihasilkan di Malaysia. Filem ini mengambil masa selama lima tahun untuk disiapkan dengan penglibatan seramai 140 orang kru produksi, kesemuanya merupakan anak tempatan. Menurut penerbit filem, Hj. Burhanuddin Md Radzi, ada beberapa babak yang telah pun disiapkan lebih awal, namun tidak menepati standard yang ditetapkan. Contohnya, terdapat satu babak yang mana suntingan dijalankan sebanyak lebih 80 kali. Menurut beliau, mereka optimis dalam mengangkat kisah dongeng Melayu ke tahap yang lebih tinggi menerusi penerbitan filem ini.

Grafik dan teknologi yang digunakan dalam filem ini berasal daripada siri Puteri. Siri tersebut dihentikan sementara waktu agar proses penerbitan filem ini dapat berjalan.

Menurut Adam selaku pengarah bersama filem ini, konsep mula dihasilkan pada tahun 2013 sewaktu lawatan ke Perak dengan babak Upin dan Ipin dikejar di pelabuhan Megah merupakan babak pertama sekali dimasukkan dalam filem. Filem ini mengambil masa yang agak lama disebabkan oleh perubahan idea dan visual dengan visual Reriang merupakan viusal yang paling banyak ditolak akibat tidak begitu realistik dan kelihatan aneh.

Banyak cabaran yang dihadapi oleh kru produksi sepanjang penghasilan filem ini seperti kesukaran dalam mendapatkan sumber dan watak. Oleh itu, penghasilan jalan cerita filem ini melalui proses kajian dan pembacaan yang menyeluruh. Kru produksi mengambil masa empat tahun untuk penyelidikan dengan kos RM 20 juta yang diperuntukkan sebahagian besarnya untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) filem. Watak yang sedia ada dalam siri Upin & Ipin digabungkan dengan watak dongeng Melayu agar jalan cerita filem ini menjadi mantap. Sebagai rujukan, keris Beruk Berayun telah dijadikan panduan dalam penghasilan Keris Siamang Tunggal.

Pihak Les' Copaque juga menghasilkan permainan berdasarkan filem itu yang diberi nama Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal The Game yang boleh dimuat turun di semua platform Android dan IOS. Syarikat juga menerbitkan Buku Konsep Seni & Visual Animasi yang pertama di Malaysia yang mula dijual pada Ogos 2019. Manakala buku komik bagi filem ini dikeluarkan pada 5 Mei 2021, iaitu pada hari yang sama filem ini mula distrim di Netflix, khusus untuk pasaran syarikat Popular.

Lagu[]

Lihat juga: Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal Original Motion Picture Soundtrack

Kebanyakan lagu dan runut bunyi dalam filem ini dicipta oleh komposer Andrew Bong. Beliau dibantu oleh komposer syarikat, Cheong Michael bersama empat lagi pemuzik Barat yang lain. Pada mulanya, beliau dijemput oleh Hj. Burhanuddin untuk menggubah lagu bagi filem ini. Lagu di dalam filem ini berteraskan gaya barat namun masih mengekalkan elemen kemelayuan dalam filem ini. Untuk filem ini, gambus telah dijadikan elemen muzik utama dan digunakan di hampir kesemua runut bunyi filem. Sebanyak 55 buah lagu digubah dan digunakan sepanjang filem.

Sebagai rujukan, Andrew dan kru produksi audio dan muzik merujuk kepada skor audio filem epik antarabangsa bagi mendapatkan mood sesuatu babak. Untuk memantapkan lagi audio, Andrew mendapatkan khidmat penggubah orkestra dari Jepun yang juga penggubah muzik bagi beberapa permainan terkenal dunia, iaitu Sachiko Miyano dan dua orang pemain gambus terkenal iaitu Norehan Saif berserta anak muridnya, Bob Wahid.

Dua lagu dicipta sebagai lagu tema filem ini, yang mana salah satunya turut dicipta oleh Andrew sendiri. Fakhrul Razi, penyanyi Brunei Darussalam dipelawa oleh Hjh. Ainon untuk menyanyikan lagu "Keris Sakti" selepas nama beliau naik di media sosial apabila melakukan persembahan di India, setahun sebelum itu. Fakhrul Razi juga diberi peluang untuk mengisi suara bagi watak Nakhoda Ragam untuk mewakili negaranya sendiri. Lagu "Buai Laju-Laju", satu lagi lagu tema bagi filem ini, dinyanyikan oleh penyanyi wanita Malaysia, Ernie Zakri. Beliau juga diberi peluang untuk berlakon buat pertama kali dalam kariernya selaku pengisi suara watak Bawang Putih dan Bawang Merah.

