"Upin & Ipin Kesayanganku" (tiga bahagian) ialah episod pertama, kedua dan ketiga dalam musim ke-8 daripada siri Upin & Ipin. Buat julung kalinya sejak akhir musim ketiga, cerita yang berpecah tiga bertayangan perdana pada hari-hari yang berasingan.
Ketiga-tiga episod ini pada mulanya dijadualkan bersiaran pada bulan 22 ke 24 Mac, tetapi ditunda kepada tarikh yang akan diumumkan kelak sempena meratapi kehilangan pesawat MH370. [1] Setelah dua bulan ditunggu, akhirnya episod-episod ini dijadualkan bersiaran pada 28 Mei sempena musim cuti sekolah. Akan tetapi, disebabkan kemangkatan Sultan Azlan Shah dari Perak pada 28 Mei, episod "Upin & Ipin Kesayanganku" ditunda dua hari lagi sebelum akhirnya keluar pada 30 Mei.[2]
Plot[]
Bahagian 1[]
Upin dan Ipin disuruh mengemas bilik mereka yang bersepah oleh Kak Ros. Seperti biasa Upin dan Ipin berat hati untuk berbuat demikian, tetapi Kak Ros berjaya memujuk mereka dengan mengugut untuk menyedut mereka dan semua barang mereka sekali dengan vakum dengan nada suara ala penjahat kartun.
Selepas puas mengemas dan memvakum bilik, tidak sempat mereka berehat tiba-tiba suara lantang Kak Ros menyuruh mereka untuk mengemas bilik-bilik yang lain, kecuali bilik Kak Ros kerana dilarang. Apapun, bilik Kak Ros juga bersepah, jadi Upin dan Ipin mengambil kesempatan untuk memerli kakak mereka yang sedang mengemas ruang tamu, dengan ugutan sama seperti yang mereka dengar dahulu.
Di bilik Opah pula hanya sebentar bunyi vakum yang kedengaran, gara-gara bilik itu sudah pun kemas. Maka hanya tinggal satu lagi bilik untuk dikemas, iaitu bilik keempat yang terletak sebelah bilik Upin dan Ipin dan menghadap bilik Opah. Akan tetapi, pintu bilik itu terkunci. Upin dan Ipin menyuruh Kak Ros untuk membuka pintu itu, tetapi Kak Ros berbaring mengiring di atas kerusi panjang, terlena! Sekali lagi diundangnya perlian Upin dan Ipin.
Upin dan Ipin cuba mengejutkan Kak Ros, tetapi tiba-tiba Kak Ros bergolek dan terhulur tangan kirinya yang memegang segugus kunci. Upin dan Ipin mengambil gugusan kunci itu untuk cuba membuka kunci pintu bilik keempat itu. Setelah berjaya, mereka pun masuk untuk melihat-lihat sekitar bilik itu. Di dalamnya ada katil dengan rak-rak buku. Upin mengambil kesempatan untuk tidur sejenak di atas katil itu sementara Ipin terlihat buku yang terjudul "Upin & Ipin Kesayanganku" dalam rak itu, lalu cuba mengambilnya, tetapi sesuatu berlaku.
Tidak lama kemudian, Upin bangun dari lena dengan Ipin di sisinya. Akhirnya Upin dan Ipin disuruh keluar oleh Kak Ros yang baru terjaga. Apabila ditanya semua bilik kemas atau tidak, "dah" jawab mereka. Mereka memulakan gugusan kunci itu kepada Kak Ros yang mamai dan nyata tidak menyedari gelagat adik-adiknya sewaktu dia tidur, tetapi Ipin secara curi menyimpan kunci emas untuk bilik misteri. Ros bersambung tidur, tetapi sebelum itu dia bertanya adakah bilik itu sudah terkunci. "Dah", jawab mereka lagi.
Bahagian 2[]
Keesokan harinya di tadika, Upin bermain lawan labah-labah dengan Mail. Nama labah-labah masing-masing ialah Kak Ros dan Mail Jam. Baru sahaja Ehsan hendak memulakan permainan, tiba-tiba Mei Mei mencelah untuk menghentikan perlawanan. Jelas Upin, mereka hanya beradu labah-labah cantik. Oleh itu, Mei Mei menurunkan kumbang kura-kuranya ke atas 'gelanggang'. Sayangnya kumbang kura-kura itu gentar dengan kedua-dua lawan besarnya hingga terbang pergi.
Perlawanan tergendala oleh pengumuman ketibaan guru oleh Fizi. Setelah cepat-cepat menyimpan semula labah-labah, Mail mengajak Upin dan Ipin untuk bersambung petang nanti, tetapi Ipin menolak. Bila ditanya oleh Upin, Ipin menjelaskan bahawa ada dia cuba memberitahu Upin sesuatu malam semalam tetapi Upin tertidur.
Sekembali ke rumah, Upin dan Ipin memasuki semula bilik misteri. Upin teruja sekali menemui katil yang selesa itu dan melompat-lompat di atasnya, hingga diperli oleh Ipin seperti "beruk berayun". Ipin menunjukkan buku yang bertajuk "Upin dan Ipin Kesayangan" dalam rak buku, lalu meminta Upin untuk mengambilnya. Upin memanjat rak untuk mencapai buku itu, tetapi sebaik menarik keluar buku itu, rak itu berpusing ke dalam dinding dan menyebabkan Upin terjatuh.