Lebih setahun selepas tayangan filem ini, pihak Les' Copaque memuat naik album runut bunyi rasmi filem ini di saluran YouTube Les' Copaque. Kompilasi itu dimuat naik pada 7 Ogos 2020.

Senarai lagu tema dalam filem ini ialah seperti berikut:

Pengeluaran[]

Desas-desus mengenai penerbitan Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal mula bertiup apabila teaser watak dimuat naik di YouTube Les' Copaque pada 3 Januari 2017. Trailer pertama telah dimuat naik di media sosial Upin & Ipin dan Les' Copaque pada 6 September 2018. Terdahulu, teaser trailer bagi filem ini dimuat naik pada 9 Ogos 2018 sebelum yang kedua mula menemui peminat pada 23 Ogos. Trailer kedua dimuat naik oleh pihak produksi pada 20 Disember tahun yang sama sebelum trailer rasmi dimuat naik pada 8 Januari 2019. Pengenalan watak bermula pada 11 Januari sehingga 1 Februari 2019, menampilkan beberapa watak utama dalam filem ini. Manakala video muzik rasmi bagi filem ini dimuat naik pada 22 dan 25 Februari bagi kedua-dua buah lagu.

Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal mula ditayangkan di pawagam Malaysia, Singapura, dan Brunei Darussalam secara serentak di 158 buah pawagam di seluruh tiga negara itu pada 21 Mac 2019. Manakala tayangan di Vietnam pula bermula pada 26 April selepas trailernya dimuat naik pada 18 April dalam bahasa Vietnam. Filem ini dikenali sebagai Upin & Ipin: Truyền Thuyết Thần Đao di Vietnam. Filem ini mula menemui penonton di Indonesia pada 9 Mei 2019 selepas promosi bermula seminggu sebelum itu. Filem ini menjadi filem animasi tempatan pertama dan satu-satunya yang ditayangkan di Cinema21, syarikat filem yang paling terkemuka di Indonesia. Manakala di Filipina, Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal mula ditayangkan pada 28 Ogos 2019 dengan alih suara bahasa Inggeris dilakukan.

Susulan pencalonan Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal ke Anugerah Akademi 2020, Les' Copaque memuat naik trailer filem ini dalam alih suara Bahasa Inggeris pada 18 Oktober 2019 dan ditayangkan di Los Angeles, Amerika Syarikat secara terhad bermula 8 November 2019 selama seminggu bagi memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh pihak penganjur. Filem ini dinamakan semula sebagai Upin & Ipin: The Lone Gibbon Kris.

Juga, sempena penayangan filem ini di Amerika Syarikat, Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal ditayangkan semula di sepuluh pawagam GSC terpilih di seluruh Malaysia selama dua hari iaitu pada 9 dan 10 November 2019.

Terdapat perancangan untuk menayangkan filem ini di China, Uzbekistan, Bangladesh, dan Turki. Walau bagaimanapun, perancangan itu masih belum berjalan atas beberapa faktor tertentu. Selain itu, Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal turut menemui peminat di rumah seluruh Malaysia di televisyen apabila filem ini ditayangkan di Astro First bermula 3 Disember 2020.

Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal juga dapat ditonton melalui platform penstriman dalam talian. Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal dapat ditonton di portal Netflix bermula 5 Mei 2021.

Pencapaian[]

Kutipan filem yang diperoleh amat memberangsangkan. Selepas empat hari tayangan, filem ini berjaya memperoleh kutipan sebanyak RM 5.3 juta dengan 450,000 penonton. Setelah seminggu, filem ini berjaya memperbaharui rekod kutipan filem terbanyak oleh Les' Copaque apabila mengumpul RM 12.1 juta, memecahkan rekod yang dipegang selama sedekad oleh Geng: Pengembaraan Bermula dengan sejuta penonton direkodkan. Setelah dua minggu tayangan, Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal berjaya memecahkan rekod yang dipegang oleh filem BoBoiBoy: The Movie dan Incredibles 2 apabila mengutip sebanyak RM 20.2 juta, menjadikan filem ini sebagai filem animasi tempatan dan antarabangsa dengan kutipan tertinggi. Seminggu kemudian, filem ini berada di tempat pertama kutipan filem di Malaysia tahun 2019 apabil mengutip sejumlah RM 25 juta dengan 2 juta penonton di pawagam. Akhirnya, selepas 68 hari pada 27 Mei, Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal mencecah kutipan sebanyak RM 26.20 juta secara anggaran dan RM 26,193,959.05 (kutipan kebangsaan sahaja) dalam nilai sebenar. Menurut Hj. Burhanuddin, nilai tersebut dijangka akan terus mengalami peningkatan sehingga mampu mencecah RM 2 bilion susulan filem ini akan ditayangkan di luar negara seperti China yang mempunyai pasaran yang agak meluas. Kini, filem ini menjadi filem animasi tempatan ketiga, keempat keseluruhan, keenam bagi filem tempatan sepanjang zaman, dan ketiga bagi filem tempatan tahun 2019 dengan kutipan tertinggi. Negeri Selangor mencatatkan sebagai negeri dengan kutipan filem tertinggi di Malaysia. Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal merupakan filem terlaris di Malaysia sepanjang penggal pertama tahun 2019.

"Mereka telahpun menjadi Disney bagi Asia Tenggara..dengan tidak meniru Disney"
— Terjemahan daripada petikan artikel Geoffrey James di Inc.com mengenai ulasan beliau terhadap Les' Copaque dalam usaha penerbitan Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal


Sambutan di luar negara juga menggalakkan. Indonesia misalnya, filem ini berjaya meraih lebih daripada 200,000 penonton pada hari pertama tayangan. Begitu juga di Amerika Syarikat, sambutan filem ini juga menggalakkan. Rata-rata mereka memberikan ulasan positif mengenai filem ini. Beberapa pengkritik filem Barat juga berpendapat bahawa filem ini berjaya membuka minda dan pemikiran Barat mengenai kehebatan kisah dongeng Alam Melayu. Ketika filem ini tercalon dalam Anugerah Akademi ke-92, rating filem ini di portal IMDb ialah 8.0, meletakkannya sebaris dengan pemenang kategori Filem Animasi Terbaik edisi itu, iaitu Toy Story 4 yang turut mendapat rating 8.0.

Jumlah Hari Tayangan Kutipan Kumulatif
4 hari (24 Mac) RM 5.3 juta
7 hari (27 Mac) RM 12.1 juta
14 hari (2 April) RM 20.2 juta
21 hari (8 April) RM 25 juta
68 hari (27 Mei) RM 26.2 juta

Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal juga tidak kurang hebatnya di televisyen. Pada hari pertama tayangannya di Astro First pada 3 Disember, filem ini mencipta sejarah apabila menjadi filem animasi dengan kutipan tertinggi sepanjang zaman pada hari pembukaan di saluran itu. Filem ini juga berjaya menduduki tangga teratas carta filem Astro First hanya dalam tempoh sehari selepas mula ditayangkan, menewaskan filem-filem lain yang turut mendapat sambutan beberapa minggu sebelum filem ini seperti Peninsula dan Mael Totey: The Movie. Filem ini juga berjaya meraih RM 1 juta setelah tiga hari ditayangkan, yang membawa jumlah kutipan keseluruhan bagi pawagam Malaysia dan Astro First kepada RM 27.2 juta. Filem ini juga berjaya meraih kutipan RM 30 juta di Malaysia apabila meraih RM 3 juta selepas hampir dua bulan tayangan. Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal merupakan filem keempat terlaris dan yang terlaris bagi kategori filem animasi (juga sepanjang zaman) di Astro First sepanjang tahun 2020. Filem ini juga mencipta rekod tersendiri apabila menjadi yang pertama dan satu-satunya filem yang kekal berada di Carta Filem Astro First semenjak hari pertama ditayangkan, dengan rekod itu berjalan sehingga tamat tayangan.

Bagi penstriman secara dalam talian pula, filem ini hangat di Netflix apabila berjaya menduduki tempat kedua dalam carta filem Netflix pada hari pertama penstriman. Filem ini kemudiannya berjaya mendudukan tangga teratas di Netflix setelah dua hari penstriman.

Pengiktirafan[]

Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal menongkah sejarah apabila menjadi filem animasi pertama negara dan ASEAN yang tercalon di Anugerah Akademi ke-92 di Los Angeles, Amerika Syarikat bagi kategori Filem Animasi Terbaik selain daripada dicalonkan dalam kategori Runut Bunyi Asal Terbaik dan Lagu Tema Asal Terbaik. Meskipun gagal disenarai pendek, namun pencalonan tersebut cukup membanggakan pihak produksi.