Rupa-rupanya itulah yang hendak ditunjukkan oleh Ipin, iaitu satu lagi bilik rahsia yang tersembunyi di sebalik rak buku! Ipin terus mengajak Upin masuk bersama-sama, tetapi Upin enggan kerana takut dengan kegelapan. Apapun, Ipin tetap menyeret abang kembarnya ke dalam.
Cerita melangkau ke waktu makan malam. Upin dan Ipin berbisik-bisik sambil terkekek-kekek tentang pengalaman mereka di sebalik pintu rahsia, dengan cerita-cerita yang membuat Kak Ros dan Opah tertanya-tanya, lebih-lebih lagi Kak Ros yang terganggu oleh bisik-bisikan itu. Bila ditanya Opah, Upin dan Ipin membalas dengan cerita-cerita aneh mengenai zaman lampau mengenai "Abang Ghani" dengan "Cik Siti" yang perlu mengetuk botol untuk berjumpa. Opah berasa segan terdengar dua nama itu.
Upin dan Ipin bersambung cerita dengan mengajukan kepada Kak Ros mengenai seorang kanak-kanak perempuan yang "garang" dan lebih nakal daripada mereka, hingga pernah tercedera sewaktu naik basikal. Ros pun rasa malu terdengarnya.
Bahagian 3[]
Keesokan harinya, Upin dan Ipin sekali lagi bermain di bilik hingga bersepah. Sekali lagi mereka dikejutkan oleh Kak Ros, tetapi kali ini dia tidak berniat untuk menyuruh-nyuruh mereka, sebaliknya ingin bertanya baik-baik mengenai "budak perempuan garang" yang diceritakan semalam, sama ada itukah Kak Ros sendiri. Seperti yang dijangka, Upin dan Ipin mengiya dengan nada sinis.
Perbualan mereka menarik perhatian Opah yang berjalan lalu. Kehadirannya segera disedari oleh cucu-cucunya yang mengajaknya untuk turut bersembang mengenai "Abang Ghani", tetapi Opah menunjukkan rasa segan dan beredar dengan polos. Tetapi Opah kembali mencuri dengar perbualan itu, tetapi sekali lagi disedari. Selepas Opah akhirnya menjauh, Upin dan Ipin meminta Kak Ros supaya tidak memarahi mereka sampai bila-bila jika hendak mengetahui rahsia itu.
Akhirnya Upin dan Ipin membawa Kak Ros ke bilik misteri. Ipin mengeluarkan kunci bilik itu lalu Kak Ros meninggikan suara. Dengan segera Upin dan Ipin melafazkan janji itu, maka Kak Ros memperlahankan suara. Sebaik sahaja mereka masuk, Kak Ros cuba memasang lampu tetapi suisnya rosak. Kemudian dia terlihat katil yang tidak kemas lalu hendak menengking, tetapi Upin dan Ipin cepat memesankan janji tadi.
Kak Ros terus membuka tingkap untuk menerangkan bilik lalu mengemaskan katil, tetapi pada masa yang sama Upin dan Ipin menghilang. Kak Ros dengan rasa bimbang memanggil mereka. Dia dibalas dengan suara Upin dan Ipin memanggil "Akak" berkali-kali, tetapi kelibat mereka langsung tidak kelihatan. Sedar-sedar mereka menyorok di balik rak buku, Kak Ros menolak adik-adiknya ke tepi bergegas ke bilik rahsia. Ini disusuli dengan tangisan teresak-esak dalam bilik.
Ros menangis-nangis hingga senja, duduk di atas katil bersama adik-adiknya sambil memegang buku bertajuk "Ros Puteriku" kerana meratapi isi buku tinggalan arwah ibu bapa mereka bertiga yang menyayat hati. Raungannya menarik perhatian Opah yang tertanya-tanya mengapa begitu. Jelas Ipin, Kak Ros menangis setelah terbaca buku itu. Ros dengan sebak menanya Opah mengapa merahsiakan buku itu. Jawab Opah, dia ingin memberitahu tetapi perlu menunggu masa yang sesuai.
Opah menyuruh cucu-cucunya ke tepi untuk mengambil peti di bawah katil. Dia membuka peti tersebut untuk menunjukkan pakaian seragam askar arwah bapa Ros Upin dan Ipin, siap dengan topi dan lencana bertulis "Abdul Salam". Jelas Opah, bilik ini dirahsiakan kerana tidak mahu perkara zaman silam didedahkan terlalu awal sehingga semua barang pusaka di dalamnya diancam kecurian.
Upin mengambil baju seragam itu sambil melafazkan cita-cita untuk menjadi askar seperti bapa mereka, "berjasa kepada negara". Ipin menurut kata kembarnya sambil memakai topi askar hingga tertutup mata. Memandangkan rahsia bilik sudah terdedah, Opah mengizinkan cucu-cucunya untuk menggunakan bilik ini. Akhir sekali, Ros, Upin dan Ipin meminta supaya diceritakan kisah Siti dan Ghani; sekali lagi Opah menangguh.
Video[]