Senarai pengiktirafan yang diperoleh filem ini adalah seperti berikut:

Pencalonan

  • Anugerah Akademi ke-92 2020
    • Filem Animasi Terbaik - Les' Copaque Production Sdn. Bhd. (Upin & Ipin: The Lone Gibbon Kris)
    • Lagu Tema Asal Terbaik - Andrew Bong, Cheong Michael (Keris Sakti (The Mystical Kris)),
    • Skor Muzik Asal Terbaik - Andrew Bong (Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal Original Motion Picture Soundtrack)
  • Festival Animasi Antarabangsa Palm Springs 2019
    • Filem Animasi Terbaik - Les' Copaque Production Sdn. Bhd. (Upin & Ipin: The Lone Gibbon Kris)
  • Asian Academy Creative Awards 2019
    • Filem Cereka Terbaik - Les' Copaque Production Sdn. Bhd. (Upin & Ipin: The Lone Gibbon Kris)
  • Anugerah Persatuan Komposer dan Penulis Lirik 2019
    • Skor Muzik Asal Luar Biasa - Andrew Bong (Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal Original Motion Picture Soundtrack)
  • Anugerah MeleTOP ERA 2020
    • Filem MeleTOP (Top 20) - Les' Copaque Production Sdn. Bhd. (Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal)

Pencapaian

  • Festival Animasi Antarabangsa Montreal 2019
    • Filem Cereka Terbaik - Les' Copaque Production Sdn. Bhd. (Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal)
    • Kategori Khas Skrip - Hjh. Ainon Ariff, Nur Naquyah Burhanuddin, Aliya Nazlan
  • Asian Academy Creative Awards 2019
    • Filem Cereka Terbaik Malaysia - Les' Copaque Production Sdn. Bhd. (Upin & Ipin: The Lone Gibbon Kris)
    • 10 Filem Cereka Terbaik Asia Pasifik
  • Anugerah Persidangan Tahunan Industri Permainan Animasi dan Anime Beijing 2019
    • Golden Wing bagi Animasi Terbaik Tahunan - Les' Copaque Production Sdn. Bhd. (Upin & Ipin: The Lone Gibbon Kris)
  • Festival Animasi Antarabangsa Palm Springs 2019
    • Pilihan Khas Juri - Upin & Ipin: The Lone Gibbon Kris
  • Asian World Film Festival 2019
    • Pilihan Khas Tayangan Malaysia - Upin & Ipin: The Lone Gibbon Kris
  • Minggu Pawagam ASEAN 2019
    • Pilihan Khas Tayangan Malaysia - Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal
  • Konsert Throwbaek 2019
    • Filem Go International - Les' Copaque Production Sdn. Bhd. (Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal)
  • Anugerah PROFIMA 2019
    • Filem Animasi Terbaik - Les' Copaque Production Sdn. Bhd. (Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal)

Siaran televisyen[]

Setakat ini, tayangan Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal di televisyen agak terhad memandangkan pihak Les' Copaque ingin memasarkan filem ini ke luar negara terlebih dahulu sebelum ditayangkan di kaca televisyen. Siaran televisyen bagi filem ini bermula pada 20 Oktober 2019 di Indonesia apabila filem ini disiarkan secara terhad di saluran MNCTV sempena ulang tahun saluran tersebut sebelum versi penuh disiarkan pada 31 Disember 2020. Untuk di Malaysia pula, siaran televisyen bagi filem ini dijangka akan bermula selepas filem ini selesai ditayangkan di Astro First yang bermula pada Disember 2020 dengan kemungkinan besar tidak akan disiarkan di saluran Media Prima seperti TV3.

  • MNCTV telah menyiarkan filem ini pada 20 Oktober 2019, 31 Disember 2020, dan 10-11 Januari 2021 (dalam dua bahagian).

Masa hadapan[]

Buat masa ini, Les' Copaque dilaporkan akan bersedia dengan beberapa projek syarikat. Menurut Hj. Burhanuddin, beliau bercadang untuk memasukkan Inderaloka sebagai salah satu tema untuk taman tema Upin & Ipin yang akan dibina.

Bagi filem, beberapa projek filem terbaru terbitan syarikat telah mula diusahakan. Antaranya seperti menyambung semula siri Puteri dengan ia akan diangkat dalam bentuk layar perak. Selain itu, pihak Les' Copaque juga sedang mengusahakan filem terbaru bertajuk Dongeng Sang Kancil yang akan diarahkan semula oleh Ahmad Razuri dan Syed Nurfaiz. Les' Copaque juga dilaporkan akan mengusahakan projek filem terbaru Upin & Ipin yang akan diusahakan bersama dengan sebuah syarikat dari Jepun.

Trivia[]

  • Keris Siamang Tunggal yang digunakan dalam filem sebenarnya diinspirasikan daripada keris Beruk Berayun, sebuah keris diraja negeri Selangor. Untuk mengelak daripada perselisihan antara pihak diraja negeri, nama keris ditukar kepada keris Siamang Tunggal.
    • Menurut Les' Copaque, asalnya motif keris ini berkonsepkan burung cenderawasih yang diperbuat daripada batu jed. Namun, rupa keris ini bertukar secara keseluruhan setelah siamang dipilih sebagai motif utama.
    • Bukan sahaja keris, malah burung cenderawasih merupakan motif utama secara keseluruhan di dalam filem ini sebelum siamang dipilih sebagai motif keseluruhan.
  • Sepanjang pengembaraan Upin, Ipin, dan kawan-kawan di Inderaloka mereka bertemu dengan pelbagai watak dalam dongeng Melayu seperti:
    • Mat Jenin
    • Si Tanggang dan Mak Deruma
    • Bawang Putih dan Bawang Merah
    • Raja Bersiong
    • Nakhoda Ragam
  • Beberapa watak dongeng terpaksa dipotong untuk memastikan filem tidak melebihi 100 minit. Antaranya termasuklah Pak Pandir dan Sang Kelembai.
    • Pihak Les' Copaque dijangka akan memuat naik babak dipotong itu di YouTube dalam jangka masa terdekat.
  • Watak Nakhoda Ragam disuarakan oleh Fakhrul Razi. Bermungkinan untuk menunjukkan bahawa lagenda Nakhoda Ragam berasal daripada Brunei (Fakhrul Razi merupakan penyanyi yang berasal daripada Brunei Darussalam).
    • Mengikut lagenda, Nakhoda Ragam merupakan pemerintah Brunei kelima (versi Brunei) dan suami kepada Puteri Gunung Ledang (versi kedua, filem ini menggunakan versi ini sebagai rujukan). Namun, Nakhoda Ragam ditunjukkan sebagai seorang panglima diraja kepada Raja Inderaloka dan bertanggungjawab menyelamatkan Mat Jenin.
  • Warung Pisang Salai milik Mak Deruma terletak di pesisir laut. Mengikut lagenda Melayu, pisang salai seperti yang dijual Mak Deruma di dalam filem merupakan makanan kegemaran Si Tanggang, anak Mak Deruma. Tempatnya pula di pesisir laut bagi menunjukkan tempat di mana Mak Deruma berehat selepas dihalau oleh Si Tanggang.
  • Watak Mak Deruma dan Mat Jenin merupakan watak terawal sekali dari Inderaloka yang disebut sepanjang siri Upin & Ipin bersiaran iaitu pada episod Jambatan Ilmu, musim ke-9. Manakala Raja Bersiong pula merupakan watak pertama yang muncul di perbarisan Hari Kebangsaan tahun 2015.
  • Kebanyakan babak dalam filem ini diadaptasi daripada filem-filem P.Ramlee. Antara babak yang menggunakan filem P.Ramlee sebagai inspirasi ialah:
    • Babak Belalang menyediakan kopi kerak kuali kepada Ipin dan kawan-kawan yang bersama dengannya mirip dengan babak di mana Belalang menyediakan minuman yang sama kepada tetamu bapanya dalam filem Nujum Pak Belalang arahan P. Ramlee.
      • Beza masa antara dua filem ini secara kebetulan ialah 60 tahun (Nujum Pak Belalang diterbitkan pada tahun 1959).
    • Runut bunyi 'Upin & Ipin dan Kawan-Kawan' (dimainkan ketika Upin, Ipin, dan kawan-kawan sedang membersihkan stor Tok Dalang) diilhamkan daripada runut bunyi siulan dalam filem Bujang Lapok.
    • Watak Belalang diinsipirasikan daripada perwatakan watak sama dalam filem Nujum Pak Belalang yang dilakonlan oleh Bad Latiff.
    • Malahan, asalnya, cerita Sitora Harimau Jadian juga dimasukkan di dalam filem, namun terpaksa dibuang dalam suntingan akhir kerana kekurangan masa yang mencukupi.
  • Kebanyakan babak atau unsur di dalam filem ini juga diadaptasi daripada episod Kembara ke Pulau Harta Karun, musim ketiga dan keenam. Antaranya ialah:
    • Topeng Pulu-Pulu yang kelihatan di episod Kembara ke Pulau Harta Karun, musim ketiga dan keenam ketika Tok Dalang mengejutkan Upin & Ipin sewaktu mereka ingin meninggalkan stornya.
    • Babak ketika Ipin sedang bermain di atas peti keris Siamang Tunggal sambil menggelarkan dirinya Hang Ipin.
    • Kapal Si Tanggang berhampiran dengan Pulau Pisang merupakan kapal Hang Upin & Hang Ipin.
    • Pantun Jarjit ketika menentang Ri merupakan pantun yang menceritakan peranannya (sebagai lanun) dalam episod itu.
  • Beberapa babak atau unsur di dalam filem ini juga diadaptasi dari episod Uuuuu... Telur Apa Tu?, musim kesepuluh. Antaranya ialah:
    • Dalam sebuah video babak dipotong, terdapat sekumpulan burung ayam goreng di Pulau Angan Makanan. Burung itu muncul dalam episod itu.
    • Ketika Mail bercadang menjual keris Siamang Tunggal. Ungkapan di bawah pernah disebut ketika Mail turut cuba menjual telur burung dalam episod itu.

"Tapi, kau tak boleh jual dua seringgit, sebab keris ini satu saja."


  • Keris Siamang Tunggal mempunyai beberapa keunikannya seperti:
    • Keris ini akan memberikan reaksi apabila ada seseorang menyebut nama keris itu. Sebaik sahaja nama keris itu disebut, keris akan bergetar untuk memberikan respons.
    • Keris itu boleh mengenal pasti siapa yang ingin menggunakan keris itu sama ada untuk kebaikan atau kejahatan. Oleh sebab itu, Raja Bersiong tidak boleh menyebut nama keris itu dengan sempurna kerana kuasanya mampu menghancurkan dirinya.
      • Keris Siamang Tunggal akan mengalahkan lawannya sekiranya keris itu berada berhampiran dengan lokasi musuhnya. Oleh sebab itu, Raja Bersiong memerintahkan agar keris itu dibawa ke istananya agar dapat dihancurkan.
      • Hanya pada waktu kekuatannya berganda sahaja, Raja Bersiong kebal dari keris Siamang Tunggal dan dapat menyebut nama keris itu dengan sempurna.
    • Tidak semua orang boleh mengangkat keris itu. Keris itu hanya boleh diangkat oleh orang-orang tertentu sahaja seperti:
      • Upin
      • Ipin
      • Mat Jenin
      • Raja Inderaloka
    • Keris itu akan bereaksi meskipun berada di alam yang lain. Hal ini dibuktikan dengan Raja Bersiong dapat merasai petala yang buruk daripada keris itu meskipun berada beribu batu jauhnya.
    • Keris itu membuka gerbang teleportal dan boleh berteleportasi sekiranya mantera pada keris itu dibaca. Untuk kembali ke dunia nyata, seseorang perlulah ke Batu Belah Batu Bertangkup dan masuk ke dalamnya tanpa perlu mengaktifkan keris itu. Batu Belah Batu Bertangkup merupakan gerbang teleportal untuk kembali ke dunia nyata dari Inderaloka.
    • Keris itu tidak berbilah. Pada asalnya, keris itu berbilah, namun tidak lengkap kerana Raja Bersiong tiba sebelum keris ditempa sepenuhnya. Keris Siamang Tunggal akan lengkap setiap kali sebuah kisah dongeng lengkap.
    • Sekiranya mantera keris dibaca sewaktu bilahnya sudah lengkap sepenuhnya, maka penyeru keris itu akan bertukar menjadi Siamang Tunggal, seekor siamang putih yang gagah dan besar.
  • Pada permulaan ketika teaser pertama filem ini dimuat naik pada tahun 2017, tajuk filem ini ialah Upin & Ipin: The Movie.
  • Khabar mengenai filem ini sebenarnya sudah bermula semenjak malam perdana tayangan Upin & Ipin: Jeng Jeng Jeng! lagi apabila sedikit klip filem dipaparkan dalam bahagian post-credit filem tersebut.
  • Audio di dalam filem dihasilkan di beberapa buah negara termasuklah di Prague, Republik Czech dan Boston, Amerika Syarikat.
  • Filem ini menjadi filem animasi tempatan pertama dan filem tempatan kedua selepas Hikayat Merong Mahawangsa yang mana runut bunyinya dihasilkan dan dirakam sepenuhnya dalam bentuk orkestra.
  • Tidak seperti filem Geng: Pengembaraan Bermula yang mana pelakon suara bagi bahasa Inggeris merupakan anak tempatan, pelakon suara bagi filem ini menggunakan sepenuhnya pelakon suara dari Amerika Syarikat. Proses rakaman suara dilakukan untuk tayangan di Filipina dan Amerika Syarikat.
  • Filem ini merupakan filem animasi negara pertama yang ditayangkan dalam bentuk Dolby ATMOS.
  • Poster rasmi filem ini dimuat naik pada 11 Januari 2019.
  • Dalam Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal The Game, beberapa babak diubah dan disesuaikan dengan jalan cerita permainan itu. Juga sehingga kini, babak pertarungan di bahagian hujung filem masih belum dilancarkan.
  • Tiga orang pengarah bertanggungjawab mengarah filem ini dalam tiga babak yang berlainan. Ahmad Razuri mengarah babak awal sehinggalah babak pertemuan dengan Mak Deruma. Adam Amiruddin mengarah dari bahagian Mak Deruma sehingga babak pertemuan dengan Bawang Merah manakala selebihnya diarahkan oleh Syed Nurfaiz. Walau bagaimanapun, semua keputusan dibuat bersama.
  • Les' Copaque memilih mereka bertiga untuk menjadi pengarah bagi filem ini kerana sewaktu awal proses pembikinan filem, mereka bertiga merupakan pengarah bagi tiga siri animasi berlainan terbitan Les' Copaque. Ketika itu, Adam Amiruddin merupakan pengarah siri Upin & Ipin, Ahmad Razuri merupakan pengarah bagi siri Pada Zaman Dahulu, dan Syed Nurfaiz pula merupakan pengarah untuk siri Puteri. Sebaik sahaja filem ini selesai dihasilkan dan ditayangkan, mereka bertiga dilantik menjadi Pengarah Kreatif bagi siri Upin & Ipin, kecuali Razuri yang turut mengarah siri Pada Zaman Dahulu dan Adam yang mengarah dua lagi siri baharu terbitan Les' Copaque iaitu Upin & Ipin: Iqra dan Upin & Ipin: The Helping Heroes.
  • Syed Nurfaiz, salah satu pengarah filem ini merupakan satu-satunya kru produksi yang tidak menyuarakan mana-mana watak dalam filem.
  • Seorang lagi pengarah filem, iaitu Adam Amiruddin telah berkongsi mengenai 50 fakta menarik filem ini di akaun Twitter beliau sepanjang Mei 2019 sehingga Oktober 2020.
  • Nama Ketua Pereka Model Persekitaran & Tatahias Set, iaitu Mohd Farquar Azman tertulis pada kotak di sebelah kiri peti di mana keris Siamang Tunggal tersimpan. Namanya di kotak itu tertulis 'af-AUQ' yang jika diterbalikkan, ia akan menjadi 'fa-QUA'.
  • Manakala di kotak sebelah kanan di mana keris Siamang Tunggal tersimpan, tertulis di situ angka '12-2-2009', menandakan tarikh filem animasi pertama terbitan Les' Copaque, iaitu Geng: Pengembaraan Bermula ditayangkan di seluruh Malaysia, sepuluh tahun sebelum filem ini .Turut tertulis di sana, perkataan Las Kopek yang menjadi asas dalam nama syarikat Les' Copaque Production.
  • Suara pencerita keris Siamang Tunggal pada permulaan filem ialah suara milik Azuan Wanji Shamsir, seorang pelakon suara di WAU Animation.
  • Babak di mana makhluk Bunian mencuri sebelah pasang selipar Upin sama seperti babak di mana Rembo mencuri sebelah pasang selipar Upin pada permulaan filem.
  • Dalam filem ini, inilah kali pertama Upin dan Ipin terpisah. Perpisahan mereka sebenarnya sudah dirancang oleh kru produksi pada awal pembikinan filem ini dengan mereka hanya dipertemukan semula pada babak-babak akhir. Manakala babak kecil pertemuan semula mereka ketika babak Keris Sakti sedang dimainkan merupakan babak paling sedih dan beremosi dalam seluruh filem ini.
    • Terdapat beberapa versi yang asalnya dikemukakan oleh pihak produksi, termasuklah Upin yang bertukar menjadi antagonis dalam cerita ini.
  • Asalnya, ketika babak pertarungan antara Siamang Tunggal dengan Raja Bersiong, Upin dan Ipin tidak menyertainya dan hanya melihat dari jauh. Walau bagaimanapun, oleh kerana Upin dan Ipin merupakan watak protagonis dalam filem ini dan berperanan sebagai penyelamat Inderaloka, pihak produksi akhirnya memutuskan agar mereka berdua menyertai pertempuran untuk membantu Siamang Tunggal menewaskan Raja Bersiong.
    • Satu runut bunyi dihasilkan khas sewaktu pertempuran antara Upin dan Ipin dengan Raja Bersiong iaitu Upin & Ipin Penyelamat.
  • Pihak produksi menyusun tiga bentuk Kemaafan di dalam filem ini iaitu:
    • Kemaafan seorang ibu (Mak Deruma) kepada anaknya (Tanggang) (Kemaafan (Air Mata Ibu))
    • Kemaafan seorang kakak (Bawang Merah) kepada adiknya (Bawang Putih) (Kemaafan (Air Mata Kakak))
    • Kemaafan seorang insan terhadap dirinya (Mat Jenin) (Kemaafan (Air Mata Putera))
  • Pada asalnya, idea Kemaafan yang ketiga itu ialah kemaafan Mat Jenin terhadap Raja Bersiong. Walau bagaimanapun, idea ini ditukar kepada kemaafan Mat Jenin atas menyalahkan diri sendiri kerana menjadi punca kematian ayahandanya.
  • Filem ini sebenarnya mempunyai tiga lagu tema yang mana lagu ketiga itu ialah lagu "Terbang Tinggi" oleh Yubi (salah satu kru produksi untuk filem ini). Namun, lagu ini hanya muncul dalam salah satu trailer filem ini dan tidak ditampilkan dalam filem secara langsung.
    • Ini merupakan kali kedua Yubi menyumbangkan lagu dalam mana-mana siri atau filem Upin & Ipin selepas lagu "Jeng Jeng Jeng!" untuk filem Upin & Ipin: Jeng Jeng Jeng! pada tahun 2016.
  • Filem ini merupakan filem animasi tempatan pertama yang ditayangkan pada tahun 2019.
  • Susulan daripada tayangan filem ini, mantan Menteri Pendidikan Malaysia, Dr. Maszlee Malik menganugerahkan kepada Upin & Ipin gelaran 'Duta Mahabbah Masyarakat Majmuk Malaysia'.
  • Untuk tayangan di Indonesia, seorang lagi penerbit dan penerbit eksekutif dilantik bersama oleh pihak Les' Copaque dan MNC Media selaku pengeluar filem ini di sana. Mereka iaiah:
    • Muhammad Soufan (Penerbit filem Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal di Indonesia)
    • Valencia Tanoesoedibjo (Penebit Eksekutif filem Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal di Indonesia)
  • Filem ini merupakan filem kedua terbitan Les' Copaque yang ditayangkan di Astro First selepas Upin & Ipin: Jeng Jeng Jeng yang ditayangkan pada Januari 2017.
    • Khabar mengenai tayangan ini diumumkan oleh pihak Astro dalam sebuah artikel bertarikh 7 November 2020 sebelum tarikh tayangannya diumumkan sehari kemudian.
    • Walau bagaimanapun, perkara ini disahkan oleh pihak Les' Copaque hanya pada 12 November 2020 dengan tarikh tayangannya tidak diumumkan.
    • Tarikh tayangan rasmi bagi filem ini hanya disahkan oleh Les' Copaque seminggu kemudian pada 20 November 2020 menerusi satu hantaran yang dimuat naik di media sosial rasmi Upin & Ipin.
    • Filem ini ditayangkan dalam dua versi yang berasingan. Versi pertama ialah versi asal iaitu Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal yang boleh diakses melalui saluran 478 manakala versi yang kedua dalam bahasa Inggeris iaitu Upin & Ipin: The Lone Gibbon Kris yang boleh diakses melalui saluran 477
  • Siti Hasmah Taiban dan Ernie Zakri merupakan pelakon suara keenam dan ketujuh yang menyuarakan lebih dari satu watak secara langsung dalam mana-mana siri atau filem Upin & Ipin apabila melakonkan watak Nenek Kebayan dalam siri dan Mak Deruma dalam filem bagi Siti Hasmah dan Bawang Merah dan Bawang Putih bagi Ernie Zakri. Yang pertama ialah Nur Fathiah Diaz, yang kedua ialah Asyiela Putri (kedua-dua pelakon suara ini membawakan watak Upin dan Ipin, kecuali Fathiah yang turut menyumbangkan suara untuk watak Fathiah), yang ketiga ialah Ida Rahayu (melakonkan watak Fizi dan Oopet dalam Geng: Pengembaraan Bermula), yang kelima ialah Shafiq Isa (mengisi suara Jarjit dalam siri, Singh dan Muthu dalam filem Geng: Pengembaraan Bermula).
  • Susanti merupakan watak ketiga yang disuarakan oleh lebih daripada satu pelakon suara dalam mana-mana siri atau filem Upin & Ipin dalam satu musim atau filem yang sama selepas Mei Mei dan Mail. Susanti disuarakan oleh Andhika Astari dan Siti Nor Adwin Safie.
  • Saat Mat Jenin jatuh dan diinjak orang ramai, orang terakhir lompat dan mengeluarkan suara lompat dari super Mario Bros. (Bahkan suaranya orisinal)

Galeri[]

Wiki-wordmark
Wiki Upin & Ipin mempunyai pelbagai gambar menarik tentang Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal. Rujuk Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal/Galeri.

Video[]

Pengenalan Watak[]

Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal Bersama Kru Produksi[]

Babak Dipotong[]

Klip Lagu[]

Klip Filem Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal[]

Pautan luar[]

Advertisement